Pinjaman Perumahan, Panduan Ringkas Cara Memohon

Pinjaman Perumahan

Setiap individu atau keluarga pasti mempunyai impian untuk memiliki rumah kediaman sendiri. Rumah merupakan keperluan asas yang harus dimiliki. Membeli rumah mungkin pelaburan paling berharga yang dilakukan oleh individu. Oleh itu, pertimbangan dan perancangan kewangan yang rapi dan teliti adalah perlu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Pinjaman Perumahan

Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat tentang pinjaman perumahan. Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut daripada institusi perbankan atau sumber lain seperti akhbar, majalah dan Internet. Sekiranya terdapat maklumat yang kurang jelas, dapatkan penerangan daripada institusi perbankan anda. Bandingkan jenis pinjaman yang ditawarkan setiap institusi perbankan bagi memastikan pilihan anda bersesuaian dengan keperluan kewangan anda.

Kadar

Ketahui kadar dan tempoh tawaran. Teliti tawaran yang diberikan secara menyeluruh, dan jangan hanya tertarik dengan kadar faedah permulaan. Kadang-kala, kadar faedah yang dikenakan akan meningkat di masa depan walaupun kadar faedah permulaan rendah.

Pastikan sama ada kadar tersebut adalah kadar sama rata atau kadar berubah. Bagi kadar berubah, faedah yang dikenakan akan bergerak selari dengan perubahan pada kadar berian pinjaman asas. Oleh itu, kenal pasti sama ada anda mampu untuk membayar balik pinjaman walaupun kadar faedah yang dikenakan meningkat atau menurun. Anda juga dinasihatkan untuk mengenal pasti sama ada anda boleh membayar balik pinjaman dengan satu jumlah ansuran tetap. Walau bagaimanapun, tempoh pinjaman anda boleh menjadi semakin panjang atau pendek berdasarkan pergerakan kadar faedah.

Dokumen yang diperlukan

Pastikan anda mempunyai dokumen berikut sebelum memohon pinjaman perumahan.

  • Sesalinan kad pengenalan atau pasport anda
  • Slip gaji untuk 3 bulan yang terkini
  • Penyata cukai pendapatan (borang J) yang terkini atau borang EA
  • Dokumen perjanjian jual beli/resit pembayaran deposit atau tempahan/ surat tawaran daripada pemaju
  • Sesalinan surat hakmilik tanah (jika ada)
  • Penyata bank 6 bulan terdahulu (wajib jika tiada slip gaji/borang J/EA)/buku akaun simpanan/resit simpanan tetap
  • Laporan penilaian harta(untuk rumah sudah siap)

Jika anda bekerja sendiri, anda juga perlu melampirkan

  • Dokumen pendaftaran perniagaan
  • Penyata bank untuk 3 bulan terakhir
  • Penyata kewangan terkini dan dokumen lain yang boleh menyokong sumber pendapatan anda.
  • Lain-lain dokumen sokongan tambahan

Apa berlaku seterusnya?

Selepas bersetuju untuk menerima surat tawaran pinjaman, anda perlu melantik seorang peguam yang merupakan panel peguam institusi perbankan untuk menyiapkan dokumentasi pinjaman. Sebahagian daripada dokumen ini akan dikemukakan kepada jabatan Kerajaan berkenaan untuk pendaftaran dan kepada Pejabat Setem untuk pembatalan setem.

Setelah proses tersebut selesai, dokumen-dokumen ini akan dihantar kepada institusi perbankan dan anda akan menerima salinan Perjanjian Pinjaman. Anda juga perlu menjelaskan kos pemprosesan permohonan pinjaman anda seperti fi perkhidmatan profesional dan caj yang dikenakan oleh pihak Kerajaan. Oleh itu, dapatkan nasihat daripada pegawai institusi perbankan anda berkenaan fi dan caj tersebut.

Berikut adalah di antara fi dan caj yang biasa dikenakan:

  • Fi guaman
  • Duti setem
  • Fi pengeluaran pinjaman
  • Fi pemprosesan

Bayaran Pinjaman

Berdasarkan pakej pinjaman yang anda pilih, pembayaran balik ansuran bulanan pinjaman anda akan dikenakan faedah, sama ada secara harian atau bulanan. Jumlah wang pokok akan berkurangan serta-merta setiap kali bayaran ansuran pinjaman dibuat.

Walaubagaimanapun, anda boleh berbincang dengan institusi perbankan tentang cara-cara yang boleh membuatkan bayaran balik pinjaman anda menjadi lebih fleksibel, seperti:

  • Skim bayaran berperingkat

Kaedah ini akan memberi peluang kepada pembeli rumah untuk mengurangkan beban pembayaran di peringkat awal supaya lebih banyak wang dapat digunakan untuk tujuan lain. Apabila pendapatan pembeli meningkat, kemampuan kewangan peminjam akan turut meningkat, sekali gus menjadikan ia mampu membuat pembayaran balik pada tahap yang lebih tinggi. Skim ini berguna jika anda merancang untuk menggunakan wang bagi tujuan lain terlebih dahulu.

  • Opsyen membuat pembayaran awal

Ada institusi perbankan yang menawarkan fleksibiliti membuat pembayaran balik
atau pembayaran balik tambahan dengan faedah dikenakan secara harian. Ini dapat menjimatkan caj faedah dengan syarat anda membuat bayaran bulanan secara teratur.

  • Pembayaran awal pinjaman

Ramai peminjam berasa ada baiknya memendekkan tempoh pinjaman dengan membuat pembayaran awal sebahagian daripada baki pinjaman melalui lebihan wang tabungan atau bonus tahunan. Ini dapat mengurangkan caj faedah sekiranya pembayaran balik dibuat semasa tahun-tahun awal pinjaman. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi perbankan mungkin mengehadkan jumlah yang boleh dibuat untuk pembayaran awal.

Penalti dan Pembayaran Awal

Institusi perbankan mungkin mengenakan penalti apabila pinjaman diselesaikan sepenuhnya lebih awal kerana perkara tersebut akan mengganggu perancangan aliran tunai institusi perbankan. Penalti yang dikenakan adalah sama ada berasaskan kadar sama rata atau faedah untuk ‘x’ bulan (contohnya, 1 bulan faedah)

Jika anda mempunyai lebihan wang, anda mungkin mahu membayar baki pinjaman lebih awal daripada yang dijadualkan. Anda perlu memaklumkan kepada institusi perbankan terlebih dahulu untuk membuat pembayaran balik sebahagian daripada pinjaman. Institusi perbankan juga mungkin menghadkan jumlah pembayaran awal yang boleh dibuat Pastikan sama ada pakej pinjaman anda membenarkan pembayaran awal sebahagian daripada pinjaman dan apakah prosedurnya.

Anda juga boleh merujuk cara mengira kelayakan pinjaman perumahan.

Loading...

Tags: #cara membuat pinjaman perumahan #housing loan #langkah membeli rumah #loan rumah #membeli rumah #membuat pinjaman perumahan #panduan pinjaman perumahan #pinjaman perumahan #teknik mohon pinjaman perumahan

Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah
Overlap Loan : Pinjam Wang Untuk Bayar Pinjaman
Mengambil pinjaman baru untuk membayar pinjaman sedia ada selalunya tidak disyorkan, kecuali dalam
Strategi Kurangkan Beban Hutang Pinjaman Bank
Untuk mengurangkan beban hutang pinjaman bank anda, anda boleh melaksanakan beberapa strategi yang

Comments are closed.