Duit Belum Cukup Untuk Kahwin? Ini Cara Mengumpul Duit Untuk Berkahwin

Perkahwinan

Perkahwinan merupakan satu impian bagi setiap insan yang bergelar manusia, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih bujang dan sudahpun layak untuk hidup berpasangan. Sudah menjadi fitrah semula jadi bagi manusia ingin membina satu keluarga yang semuanya bermula dari satu ikatan suci yang dinamakan perkahwinan.

Islam memudahkan umatnya untuk berkahwin. Namun, zaman yang semakin moden dan terus berlalu menjadikan majlis kahwin sebagai satu perkara yang dibesar-besarkan. Kos untuk majlis perkahwinan menjadi semakin tinggi seperti satu trend yang diikuti. Jika berlaku pembaziran dan kelalaian, maka itu sama sekali tidak selari dengan ajaran Islam.

Belanja untuk majlis perkahwinan terlalu tinggi sehingga pasangan pengantin sanggup untuk membuat pinjaman demi memenuhi hajat majlis perkahwinan yang gilang gemilang. Perbelanjaan untuk majlis sehari terpaksa ditanggung untuk beberapa tahun.

Hal ini sebenarnya memang berlaku pada zaman sekarang. Implikasinya, ramai pasangan yang menangguh untuk berkahwin lantaran masalah kewangan. Yang bujang pula memilih untuk kekal bujang.

Penulis berpendapat tidak salah jika inginkan majlis yang besar-besaran, tapi biarlah tidak berlebih-lebih, biarlah mengikut kemampuan kita. Bagi pasangan yang belum berkahwin, bagi si bujang yang mempunyai hajat untuk berkahwin, di sini ingin dikongsikan cara mengumpul dan mencari wang untuk majlis perkahwinan.

  • Bekerja makan gaji atau bekerja sendiri

Bagi mereka yang bekerja makan gaji atau bekerja sendiri, simpan RM250.00 setiap bulan. Jika anda mampu, simpan lebih dari jumlah itu setiap bulan. Bagi seseorang yang baru bekerja, elakkan diri anda dari terlalu banyak komitmen hutang. Contohnya hutang kereta, bayaran takaful dan sebagainya. Ingat, kereta hanyalah kemahuan dan bukannya keperluan asas.

Tahanlah dulu impian untuk memiliki kereta baru yang diidamkan. Tidak salah jika hanya menaiki kenderaan awam, menunggang motosikal dan membeli kereta terpakai untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Hal ini kerana jika anda membuat pinjaman bank untuk membeli kereta baru, bermakna komitmen bank anda bertambah dan pendapatan anda berkurang bila ditolak dengan hutang. Itu belum termasuk hutang belajar dan sebagainya.

Usah bimbang tentang kereta idaman anda, mungkin bila anda sudah stabil, anda akan dapat memiliki sebuah kereta idaman. Apa yang lebih penting, fikirkan dulu tentang rumah kediaman.

Simpanan anda sebanyak RM250.00 setiap bulan akan manjadi RM9,000.00 dalam masa 3 tahun. Jika masih tidak mencukupi, kongsi dengan bakal isteri. Setiap orang simpan RM250.00 setiap bulan dan jumlahnya ialah RM18,000.00 dalam masa 3 tahun.

Jika masih juga tidak mencukupi, gandakan simpanan anda kepada RM500.00 sebulan. Pengiraan ringkas seperti berikut;

RM500.00 x 2 orang x 36 bulan = RM36000.00

Berikut ialah cara bajet untuk majlis perkahwinan.

Bajet ekonomi : RM9,000.00. Kenduri sebelah perempuan
Bajet ekonomi : RM18,000.00. Kenduri sebelah perempuan dan lelaki
Bajet sederhana tinggi : RM36,000.00. Kenduri sebelah perempuan dan lelaki

Namun begitu, pelbagai cara dilakukan oleh pasangan yang ingin berkahwin untuk mencari dan mengumpul duit. Yang berpendapatan kurang, ada yang terpaksa membuat dua kerja demi memenuhi hajat suci untuk disatukan dalam satu ikatan yang sah.

Berikut adalah beberapa cara yang popular bagaimana untuk mengumpul duit dan mendapatkan pendapatan lebih;

  • Melakukan perniagaan atas talian

Perniagaan atas talian merupakan cara yang paling popular untuk mencari pendapatan sampingan. Malah, ternyata berniaga atas talian mampu memberi pulangan dan keuntungan yang banyak sehingga ada golongan yang menjadikan perniagaan atas talian yang diusahakan mereka sebagai sumber pendapatan utama.

Tidak mengejutkan jika pendapatan untuk menjual tudung, pakaian wanita, supplement dan ubat-ubatan mampu memberi pendapatan yang lebih banyak berbanding mereka yang bekerja makan gaji. Lebih-lebih lagi, perniagaan atas talian tidak terlalu rumit untuk dijalankan. Walau bagaimana pun, setiap usaha yang kita lakukan tidak akan berjaya tanpa kerja yang keras.

Terdapat banyak idea untuk melakukan perniagaan atas talian. Apa yang penting, kaji dahulu produk yang ingin anda jual, tahu dari mana dan bagaimana untuk menyediakannya, rangkaian pemasaran yang baik dengan pelanggan dan pembekal, dan sebagainya.

