Senarai Solat-solat Sunat & Kelebihannya

Senarai Solat Solat Sunat & Kelebihannya

Solat sunat ialah solat yang dilakukan oleh seorang Muslim dengan kerelaan hatinya sendiri, sama ada solat itu dikerjakan pada waktu malam ataupun siang. Solat sunat ini juga dikenali dengan solat “nafilah” atau solat “tathawwu” iaitu solat yang tidak diwajibkan untuk dilakukan. Siapa yang mengerjakannya akan mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa. Namun solat-solat sunat ini mempunyai pelbagai kelebihan yang sangat besar.

Solat sunat adalah jauh lebih banyak daripada solat fardhu. Kalau solat fardhu hanyalah dilakukan lima kali sehari, tetapi solat sunat tidak ada hadnya. Pada zaman dahulu, ramai para sahabat yang mengerjakan solat sunat sehingga beratus-ratus rakaat banyaknya.

Kepentingan solat sunat

Selain daripada kepentingan atau tujuan khusus, kepentingan solat sunat secara amnya ialah:

  • Melengkapkan kekurangan di dalam solat fardhu

Kita tidak dapat menafikan bahawa kita masih banyak lalai di dalam solat. Solat kita begitu jauh bezanya daripada solat para sahabat dan orang soleh dahulu, apalagi hendak dibandingkan dengan solat Rasulullah SAW sendiri. Kadang kala, bermacam-macam perkara dunia yang kita ingati ketika di dalam solat. Lebih malang lagi, kalau kita boleh terfikirkan perkara yang berbentuk maksiat ketika di dalam solat.

Solat seperti ini sudah tentulah banyak cacat celanya. Ibarat sehelai kain yang sudah koyak rabak. Berlubang di sana sini. Sudah tentulah Allah tidak akan menerima solat seperti itu. Samalah seperti kita hendak memberikan hadiah kepada seseorang, sudah tentulah dia tidak mahu menerima hadiah kain yang sudah koyak rabak. Kalau pun diterima untuk menjaga hati kita, dia pasti akan membuangkannya sebaik kita sudah pergi. Untuk menampung kekurangan ini, maka kita perlu lakukan solat sunat.

Solat sunat yang dilakukan dengan baik akan dapat menampung kekurangan di dalam solat fardhu. Ibarat kain yang sudah koyak, perlulah ada kain yang lain untuk menampal kain yang sudah koyak itu. Ia tidak boleh ditampal dengan kertas atau plaster. Justeru itu, ia mesti ditumpang dengan solat sunat, bukan amalan sunat yang lain. Setidak-tidaknya, bila sudah ditampal dengan baik, kain itu masih boleh digunakan, walaupun ia tidak akan menjadi sebaik kain yang sememangnya elok dan tidak koyak.

Solat yang fardhu tetap tidak disempurnakan dengan solat sunat, maka orang itu tetap dikira berdosa. Maka bagi kita yang solat fardhu masih belum sempurna, hendaklah membanyakkan solat sunat. Begitu pula puasa sunat dapat menyempurnakan puasa wajib yang tidak sempurna, sedekah dan derma untuk menyempurnakan zakat yang tidak lengkap, umrah untuk menyempurnakan haji yang cacat dan seterusnya.

  • Menjadi benteng kepada solat fardhu

Apa yang dimaksudkan dengan solat sunat menjadi benteng kepada solat fardhu ialah seseorang yang selalu solat sunat akan lebih sukar meninggalkan solat fardhu berbanding seseorang yang hanya melakukan solat fardhu sahaja. Kalau dia terlalu sibuk, setidak-tidaknya dia hanya akan mengorbankan solat sunatnya, tidaklah sampai mengorbankan solat fardhunya. Tetapi seseorang yang hanya melakukan solat fardhu, dia mungkin akan mudah mengorbankan solat fardhunya ketika dia terlalu sibuk.

Kelebihan dan fadilat solat sunat

Menurut hadis-hadis Rasulullah s.a.w, sesetengah solat sunat itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjarannya tetapi juga fadhilat, hikmah dan faedahnya. Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud di tengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah s.wt

Begitu juga mereka yang mengamalkan solat sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya. Orang yang mengerjakan solat Terawih di bulan Ramadhan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Orang yang mengamalkan solat sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan begitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri.

