Welcome to encik shino.com

"Truly delicious food will change the life of the one who eats it"

Jom Jadi Followers

Rumahtangga & Keluarga EP : AKHIR

Kebimbangan adalah lebih bertumpu kepada peraturan komunikasi antara bakal suami dan isteri. Jangan lupa menumpukan perhatian kepada mempelajari kaedah memahami nature lelaki dan perempuan. Dan pastinya anda semua sudah tahu. 

Adalah baiknya pasangan yang mahu berumahtangga membaca dan mempraktikkan isi kandungan buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray. Kandungannya ada menyentuh kaedah berfikir dan berkomunikasi antara suami dan isteri.

Percayalah, sebahagian besar dari pergaduhan dan krisis rumahtangga, berpunca dari masalah komunikasi. Isteri yang kuat berleter, dan suami yang lebih suka membatukan diri, sudah cukup untuk membinasakan ikatan utuh yang dibina itu. 

Akhirnya, jangan lupa untuk berbincang secara baik apakah expectation masing-masing menjelang hari perkahwinan. Jangan pula tiba-tiba pengantin lelaki bersilat pulut kerana tidak berbincang dengan baik untuk persediaan diri.

Akhir kata Selamat Pengantin Baru kepada bakal pengantin yang akan mendirikan rumahtangga. 

Shino said : Tamat sudah!

Rumahtangga & Keluarga EP : 06


Isu kewangan bertitik tolak dari isu sebelum ini, keperluan mengadakan perbincangan tentang peraturan-peraturan kewangan, wajar dibincangkan sesama bakal suami dan bakal isteri yang bakal mendirikan rumahtangga. 

Terutamanya beban di pihak lelaki yang terpaksa menyediakan belanja yang besar dalam urusan perkahwinan. 

Bincanglah dengan baik untuk berpakat dan mencari penyelesaian. Jika bakal suami mahu dibantu, berpakatlah secara baik dan jaga maruahnya dengan tidak mengaibkan ketidakmampuannya mencapai ketetapan yang diputuskan. 

Maka, dengan cara mengumpul atau meminjam perlu dilakukan dengan berhemah dan bijaksana.

Shino said : Bersambung...

Rumahtangga & Keluarga EP : 05

Dalam usaha untuk menjaga batas-batas agama dalam hubungan pertunangan, soal berapa kali agama membenarkan sms, menunjukkan unsur-unsur robotik dalam kefahaman tersebut tentang mengukur komitmen dalam beragama.

“Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan”

Mintalah fatwa dari hati di samping hati itu juga pula sentiasa berada dalam nada sedar yang baik terhadap Allah SWT. 

Antara hikmah bertunang ialah untuk saling belajar mengenal, insan baru yang bakal menjadi teman seumur hidup. Tetapi proses kenal mengenal itu masih dalam keadaan kedua-duanya adalah pasangan yang belum ada ikatan yang menghalalkan pergaulan. Maka bijak-bijaklah dalam mengatur.

Telefon, email atau SMS  tanya khabar. Cuma bersederhanalah. Bila hati rasa tidak kena, semacam agak berlebihan dan tersasar dari maksud-maksud yang maaruf, belajar tekan brek dan kawal stering. Itu sahaja. Macam drifting, jangan masuk semak dahla.

Terutamanya ketika menjelang perkahwinan. Banyak perkara yang harus dibincangkan. Maka berbincanglah dan kemaskan sistem kawalan diri. Berbincang tentang syariatullah, berbincang tentang sunnatullah. 

Pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga, mesti berusaha melengkapkan dirinya tentang pengetahuan berkaitan hukum hakam yang sebelum ini mungkin kurang diberi perhatian. Khususnya bagi calon suami, anda bakal menjadi pengemudi rumahtangga nanti. 

Hukum hakam tentang munakahat, jangan diabaikan. Bermula dari hal-hal yang berkaitan dengan akad nikah dan cerai fasakh, pengetahuan harus dikemaskinikan hingga kepada yang membabitkan lafaz ta’liq yang wujud dalam sistem akad nikah Malaysia, tetapi tidak di tempat lain. 

Selain itu, hukum hakam berkaitan orang perempuan juga perlu ditambah. Isu tentang haid, kitarannya, beza warna darah haid dan saki baki kotoran di akhir kitaran (stain) serta implikasi hukumnya, perlu diambil tahu oleh bakal suami. 

Malah baik juga ditambah pengetahuan tentang perkara yang sedikit advance seperti hukum hakam tentang kehamilan. Hukum ke atas seorang perempuan andai berlaku keguguran di awal tempoh mengandung dan selepas tempoh mengandung, beza antara nifas dan istihadhah dalam soal ini, adalah di antara isu-isu perlu diberi perhatian. 

Di samping semua itu, soal yang paling penting adalah urusan berkaitan menyusun kelahiran. Apakah ia dibenarkan oleh Islam, di mana keperluannya, apa beza antara sistematika kelahiran dengan menghadkan jumlah anak. Hal ini jangan dibincang sebagai bahan akademik, sebaliknya kalian harus mengambilnya sebagai subjek praktikal kehidupan berumahtangga. Bukan lagi untuk lulus periksa.

Shino said : Bersambung...

Rumahtangga & Keluarga EP : 04

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit “tidak jelas”, apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz? Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu? 

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang "tahu" agama, "mahu" beragama dan "mampu" dalam beragama. Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah "baca" sebagai wasilah menggarap pengetahuan. 

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini? Sejauh mana gred ‘A’ yang digarap dalam subjek “Pengetahuan Agama Islam” menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama? “Yang memiliki agama” itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal "mahu" yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan "mampu" dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan “jenama TAHU agama” tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang "mahu" dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju "mampu".
 
Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. 
Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang ‘teachable“. 

Tetapi cukupkah dengan hanya beragama? Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna. Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar. 

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama. 

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh atas nama berkahwin kerana beragama?

Shino said : Bersambung...

Rumahtangga & Keluarga EP : 03

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang memiliki agama, nescaya sejahteralah hidupnya”

Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga. Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks tepat dan jelas.

Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa tujuan berumahtangga? “Begin with the end in mind“, adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya. Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, “aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku”
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun. Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan jemu.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia? Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

“Maka pilihlah yang memiliki agama… nescaya sejahtera hidupmu”, pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.
 
Shino said : Bersambung...
Related Posts with Thumbnails