Seorang kenalan penulis menjadikan perniagaan online sebagai kerjaya utama. Dengan berbekal modal kurang dari RM1,000, beliau memasarkan produk pomade di instagram dan boleh dikatakan keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda dari modal permulaan yang sedikit. Dengan hasil jualan itulah beliau berbelanja untuk persiapan perkahwinan dan majlis kahwin.

  • Mencari pendapatan dengan Uber/ Grab Car

Sejak Uber dan aplikasi Grab Car diperkenalkan di Malaysia, ramai yang mengambil peluang untuk menjadi pemandu Uber dan Grab Car. Ada yang memandu untuk menambah pendapatan dan ada juga yang menjadikan ia sebagai kerjaya utama.

Ramai rakan-rakan penulis yang tidak bernasib baik dalam pekerjaan akibat kehilangan kerja setelah krisis minyak dalam sektor oil & gas menjadikan pemanduan Uber dan Grab Car sebagai kerjaya.

Tidak dinafikan, semasa awal aplikasi ini diperkenalkan di Malaysia, ketika bilangan pemandu tidak ramai seperti hari ini, pendapatan yang diperoleh bagi setiap bulan hasil mengambil, membawa dan menunurunkan penumpang boleh mencecah lebih RM10,000!

Pada masa sekarang, dengan pertambahan bilangan pemandu, mereka masih mampu untuk memperoleh sekitar RM5,000 setiap bulan.

Namun, kuncinya adalah kerajinan. Tuntut ilmu dengan pemandu yang berpengalaman untuk mempelajari bagaimana cara untuk mendapat komisen dan bayaran yang maksimum.

  • Belajar dan menjana pendapatan melalui tukaran matawang Forex

Foreign Exchange atau forex ialah perdagangan mata wang asing yang sangat popular di Malaysia sejak beberapa tahun dahulu. Dengan jual beli mata wang asing, tidak dinafikan keuntungan yang diperoleh sungguh lumayan. Hanya memerlukan internet dan telefon pintar atau komputer riba, seseorang boleh menjana pendapatan dengan forex.

Kedengaran seperti mudah, tapi diingatkan ia sangat berisiko jika anda tidak menuntut ilmu dan belajar bersungguh-sungguh dari guru yang pakar.

Kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya Melayu mempunyai sikap inginkan jalan pintas dan ingin cepat kaya tanpa usaha yang banyak. Hal demikian menjadi antara penyebab kegagalan untuk menjana pendapatan melalui forex.

Berjual beli forex tanpa ilmu yang mencukupi, sekadar meneka, hukumnya adalah sama seperti berjudi. Maka, elakkan diri darinya. Perlu diingatkan, terdapat juga broker yang tidak sah dan tidak berkelayakan. Jadi, awaslah supaya tidak menjadi mangsa penipuan pula.

Pendapat penulis tentang forex, memang benar ia dapat memberikan pulangan yang lumayan dalam masa yang cepat. Tapi, syaratnya ialah tuntutlah ilmu dengan secukupnya.

Proses pembelajaran forex bukanlah setahun dua, tapi jika kita belajar untuk mengawal sikap dan tidak terlalu tamak, tidak mustahil dengan modal 100USD bagi seorang beginner, anda boleh menjana 25USD setiap bulan dengan konsisten.

Kemudian, gandakan peratus profit apabila sudah mahir, bersesuaian dengan modal anda dan keinginan anda untuk mengumpul wang untuk majlis kahwin.

Pengalaman menulis telah banyak melihat orang naik dan jatuh dalam dunia forex hanya kerana sikap yang tidak betul, tidak sabar dan malas belajar.

Ramai juga kenalan yang berjaya sehingga mendapat pulangan berpuluh-puluh ribu US dollar, apatah lagi yang berjaya untuk mengumpul duit bagi tujuan perkahwinan.

Kesimpulannya, terdapat banyak jalan dan usaha yang boleh dibuat untuk mengumpul wang. Dan ingatlah, Allah membuka pintu rezeki bagi mereka yang berkahwin.

Oleh hal demikian, jika niat kita baik dan suci untuk membina rumah tangga, demi memenuhi tuntutan agama, in shaa Allah akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Berusaha dan berdoalah, semoga hajat untuk hari bahagia anda dipermudahkan dan tercapai.

IMG_20171206_114610-150x150 Duit Belum Cukup Untuk Kahwin? Ini Cara Mengumpul Duit Untuk Berkahwin

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #berkahwin #bujet simpanan untuk kahwin #cara cari duit untuk berkahwin #cara kumpul duit kahwin #Cara Mengumpul Duit Untuk Berkahwin #cara simpan duit untuk majlis kahwin #idea cara kumpul duit kahwin #mana nak cari duit lebih #nak kahwin tapi duit tak cukup #nak kahwin tapi tak cukup duit #tips simpan duit nak kahwin

Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah
Overlap Loan : Pinjam Wang Untuk Bayar Pinjaman
Mengambil pinjaman baru untuk membayar pinjaman sedia ada selalunya tidak disyorkan, kecuali dalam
Strategi Kurangkan Beban Hutang Pinjaman Bank
Untuk mengurangkan beban hutang pinjaman bank anda, anda boleh melaksanakan beberapa strategi yang

Leave a reply "Duit Belum Cukup Untuk Kahwin? Ini Cara Mengumpul Duit Untuk Berkahwin"