Petua & Tips Menawan Hati Suami Supaya Rumahtangga Kekal Bahagia

Petua Keluarga Bahagia

Jika seorang isteri mengatakan dia tidak mengharap kasih sayang dari suaminya, itu bermakna dia telah berbohong. Sebab, memang tidak ada seorang manusia pun yang tidak ingin dikasihi oleh orang lain kecuali manusia yang hilang akal.

Tapi sayang, suami isteri hari ini kebanyakannya renggang hati mereka, tipis kasih sayang mereka dan selalu bermasam muka.

Malah perceraian menjadi perkara biasa. Ertinya ramai sekali wanita kita yang sedang menderita. Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat mencintainya hingga tidak mahu berpisah dengannya?

Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh semua wanita hari ini. Mudah-mudahan jawapannya dapat memberi jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan di dalam rumahtangga.

Mula-mula sekali tanya kenapa seorang lelaki sanggup berbelanja beratus malah beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri?

Tentu kerana untuk mengisi permintaan hati dan fitrahnya yang ingin kepada belaian dan penyerahan seorang wanita, layanan dan kemanjaan serta pengurusan dirinya oleh isteri; dan lebih jauh dari itu untuk mendapatkan anak dan keriangan dalam rumahtangga.

Semua itu adalah tuntutan semulajadi yang ada dalam diri semua lelaki dan wajib dipenuhi.

Kalau tuntutan itu tidak diisi, jadilah kekosongan dan kesunyian dalam ruang dada si suami itu.

Kalau begitu tiadalah bermakna lagi rumahtangga, isteri dan anak-anak padanya.

Suami tidak akan bahagia dan hatinya tidak akan tenang sekalipun rumahnya besar, wangnya bertimbun dan dililiti dengan segala kemewahan.

  • Tanya Diri Sendiri

Untuk mengisi dan menunaikan kemahuan hati suami, para isteri perlu menjawab soalan ini;

  • Setiap masa ketika suami di rumah, adakah anda melayan keperluan dan kemahuannya serta memberi sepenuh perhatian dalam urusan itu?
  • Setiap kali ketika suami pulang ke rumah, adakah anda menantinya dan menyiapkan untuknya apa sahaja yang diperlukan?
  • Rumahtangga dan anak-anak, sudahkah anda jaga begitu teratur dan kemas hingga tiada satu sudut di dalamnya yang boleh mencacatkan hati suami bila memandangnya?
  • Sikap anda, percakapan anda, kasih sayang dan gerak-geri anda, adakah semuanya menampakkan pada suami bahawa anda benar-benar merelakan dan menyerahkan sepenuh ketaatan dan kesetiaan hanya padanya?

Kalaulah anda gagal untuk mengiakan semua pertanyaan di atas, adakah wajar jika dikatakan bahawa anda adalah isteri yang sedang atau telah gagal?

Sesungguhnya tiada seorang suami pun di dunia ini yang suka hati kalau isteri tidak melayani kehendaknya.

Tidak ada seorang suami pun yang suka hatinya bila didapati isteri tiada di rumah ketika dia keletihan pulang dari kerja.

Tidak akan terhibur hati suami kalau rumahtangga dan anak pinak berkecamuk, tidak terurus.

Tidak akan bahagia suami yang berdepan dengan sikap dan cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih sayang padanya.

Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah bagi seorang suami itu bila isterinya lebih menjaga kepentingan diri sendiri dari memenuhi kehendak dan kemahuan suami.

Dalam keadaan itu isteri mesti memuliakan suami dan memandang tinggi padanya, disamping merasakan diri sendiri “memerlukan” suami dan rela untuk berkhidmat serta taat sepenuhnya padanya.

Pandangan dan sikap begini amat penting kerana darinya akan lahir sikap toleransi, kerjasama dan kasih sayang antara suami isteri.

Sebaliknya kalau isteri beranggapan suami setaraf dengannya, tiada keistimewaan apa-apa, tidak perlu dimulia dan dipandang tinggi, apa lagi untuk diberi perkhidmatan dan ketaatan sepenuh masa, maka itulah punca utama terjadinya ketegangan dalam rumahtangga.

Bila isteri mahu bertindak macam suami, terjadilah cerita dalam satu kapal mempunyai dua orang nakhoda. Saling tarik-menarik dan akhirnya pecah lalu karam.

Adalah mustahil suami akan rela dia di“control” oleh isteri. Bukan hati lelaki namanya kalau suami meminta dia diarah dan diperintah oleh isteri.

Sedangkan perempuan hatinya kalau bersih dari nafsu, memang rela menyerahkan apa saja khidmat pada suami. Tanyalah hati masing-masing adakah suka berhias untuk suami? Tentu “ya” jawabnya.

Maka begitulah dalam soal yang lain, hati perempuan memang rela untuk dia digunakan oleh suaminya.

