Ingin Ringankan Bebanan Belanjawan Anda? Ikuti Enam Cara Mudah Ini

Belanja Bulanan

Anda risau dengan kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari? Duit anda semakin menipis sebelum hujung bulan tiba?

Jika ya, anda tidak keseorangan. Setiap manusia di muka bumi ini pasti akan mengalami situasi sebegini. Pelbagai cara atau kaedah boleh diikuti oleh anda bagi meringankan bebanan perbelanjaan harian. Nak tahu dengan lebih lanjut, ikuti enam cara mudah ini.

1. Menabung

Bila kali terakhir anda melakukan amalan ini? Tanpa mengira usia muda atau tua, amalan menabung sangat penting dalam kehidupan manusia.

Dengan menabung, kita dapat mempraktikkan diri supaya menyimpan wang lebihan yang diperoleh agar tidak dibelanja dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, anda boleh menabung dua ringgit sehari. Bayangkan, anda boleh mengumpul sebanyak RM 60.00 sebulan (30 hari).

Selain menyemai sikap suka berjimat-cermat, amalan mulia ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan belanjawan yang dihadapi oleh kita semua. Jangan tunggu lagi, jadikan amalan menabung ini sebahagian dari gaya hidup anda.

2. Bercucuk tanam

Buat anda yang suka berkebun atau bercucuk tanam, inilah masanya untuk melakukan aktiviti sihat ini. Daripada membiarkan tanah di halaman rumah kosong, lebih baik anda bercucuk tanam sayur-sayuran seperti cili, tomato, ataupun serai.

Pasti menyenangkan apabila dapat menikmati sayur-sayuran yang ditanam dengan hasil peluh sendiri. Paling penting, anda tidak perlu lagi membazir wang untuk membeli sayur-sayuran di kedai lagi. Sesungguhnya, benarlah kata orang tua-tua dahulu dimana ‘berbudi pada tanah, pasti akan mendapat hasilnya’.

3. Masak Sendiri

Seterusnya, memasak sendiri di rumah merupakan salah satu cara mudah bagi mengurangkan kos bebanan belanjawan harian anda.

Gunalah buku resepi atau menonton rancangan masakan di kaca televisyen untuk mempelbagaikan lagi hidangan anda. Anda juga boleh mendapatkan resipi masakan di internet seperti di laman ini. Penulis sarankan agar membawa bekal dari hasil masakan anda apabila ke tempat kerja atau kuliah. Bukan sahaja dapat berjimat cermat malahan dapat meningkatkan kemahiran memasak anda di dapur.

4. Membuat Kerja Sampingan

Jika anda mempunyai masa terluang, apa kata anda melakukan kerja-kerja sampingan seperti promoter, pelayan restoran, juruwang ataupun penulis sambilan (tutor). Sekurang-kurangnya anda dapat menjana pendapatan daripada membuang masa dengan aktiviti yang tidak mendatangkan keuntungan buat diri sendiri. Tiada idea? Anda boleh merujuk artikel lima kerja sambilan yang menjana pendapatan tambahan!

5. Jalani Gaya Hidup Sihat

Kesihatan diri merupakan aset penting bagi manusia. Oleh itu, ubahlah gaya hidup anda kearah yang lebih sihat dan aktif seperti bersenam, joging ataupun berbasikal.

Anda juga dikehendaki mengawal pemakanan harian dengan memakan makanan yang seimbang seperti sentiasa makan buah-buah dan sayur-sayuran. Tanpa anda sedari, pengambilan makanan berkhasiat dan tidak berlebihan dapat mengurangkan kos belanja harian anda!

Memiliki tubuh badan yang sihat, menghalang sebarang penyakit yang berbahaya mendekati kita. Tahukah anda, kos perubatan hari ini semakin mahal. Justeru itu, jagalah kesihatan anda mulai hari ini.

6. Minimalkan Penggunaan Elektrik dan Air

Sangat memeningkan kepala apabila bil air dan elektrik meningkat saban bulan. Daripada menyalahkan diri sendiri atau orang lain, apakata anda mulakan dengan minimalkan sebaik mungkin penggunaan air dan elektrik di rumah.

Sebagai contoh, gantikan penghawa dingin dengan kipas untuk menyejukkan keadaan rumah anda. Selain itu, cabut wayar elektrik pada soket apabila tidak digunakan.  Pasti anda tersenyum girang apabila melihat bil elektrik yang akan datang. Selamat mencuba!

 

azlan-150x150 Ingin Ringankan Bebanan Belanjawan Anda? Ikuti Enam Cara Mudah Ini

Azlan Jusoh

Creative Writer (Sambilan) di EncikShino.Com.

More Posts

Loading...

Tags: #cara berjimat #cara kurangkan belanjawan #cara menghadapi kegawatan ekonomi #teknik untuk ringankan beban kos sara hidup #tips kurangkan kos sara hidup #tips ringankan belanja bulanan #tips ringankan belanja harian

Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah
Overlap Loan : Pinjam Wang Untuk Bayar Pinjaman
Mengambil pinjaman baru untuk membayar pinjaman sedia ada selalunya tidak disyorkan, kecuali dalam
Strategi Kurangkan Beban Hutang Pinjaman Bank
Untuk mengurangkan beban hutang pinjaman bank anda, anda boleh melaksanakan beberapa strategi yang

Leave a reply "Ingin Ringankan Bebanan Belanjawan Anda? Ikuti Enam Cara Mudah Ini"