Kisah Kekalahan Tentera Muslimin Dalam Peperangan Uhud

Kisah Kekalahan Tentera Kaum Muslimin Dalam Peperangan Uhud

Sejarah Perang Uhud merupakan kisah peperangan yang dilalui baginda Rasulullah SAW namun berakhir dengan kekalahan. Perang Uhud adalah pertempuran antara kaum muslim dan kaum kafir Quraisy pada tanggal 22 Mac 625  Masihi, bersamaan 7 Syawal tahun 3 Hijriah. Pertempuran  ini terjadi lebih kurang setahun seminggu setelah Perang Badar al-Kubro. Dalam peperangan ini, tentera muslimin berjumlah 700 orang manakala tentera kafir berjumlah 3,000 orang. Tentera kaum muslimin dipimpin langsung oleh Rasulullah SAW sedangkan tentara kafir pula dipimpin oleh Abu Sufyan.

Berlakunya Perang Uhud

Pertempuran ini dinamakan Perang Uhud kerana terjadi berdekatan Bukit Uhud yang terletak lebih kurang 4 batu dari Nabawi dan mempunyai ketinggian 1,000 kaki dari permukaan tanah. Tercetusya perang ini merupakan agenda balas dendam yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy kerana menderita kekalahan daripada kaum muslimin semasa perang Badar. Ketika Perang Badar, tentera Quraisy yang berjumlah 1,000 orang harus menyerah kalah kepada tentera Islam yang hanya berjumlah 300 orang. Sejumlah nama besar telah tewas dalam peperangan tersebut.

Hal ini membuat mereka yang tersisa akhirnya murka dan menyusun strategi membalas dendam. Tokoh-tokoh Quraisy seperti  Ikrimah bin Abu Jahal, Shafwan bin Umayah, dan Abu Sufyan bin Harb antara yang menjadi penghasut kaum Quraisy.

Langkah yang mereka lakukan adalah dengan menghasut kaum kafir Makkah untuk tidak mengingat korban tewas dalam perang Badar. Mereka juga meminta kaum Quraisy untuk menunda pembayaran tebusan kepada kaum muslimin untuk membebaskan tawanan Quraisy yang masih tersisa di Madinah. Kaum ini juga mengumpul dana untuk modal sebagai persiapan membalas dendam. Ternyata langkah mereka ini berhasil. Mereka berjaya mengumpul 1,000 unta dan 50,000 keping mata wang emas. Mereka juga berjaya menghimpunkan pasukan tiga kali ganda lebih besar dibanding jumlah tentera Quraisy pada perang Badar iaitu sekitar 3,000 orang.

Rasulullah SAW yang mendengar khabar tersebut lalu bergegas menuju ke Madinah untuk mengadakan persiapan ketenteraan. Rasulullah SAW dan sahabat memilih untuk untuk menghadapi tentangan Quraisy di medan terbuka di luar kota Madinah. Rasulullah SAW membahagikan pasukan Islam menjadi tiga pasukan iaitu pasukan Muhajirin dibawah pimpinan Mush’ab bin Umair, pasukan Aus dipimpin oleh Usaid bin Hudhair dan pasukan Khazraj dipimpin oleh Khabbab bin Al Mundzir . Jumlah keseluruhan tentera Islam hanya 1,000 orang, dengan kelengkapan serba minimum berupa 100 baju besi dan 50 ekor kuda (dikisahkan di dalam sebuah riwayat, tanpa adanya kuda sama sekali dalam perang ini). Wallahu a’lam.

Sesampainya di Uhud, kedua-dua pasukan saling mendekat. Peperangan pun terjadi pada para pembawa panji perang. Setelah beberapa orang telah kecundang, akhirnya perang pun berkobar. Jaguh-jaguhan Islam benar-benar menampakkan kehebatan mereka dalam perang kali ini. Kehebatan pasukan Islam merupakan buah dari kekuatan iman yang merasuk dan terpatri kuat dalam hati mereka, seakan-akan iman telah memenuhi setiap pembuluh darah mereka. Kecilnya jumlah pasukan tidak mengentarkan sedikitpun hati para pejuang Islam demi tegaknya agama Allah.

