Panduan Khusyuk Dalam Solat Supaya Solat Lebih Berkualiti

Panduan Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk dalam solat merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Khusyuk ialah hati sentiasa hidup, manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat dan merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu solat.

Hakikat zahirnya pula adalah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, rukuk, sujud, duduk dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.

Bagaimana untuk solat dengan khusyuk? Antara masalah utama dalam solat adalah :

  • Tidak khusyuk dan memikirkan hal lain
  • Sering lalai dan terlupa rakaat
  • Tergesa-gesa dalam solat

Mendidik diri untuk sentiasa khusyuk semasa solat merupakan satu proses yang panjang dan berterusan. Allah SWT menggelar mereka yang khusyuk dalam solat sebagai orang mukmin yang berjaya.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Terdapat banyak cara untuk meningkatkan tahap khusyuk di dalam solat. Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar solat, sebelum seseorang itu mendirikan solat.

Sebelum Mendirikan Solat

  • Menjaga makanan, minuman dan pemakaian

Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.

  • Sediakan diri sebelum solat

Bagaimana menyediakan diri sebelum solat? Antaranya adalah dengan membersihkan diri dan bersugi, mengambil wuduk dengan rapi dan sempurna, membersihkan bilik atau kawasan solat dan memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya. Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Tanamkan dalam fikiran bahawa kita sedang bersedia untuk menghadap Allah, seolah-olah ini adalah solat yang terakhir. Kadangkala, ramai antara kita gagal untuk memahami bahawa solat adalah satu pertemuan yang sangat penting dengan Allah.

  • Jangan solat dalam keadaan lapar dan dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya adalah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidak selesaan ketika menunaikan solat.

Sabda Rasulullah SAW:

“Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”

(Hadis riwayat Muslim)

  • Pilih tempat solat yang menenangkan

Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat. Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma:

“Bahawa Rasulullah SAW menegah mendirikan solat pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

  • Solat di awal waktu

Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

  • Menyediakan diri sebelum solat dan menghidupkan amalan-amalan sunat

Solat akan menjadi sesuatu yang penting kepada kita bila kita mula melibatkan kehidupan kita secara Islam serta beramal dengannya. Menyediakan diri untuk solat juga akan membuatkan kita memotivasikan diri sendiri dan juga memberi diri kita ruang tempoh untuk bertenang.

Terdapat beberapa amalan ringkas yang boleh kita semua amalkan. Antaranya adalah :

  1. Membaca beberapa helaian muka surat dari surah dalam Al-Quran pada waktu pagi dan petang
  2. Mengucapkan zikir apabila kita bangun dan sebelum tidur
  3. Mendengar bacaan Al-Quran semasa memandu atau perjalanan ke sesuatu tempat

Ketika Hendak Menunaikan Solat

  • Azan dan iqamah

Kumandangkan azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

  • Lakukan solat secara berjemaah

Berusahalah melakukan solat secara berjemaah kerana merupakan suatu tuntutan dan syiar agama Islam. Selain pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah itu akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara yang lagha dan boleh melalaikannya.

  • Menghadirkan hati

Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.

  • Mengingatkan mati

Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita dan solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.

  • Membaca zikir

Sebelum mengangkat takbir, elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti membaca:

  1. Surah an-Nas
  2. Ta‘awudz
  3. Tahlil : La ilaa ha illallah
  4. Zikir :

امنا با الله و برسوله

“Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”

  • Berusaha melawan gangguan syaitan

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Ketika Menunaikan Solat

  • Mengubah amalan solat yang biasa dilakukan

Apa yang dimaksudkan adalah melanjutkan tempoh beribadah daripada hanya solat 4 rakaat tanpa sebarang wirid, zikir, doa dan solat sunat.

Rasulullah SAW bersabda:

”Barangsiapa yang solat (rawatib) sehari semalam 12 rakaat, maka Allah SWT akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim, An Nasai, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Solat 12 rakaat itu adalah dua rakaat qobliyah (sebelum) Subuh, empat sebelum Zuhur dan dua setelahnya, dua setelah Maghrib, dan dua setelah Isyak sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Imam al-Tarmidzi. Ini adalah cara yang efektif kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kecenderungan untuk solat secara tergesa-gesa. Ia akan membuatkan kita lebih berdisiplin dan meningkatkan tahap tumpuan kita semasa solat.

  • Meneliti dan memahami bacaan solat

Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan, terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

  • Merendahkan diri

Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud.

Rasulullah SAW bersabda:

“Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.”

(Hadis riwayat Muslim)

  • Mengagungkan Allah SWT

Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam solat. Timbulkan rasa malu (Haya’) iaitu perasaan malu terhadap Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

  • Menghindari dari memikirkan hal keduniaan

Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

  • Tumpuan penuh pada solat

Segala perhatian dalam solat itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih) sambil menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat itu.

  • Mengurangkan pergerakan anggota badan

Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

  • Sentiasa melihat tempat sujud

Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat di dalam gelap.  Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

  • Lakukan solat dengan thuma’ninah

‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir SubhanAllah.

Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Rasulullah SAW ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:

“Apabila kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyuk di dalam solatnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan. Apa yang penting adalah tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah SWT supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyuk dalam beribadat kepadaNya.

Carian Berkaitan

doa supaya khusyuk solat
Loading...

Tags: #Bagaimana untuk solat dengan khusyuk #Cara Terbaik Khusyuk Dalam Solat #cara untuk khusyuk dalam solat #Kenapa Solat Susah Nak Khusyuk #kepentingan khusyuk dalam solat #Khusyuk Dalam Solat #khusyuk solat #lalai dalam solat #Langkah Berkesan Menuju Khusyuk Di Dalam Solat #maksud khusyuk dalam solat #Panduan untuk khusyuk dalam solat #panduan untuk solat dengan khusyuk #perkara yang membantu untuk solat dengan khusyuk #Rahsia Solat Khusyuk #solat dengan khusyuk #solat fardu #Solat Lebih Berkualiti #solat sunat #Tip-tips Dan Panduan Lengkap Cara Rahsia Khusyuk Dalam Solat #tips untuk khusyuk dalam solat

Amalan Memperolehi Rezeki Melimpah & Berpanjangan, Rugi Kalau Tak Diamalkan!
Bila disebut tentang rezeki, apa yang kita perlu tahu, perkara yang paling penting
Kelebihan Solat Berjemaah Menurut Pandangan Pakar Fizik, Ini Sebab Kenapa Ia Digalakkan!
Solat berjemaah memiliki banyak kelebihan dan Allah menggandakan pahala bagi mereka yang melakukan
Peristiwa Israk Dan Mikraj, Kisah Perjalanan Istimewa Nabi Muhammad SAW
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad
Tanda Akhir Zaman & Kisah Sebelum Terjadinya Hari Kiamat
Setiap muslimin serta muslimat wajib mempercayai hari kiamat. Bahkan hari kiamat turut terdapat

Comments are closed.