7 Destinasi Pelancongan Tepi Pantai Yang Menarik Di Negeri Melaka

Masjid Selat Melaka Sunset

Negeri Melaka terkenal dengan warisan sejarah dan merupakan destinasi pelancongan yang terkenal di dalam Malaysia. Setiap hujung minggu, pintu masuk ke negeri Melaka melalui plaza tol Ayer Keroh dan plaza tol Simpang Ampat pasti sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu memasuki negeri Melaka.

Pengalaman penulis bermastautin hampir 5 tahun di Melaka membolehkan penulis meneroka seluruh pelusuk negeri Melaka. Antara tempat menarik yang selalu dikunjungi ialah bahagian tepi pantai negeri yang menghadap Selat Melaka.

Selain pantai yang cantik dan terjaga, terdapat banyak tarikan yang terdapat di pantai-pantai di sepanjang pesisir laut negeri Melaka.

Berikut adalah senarai pantai-pantai menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan anda yang terdapat di negeri Melaka.

  1. Pantai Klebang

 

 

Pantai Klebang

Suatu ketika dahulu semasa penulis berada di Melaka, keadaan di Pantai Klebang tidak sama seperti hari ini. Kawasannya dahulu sempit, tiada kawasan yang berpasir dan hanya terdapat beberapa kedai makan dan restoran makanan laut di sepanjang tepi jalan berhampiran pantai.

Sekitar penghujung tahun 2009 dan 2010, kerajaan negeri Melaka telah menjalankan projek menambak pantai dan sekali gus keadaan Pantai Klebang telah berubah.

Pantai Klebang pada hari ini menjadi sangat menarik dengan kawasan pantai berpasir yang sangat luas, tidak ubah seperti berada di sebuah kawasan padang pasir.

Kemudiannya, diwujudkan Muzium Kapal Selam yang menjadi salah satu daya penarik bagi pelancong yang berkunjung ke sini.

Pantai Klebang ini terletak di bahagian Melaka Tengah, berkedudukan antara Bandar Melaka dan Sungai Udang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah bermain layang-layang, bersantai, bergambar dan tidak lupa menikmati coconut shake Klebang yang popular.

  1. Pantai Puteri

Pantai Puteri

Pantai Puteri terletak di Tanjung Kling, tidak jauh dari Pantai Klebang. Jika anda teruskan perjalanan dari Pantai Klebang menghala ke Sungai Udang, anda akan menemui Pantai Puteri.

Di jalan raya utama sepanjang lebih 2.5 kilometer di tepi Pantai puteri, anda dapat menikmati pemandangan yang menarik bila menyusuri jalan ini.

Asalnya Pantai Puteri adalah sebuah kampung nelayan yang telah menjalankan kegiatan perikanan sejak dahulu lagi.

Sehingga kini, anda masih boleh melihat terdapat perahu-perahu nelayan di tepi pantai. Terdapat banyak kemudahan yang di sediakan di sini seperti masjid, tandas awam, gelanggang permainan sukan pantai dan lain-lain.

Kawasan berhadapan jalan di sepanjang pantai dipenuhi deretan kedai-kedai makan dan restoran makanan laut dan tom yam serta beberapa resort dan hotel.

Pantai Puteri antara pantai yang selalu menjadi pilihan penulis untuk melakukan barbeku dan berkelah pada waktu dahulu.

  1. Pantai Kundur

Pantai Kundur

Tidak jauh dari Pantai Puteri, terdapat sebuah lagi pantai yang menarik iaitu Pantai Kundur. Pantai Kundur terletak tidak jauh dari pekan Sungai Udang, kira-kira 17 kilometer dari Bandar Melaka.

Pemandangan di sini sangat cantik pada waktu petang, lebih-lebih lagi ketika matahari hampir terbenam.

Pemandangan laut dihiasi kapal tangki, pelantar dan paip minyak di loji penapisan minyak Petronas Sungai Udang.

Bersantai di tepi pantai ini yang merupakan perkampungan nelayan dapat memberi ketenangan. Antara aktiviti popular di sini ialah berehlah dan bermandi-manda.

Pantai Kundur juga merupakan satu tempat yang strategik untuk berkelah dan berbarbeku kerana tidak sesak dengan orang ramai.

  1. Pantai Tanjung Bidara

Pantai Tanjung Bidara Melaka

Pantai Tanjung Bidara terletak 10 kilometer dari bandar Masjid Tanah dan 2 kilometer dari Kem Terendak. Pantai ini merupakan satu pantai perkelahan yang terkenal di negeri Melaka.

Keadaan fizikal pantai yang landai dan pasir yang memutih serta angin sepoi-sepoi bahasa ini merupakan persaingan utama pantai Port Dickson yang terletak lebih kurang 70 kilometer dari Masjid Tanah.

Kali pertama penulis berkunjung ke pantai ini ketika tahun 2007. Ombak yang tidak terlau besar dan keadaan air laut yang bersih dan tidak berlumpur membolehkan pengunjung untuk bermandi-manda di pantai ini.