Barisan musuh semakin kacau-bilau. Tidak dapat bertahan, mereka akhirnya lari meninggalkan medan perang. Kaum muslimin unggul dan menguasai medan perang. Namun di sinilah bermulanya malapetaka. Pasukan kafir Quraisy yang lari telah meninggalkan harta benda yang melimpah. Kaum muslimin mula sibuk mengumpulkan harta rampasan perang yang ditinggalkan. Mulailah kecintaan terhadap dunia menghinggapi hati sebahagian besar pasukan pemanah. Mereka khuatir jika mereka tidak akan mendapat bahagian rampasan perang. Lalu mereka berlari meninggalkan bukit strategik itu dan lalai terhadap arahan Rasulullah.

Peta Perang Uhud

Kelalaian tentera muslim dihukum

Kini pertahanan utama kaum muslimin dalam kondisi terdedah dan lemah. Kholid bin Al-Walid, salah satu komander pasukan berkuda Quraisy tidak membiarkan kesempatan emas itu berlalu begitu sahaja. Dia memutar arah haluan pasukan berkuda Quraisy dan merebut posisi paling strategik iaitu bukit para pemanah. Musuh menyerang balas dan mengepung pasukan pemanah. Para pemanah tidak mampu untuk mematahkan serangan mendadak itu. Pertahanan kaum muslimin semakin rapuh. Keadaan berubah seketika.

Pada ketika itu, Rasulullah dikhabarkan telah meninggal dan secara langsung memberikan kesan kepada kaum muslimin yang berperang. Jiwa pasukan Islam lemah, tidak tahu ke mana mereka akan melangkah. Sebahagian mereka terduduk tidak tahu apa yang ditunggu, bahkan sebahagian mereka berfikir untuk menghubungi Abdullah bin Ubay bin Salul; salah satu tokoh munafiqin untuk meminta perlindungan keamanan dari Abu Sufyan (ketua tentera kafir Quraisy yang ketika itu belum memeluk Islam).

Jaguh Quraisy menjadikan Rasulullah SAW sebagai target utama. Rasulullah pada masa itu hanya didampingi sembilan orang sahabat manakala pasukan muslimin yang lain tercerai-berai. Namun, kaum musyrikin lebih dahulu mendengarnya, secepat kilat mencari sumber suara dan di situlah mereka mendapatkan manusia mulia yang selama ini menjadi impian besar mereka untuk membunuhnya.
Tujuh orang gugur dari sembilan orang sahabat yang melindungi Rasulullah. Dua orang sahabat yang tinggal adalah Thalhah bin Ubaidillah dan Sa’ad bin Abi Waqqash. ketika itu, musuh sangat fokus menyerang Rasulullah.

Utbah bin Abi Waqqash melukai bibir Rasulullah SAW dengan lontaran batu. Abdullah bin Shihab Az-Zuhry mencederai pipi baginda. Abdullah bin Qim’ah menghunuskan pedangnya pada badan baginda yang menyebabkan rasa sakit lebih dari sebulan; namun tetakan pedang tersebut tidak berhasil menembusi baju besi Rasulullah SAW. Abdullah melibaskan kembali pedangnya tepat di pipi baginda sehingga gigi seri baginda pecah dan terus sahaja wajah Nabi Allah ini berlumuran darah. Dua sahabat yang masih tersisa itulah yang melindungi Rasulullah sehingga putus beberapa jari-jemari. Pada pertempuran ini, ramai tentera muslim yang menjadi korban.

Punca kekalahan

Dalam perang ini, umat Islam yang awalnya mendapatkan kemenangan akhirnya menderita kekalahan kerana silau oleh harta yang ditinggalkan musuh. Mereka tidak mendengar nasihat Rasulullah untuk menjaga posisi dan memilih untuk mengambil harta sisa kaum kafir Quraisy yang kalah. Mengambil peluang yang baik ketika itu, kaum kafir terus menyerang umat Islam yang tengah lalai kerana harta. Apabila mendengar khabar Nabi telah wafat, hati mereka mula berbelah bahagi.