Hikmah solat sunat :

  • Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t
  • Dapat membentuk peribadi yang mulia.
  • Dapat membentuk akhlak diri yang terpuji.
  • Menampung kekurangan dalam solat fardu.
  • Memperolehi ketenangan diri dan perasaan.
  • Menjadikan diri sebagai mukmin yang sejati.
  • Menghindarkan diri daripada segala larangan Allah s.w.t
  • Menjadikan mukmin sentiasa mengingati Allah s.w.t
  • Sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah s.w.t
  • Mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah s.w.t
  • Mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
  • Mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan akhirat.

Kategori dan bahagian solat sunat

Kesemua solat sunat terbahagi kepada 2 jenis iaitu :

  • Solat-solat sunat Mu’akkad (dituntut atau digalakkan)
  • Solat-solat sunat Ghair Mu’akkad. (tidak dituntut)

Dua bahagian solat sunat :

  • Solat-solat sunat Rawatib (solat sunat mengiringi solat fardhu sama ada Qabliyyah atau Ba’diyyah).
  • Solat-solat sunat selain dari Rawatib.

Senarai solat-solat sunat yang boleh dikerjakan

Berikut adalah senarai solat-solat sunat yang boleh dikerjakan :

  • Solat sunat wuduk
  • Solat sunat tahiyatul masjid
  • Solat sunat rawatib
  • Solat sunat awwabin
  • Solat sunat tahajjud
  • Solat sunat taubat
  • Solat sunat hajat
  • Solat sunat istikharah
  • Solat sunat tasbih
  • Solat sunat witir
  • Solat sunat isyraq
  • Solat sunat dhuha
  • Solat sunat kusuf (gerhana bulan)
  • Solat sunat kusuf (gerhana Matahari)
  • Solat sunat asyura
  • Solat sunat nisfu Syaaban
  • Solat sunat tarawih
  • Solat sunat witir tarawih
  • Solat sunat tarawih lapan rakaat
  • Solat sunat lailatul qadar
  • Solat sunat Aidil Fitri
  • Solat sunat Aidil Adha
  • Solat sunat zawal

Solat sunat afdal di rumah

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Sebaik-baik solat ialah solat seorang lelaki di rumahnya kecuali yang fardu.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Solat yang dikerjakan oleh seorang lelaki di rumahnya merupakan cahaya. Maka sesiapa yang mengkehendakinya, ia dapat menyinari rumahnya sehingga bercahaya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat sunat yang afdal dikerjakan secara berjemaah

Misalnya solat sunat 2 Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha), solat Tarawih dan solat Gerhana Bulan dan solat Gerhana Matahari.

Waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat

  • Selepas solat fardhu Subuh hingga terbit fajar.
  • Mulai terbit fajar hingga matahari naik kadar segalah atau 7 hasta.
  • Waktu ‘Istiwa’ (rembang) iaitu matahari tepat di atas kepala sehingga gelincir matahari kecuali pada hari Jumaat.
  • Selepas solat fardhu Asar hingga terbenam matahari.
  • Waktu cahaya matahari kekuningan di ufuk (syafa’ merah) hingga ia terbenam.

Loading...

Tags: #contoh ibadat di mekah dan madinah #Kategori dan bahagian solat sunat #Kelebihan dan fadilat solat sunat #Kepentingan solat sunat #Melengkapkan kekurangan di dalam solat fardhu #Senarai solat-solat sunat #senarai solat-solat sunat yang boleh dilakukan untuk menambah ibadat #Solat sunat afdal di rumah #Solat sunat yang afdal berjamaah #Waktu yang di larang solat

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
15 Perkara Yang Menurunkan Bala Kepada Umat Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah saw bersabda ; “Apabila umatku telah
Peperangan Khandak Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Khandak, juga dikenali sebagai Perang Parit, adalah pertempuran yang berlaku pada 5
Peperangan Uhud Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Uhud adalah pertempuran penting yang terjadi pada tahun 3 Hijriah (sekitar Oktober

Leave a reply "Senarai Solat-solat Sunat & Kelebihannya"