Pantai kegemaran ramai ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak, surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya.

  1. Pantai Pengkalan Balak

Pantai Pengkalan Balak

Perjalanan dari Pantai Tanjung Bidara menuju ke Port Dickson melalui jalan raya, anda akan melalui sebuah lagi pantai yang cantik iaitu Pantai Pengkalan Balak.

Pantai Pengkalan Balak merupakan kesinambungan dari Pantai Tanjung Bidara. Kedudukannya berhampiran pekan Pengkalan Balak dalam daerah Alor Gajah.

Pesisir pantainya yang luas didampingi keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya damai dan permai.

Terdapat banyak resort dan chalet di sepanjang pantai ini. Penulis pernah bermalam beberapa kali di chalet dan resort di pantai ini. Terdapat juga restoran ikan bakar yang boleh dikatakan sedap dan menyelerakan.

Bagi penulis secara peribadinya, ikan bakar di sini lebih murah dan sedap berbanding di Medan Ikan Bakar Umbai yang terkenal di Melaka.

Pada siang hari, terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai makanan seperti burger, air kelapa, dan macam-macam lagi.

  1. Pantai Padang Kemunting

Pantai Padang Kemunting

Tidak jauh dari Pantai Pengkalan Balak, terdapat sebuah lagi pantai yang cantik iaitu Pantai Padang Kemunting.

Pantai ini pada dahulunya hanya terdapat jalan yang kecil. Pada hari ini, jalan di sepanjang pantai sudah pun dibesarkan dan semakin banyak gerai-gerai makanan yang beroperasi.

Terdapat banyak chalet persendirian di sepanjang pantai ini. Airnya yang cantik pasti memberikan ketenangan dan kepuasan bagi pencinta keindahan alam.

Pengunjung yang datang ke Pantai Padang Kemunting juga akan berpeluang untuk melihat penyu karah, spesis yang hampir pupus.

Terdapat Pusat Penetasan Penyu Jabatan Perikanan Malaysia yang terletak di kampung Padang kemunting yang berperanan dalam menyelamat dan melindungi penyu karah ini. Siapa sangka, di Melaka juga anda berpeluang melihat penyu.

  1. Pantai Tanjung Tuan

Pantai Tanjung Tuan Melaka

Kesinambungan dari pantai-pantai tadi, di penghujungnya sebelum memasuki daerah Port dickson di Negeri Sembilan, terdapat satu lagi pantai yang cantik iaitu Pantai Tanjung Tuan.

Tanjung Tuan terletak di bawah pemerintahan negeri Melaka, kira-kira 16 kilometer dari Port Dickson. Tanjung Tuan atau dikenali sebagai Cape Rachado terkenal dengan rumah apinya, antara yang tertua di Malaysia.

Rumah Api Tanjung Tuan dibina pada tahun 1819 oleh kerajaan British semasa pemerintahan Stamford Raffles.

Setelah melalui jalan menaik ke puncak dan menemui rumah api ini, anda akan menjumpai satu tebing tinggi dan dari pondok di situ, anda dapat menikmati pemandangan laut yang sangat menakjubkan dari atas bukit dengan air lautnya yang hijau kebiruan.

Di bahagian bawah, jika diteruskan perjalanan dari pintu pagar rumah api, terdapat tempat peranginan dan kawasan pantai yang cantik, sesuai untuk pelbagai aktiviti pantai dan aktiviti air.

Faisal Ab. Manaf

Menulis sekadar hobi di waktu terluang. Berpengalaman lebih 9 tahun dalam bidang penulisan sebagai penulis sambilan bagi sinopsis, cereka, penulisan komik, karya komedi dan karya seram di beberapa forum dan laman web.

More Posts

Loading...

Tags: #aktiviti masa cuti #bercuti di melaka #cuti cuti malaysia #gambar pantai di melaka #masjid tanah #melaka #melaka bandar raya bersejarah #melaka tengah #pantai di melaka #pantai klebang #pantai kundur #pantai padang kemunting #pantai pengkalan balak #pantai pueri #pantai tanjung bidara #pantai tanjung tuan #tanjung kling #tempat menarik di Melaka

5 Aiskrim Unik Ini Perlu Anda Cuba Jika Ke Luar Negara!
Tidak dapat dinafikan bahawa aiskrim bukan hanya disukai oleh kanak-kanak malahan menjadi kegilaan
Aplikasi Menempah Hotel Termurah Pilihan Ramai Wajib Ada Dalam Telefon Pintar Anda!
Perancangan sebelum bercuti adalah penting kerana menentukan sama ada percutian kita nantinya akan
5 Rumah TERBALIK Popular Di Malaysia Jadi Tarikan Pelancong!
Malaysia kaya dengan pelbagai budaya serta destinasi pelancongan yang menarik dan popular. Selain
Ketahui 10 Air Terjun Tertinggi Di Dunia!
Pernahkah anda mengetahui apakah air terjun yang tertinggi di dunia dan di manakah

Comments are closed.