Kisah ini ditulis dalam surah Ali ‘Imran, ayat 140 hingga 179.

Jika kamu (pada Perang Uhud) mendapat luka, maka mereka pun (pada Perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim. (surah Ali ‘Imran, ayat 140)

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar? (surah Ali ‘Imran, ayat 142)

Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul; sebelumnya telah berlalu beberapa rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Allah akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur. (surah Ali ‘Imran, ayat 144)

Dan berapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar. (surah Ali ‘Imran, ayat 146).

(Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasul (Muhammad) yang berada di antara (kawan-kawan)mu yang lain memanggil kamu (kelompok yang lari), kerana itu Allah menimpakan kepadamu kesedihan demi kesedihan agar kamu tidak bersedih hati (lagi) terhadap apa yang luput dari kamu dan terhadap apa yang menimpamu. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan. (Surah Ali ‘Imran, ayat 153)

Dan sungguh, sekiranya kamu gugur di jalan Allah atau mati, sungguh, pastilah ampunan Allah dan rahmat-Nya lebih baik (bagimu) daripada apa (harta rampasan) yang mereka kumpulkan. (surah Ali ‘Imran, ayat 157)

Dan tidak mungkin seorang nabi berkhianat (dalam urusan harta rampasan perang). (surah Ali ‘Imran, ayat 161)

Dan mengapa kamu (hairan) ketika ditimpa musibah (kekalahan pada Perang Uhud), padahal kamu telah menimpakan musibah dua kali ganda (kepada musuh-musuhmu dalam Perang Badar) kamu berkata, “Dari mana datangnya (kekalahan) ini?” Katakanlah, “Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri.” Sungguh, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (surah Ali ‘Imran, ayat 165)

Sebagai manusia biasa, memang tidak terlepas dari kealpaan dan tidak mustahil apabila seseorang itu terlupa akan sesuatu. Begitu juga pasukan yang berjaga di atas Bukit Uhud. Mereka terlupa dan akhirnya turun ke lembah untuk mengambil harta rampasan perang dan akhirnya, kesilapan ini dihukum dengan kekalahan dalam perang.

Daripada kisah Perang Uhud dan ayat-ayat suci di atas, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan teladan dari kisah ini. Dalam konteks kehidupan masa kini juga, ternyata indahnya fatamorgana dan rasa cinta terhadap dunia mampu melalaikan dan menipu daya. Pangkat, harta, wanita dan sebagainya mampu melemahkan jiwa dan menjerumuskan sesiapa ke lembah dosa jika hati tidak berpegang teguh dengan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Loading...

Tags: #faktor berlakunya perang uhud #iktibar perang uhud #jabal uhud #jumlah tentera dalam perang uhud #kekalahan Islam dalam perang uhud #kisah kekalahan umat Islam dalam perang uhud #kisah perang uhud #korban perang uhud #pengajaran dari perang uhud #peperangan dalam Islam #perang uhud #punca kekalahan perang uhud #sejarah hitam perang uhud #sejarah islam #Sejarah perang uhud #tarikh perang uhud #teladan dari perang uhud #ziarah jabal uhud

Cara Membina Kolam Hiasan Di Laman Rumah, Simple & Cantik!
Membina sebuah kolam hiasan sebenarnya mencipta pelbagai manfaat tanpa melibatkan kos yang tinggi.
Cara Membuat Media Tanaman Ringkas Untuk Tanaman
Media tanaman adalah salah satu komponen penting dalam bidang pertanian. Media tanaman digunakan
Cara Membuat Baja NPK Larut Untuk Tanaman Organik Di Rumah!
Apakah baja NPK? Sistem pemberian huruf dan nombor ini telah diperkenalkan oleh Justus
25 Jenis Hantu Paling Seram Dalam Masyarakat Melayu Malaysia
Hantu merupakan nama panggilan bagi makhluk jin atau syaitan yang menjelma atau merupa

Comments are closed.