  • Pengorbanan

Tiada pilihan lain bagi isteri untuk dapatkan kasih sayang suami dan kebahagiaan rumahtangga, kecuali meletakkan dirinya sebagai “hak” suami dan rela untuk berkhidmat pada bila-bila masa. Untuk itu, mungkin berbagai-bagai pengorbanan perlu dibuat misalnya:

  1. Memasak sendiri di rumah, dengan masakan yang boleh memuaskan hati suami.
  2. Menjaga anak-anak dengan pendidikan yang sebaik-baiknya.
  3. Menjaga kesihatan diri, kemudaan dan kebersihan badan supaya sentiasa diminati suami.
  4. Membina akhlak yang mulia semoga suami akan terhibur dan terelak dari rasa marah dan tawar hati.

Pendek kata, isteri mempunyai peranan yang cukup besar dalam membina rumahtangga bahagia. Isteri yang bijak, berilmu dan tahu cara-cara membentuk kebahagiaan sahaja yang akan berjaya.

  • Hubungan Dengan Pencipta Allah S.W.T

Perlu sangat diinsafi bahawa kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah swt. Ertinya, ia bukan ciptaan manusia yang boleh dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal kasih sayang dan ketenangan adalah soal hati, yang bergerak dan hidup tanpa kawalan lahiriah dan kebendaan.

Ia dikawal sendiri oleh Allah SWT, secara ghaib dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri tentukan.

Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira.

Iaitu dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan (zikir) kepada Allah SWT. Suami isteri yang membelakangkan Allah SWT adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang.

  • Petua Menawan Hati Suami
  1. Selalu berdoa agar suami sentiasa menyayangi kita.
  2. Bila suami balik dari kerja, tegur dan sentuh suami sebelum kita membuat kerja-kerja lain.
  3. Tunjukkan keprihatinan dengan bertanya secara khusus mengenai kegiatan suami sepanjang hari (jika suami dalam mood yang sesuai)
  4. Belajar dan berlatihlah untuk mendengar dengan baik dan bertanya dengan tepat.
  5. Jangan tergesa-gesa untuk menyelesaikan masalah suami. Apa yang lebih penting ialah memberi perhatian dan simpati.
  6. Ruangkan masa yang betul-betul “berkualiti” sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari kepada suami.
  7. Tanya ibu mentua, abang atau kakak ipar mengenai hadiah yang disukai oleh suami dan belikan hadiah tersebut sebagai cenderahati atau untuk memujuk.
  8. Masak resipi ibu mentua (kegemaran suami) sekali-sekala.
  9. Beri pujian terhadap penampilan suami (rambut, wajah, pakaian, kesederhanaan dan seumpamanya).
  10. Cepat-cepat pujuk bila suami marah atau berkecil hati.
  11. Minta bantuan suami hanya jika sesuai pada masa, tempat dan jenis profesionnya.
  12. Elakkan suami dari menunggu terlalu lama terutama bila bersiap.
  13. Bila suami memberitahu yang dia akan pulang lewat, ucapkan terima kasih kerana memberitahu.
  14. Bila suami meminta bantuan, buatlah dengan serta merta dengan ikhlas dan gembira dengan tidak mengungkit atau banyak komen (sesungguhnya Allah sangat gembira perbuatan yang demikian).
  15. Ucapkan kata-kata sayang yang romantik pada suami sekurang-kurangnya dua kali sehari.
  16. Jika kita marah, tunggu hingga sejuk. Bila sudah sejuk beritahu suami apa yang mengganggu fikiran secara sopan. Jangan sesekali salahkan suami.
  17. Bila suami bercakap, beri perhatian sepenuhnya, hentikan apa jua pekerjaan yang sedang dilakukan. (jika boleh).
  18. Bila ingin memesan barang untuk dibeli oleh suami, senaraikannya di atas kertas. Jangan buat suami terpaksa pergi ke kedai dua atau tiga kali.
  19. Tanya suami bila dia ingin berehat atau tidur.
  20. Peluk suami dengan penuh kasih sayang sebanyak tujuh kali sehari.
  21. Telefon suami di tempat kerja hanya apabila ada perkara penting atau kecemasan sahaja. Telefonlah dengan lebih kerap apabila suami menggalakkannya.
  22. Jangan ganggu suami ketika dia sedang asyik melakukan sesuatu yang memerlukan penelitian.
  23. Jika suami marah, jangan sekali-kali menjawab, hanya tunduk dan diam (walau pun kita tak bersalah). Terangkan keadaan yang sebenar selepas dia sejuk.
  24. Bila meminta bantuan suami, terangkan pada suami dengan jelas mengenai kerja-kerja rumah yang perlu bantuan. Beri pilihan kerja yang disukainya. Jangan menyuruh-nyuruh, gunakan perkataan yang sesuai dan lemah lembut.
  25. Sentiasalah kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.

Semoga ia bermanfaat!

Loading...

Tags: #cara jaga adab suami isteri #kasih sayang suami isteri #kehidupan rumahtangga #mahu disayangi suami #petua keluarga bahagia #petua menambat hati lelaki #petua menawan hati suami #tips isteri solehah #tips kebahagiaan rumahtangga #tips rumahtangga #tips suami isteri

Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Kaedah Menghafal Dengan Baik
Menghafal memerlukan pendekatan yang baik yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran individu. Berikut adalah
Tips Pupuk Kasih Sayang Isteri Dalam Hubungan Perkahwinan
Memupuk kasih sayang dalam hubungan perkahwinan adalah aspek penting untuk mengekalkan keharmonian dan

Comments are closed.