Cara Memasak Ikan Talang Dengan Mudah Dan Sedap

Resipi Masak Ikan Talang Yang Sedap

Ikan Talang adalah jenis ikan laut yang popular dalam kalangan pemancing. Ikan laut ini memiliki nama lain Queenfish, Skinny Fish, atau Leatherskin. Ikan Talang hidup di perairan pantai dengan sistem pertahanan koloni. Ikan ini mampu membesar hingga menjangkau ukuran 1.2 meter.

Ia tergolong sebagai pemangsa yang cukup ganas bagi ikan-ikan kecil. Ikan Talang agak payah untuk ditemui di pasar, namun rasanya yang enak menyebabkan ianya dijual dengan harga yang tinggi.

Terdapat pelbagai cara untuk memasak ikan Talang. Pada pos ini, penulis ingin kongsikan empat cara mudah untuk memasak ikan Talang.

Resipi 1 : Gulai Kuning Ikan Talang

Bahan-bahan :

  • Ikan talang secukupnya (dipotong dan dibersihkan)
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 7-9 tangkai cili kering
  • 1/2 inci lengkuas
  • 1 inci kunyit hidup (boleh juga gunakan serbuk kunyit)
  • Asam keping
  • Garam dan gula secukupnya
  • Timun (dipotong-potong sebesar ibu jari)
  • 2-3 tangkai Lada solok / cili padi
  • 300ml Santan pekat

Cara memasak :

  1. Rendamkan cili kering. Kemudian kisarkannya bersama bawang putih, bawang merah, kunyit dan lengkuas. Masukkan sedikit air.
  2. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. Nyalakan api dan masukkan santan. Kacau rata sehingga mendidih.
  3. Masukkan isi ikan, lada solok dan timun. Biarkan ikan masak.
  4. Masukkan sekeping asam keping. Kemudian tambah garam dan gula dan seimbangkan rasa supaya tidak terlalu masam, masin dan manis.
  5. Apabila timun dan lada sudah layu dan ikan sudah pun masak,padamkan api. Gulai ikan talang sudah siap untuk dihidang.

*Untuk resepi ini, anda juga boleh masukkan daun kesum ke dalam gulai untuk mendapatkan rasa yang berlainan.

Resipi 2 : Ikan Talang Masak Merah

Baha-bahan :

  • Ikan talang secukupnya (dipotong)
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang merah
  • 8-10 tangkai cili kering
  • 1-2 inci halia
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit sos tiram
  • Setengah biji bawang besar (dihiris)
  • Sedikit air asam jawa
  • Minyak masak

Cara memasak :

  1. Rendamkan cili kering. Kemudian kisarkannya bersama bawang putih, bawang merah dan halia. Masukkan sedikit air.
  2. Goreng ikan talang dalam minyak yang panas. Ketepikan. Boleh juga jika anda ingin gaulkan terlebih dahulu dengan garam kunyit atau garam sahaja untuk menambahkan rasa masin pada ikan.
  3. Panaskan 3 sudu minyak masak dalam kuali. Apabila minyak sudah panas, masukkan bahan kisar dan tumis sehingga harum dan mendidih.
  4. Tambahkan sedikit air, masukkan sos tiram dan air asam jawa.
  5. Seimbangkan rasa dengan menambah garam dan gula.
  6. Apabila anda berpuas hati dengan rasa, masak sehingga pecah minyak. Jika terlalu pekat, tambahkan lagi sedikit air.
  7. Apabila telah pecah minyak, masukkan ikan talang yang telah digoreng tadi. Gaulkan.
  8. Ikan talang masak merah siap untuk dihidang dan dimakan.

Resipi 3 : Gulai Kari Ikan Talang

Bahan-bahan:

  • Ikan talang secukupnya (dipotong)
  • 1 bungkus kecil rempah kari ikan
  • 8 tangkai cili kering – dikisar
  • 4 ulas bawang merah – dikisar
  • 3 ulas bawang putih – dikisar
  • 1 1/2 inci halia – dikisar
  • 300ml santan
  • 1 sudu kecil air asam jawa atau asam keping
  • 3 biji sayur bendi
  • 2 biji tomato
  • Sedikit biji sawi dan halba campur
  • Sedikit garam, gula dan serbuk perasa
  • 1 tangkai daun kari

Cara memasak :

  1. Bersihkan ikan talang, ketepikan.
  2. Kisarkan bahan-bahan kisar (cili kering yang direndam, bawang merah, bawang putih dan halia).
  3. Panaskan minyak yang banyak dan masukkan rempah (halba campur dan biji sawi), tumis seketika. Masukkan pula bahan kisar serta daun kari. Tumis sehingga wangi.
  4. Bancuh rempah kari ikan dengan sedikit air. Masukkan rempah kari ikan dan tumis sehingga rempahnya agak garing.
  5. Setelah garing, masukkan santan dan air secukupnya.
  6. Masukkan air asam jawa.
  7. Setelah kuah mendidih, perlahankan api dan masukkan ikan. Kemudian biarkan kuah merenih dengan api kecil sehingga pecah minyak.
  8. Masukkan bendi dan tomato.
  9. Akhir sekali masukkan garam dan serbuk perasa. Seimbangkan rasa mengikut cita rasa anda.
  10. Setelah kuah terbit minyak dan cantik, boleh tutup api.
  11. Kari ikan talang siap untuk dihidang dan dimakan.

Resipi 4 : Asam Pedas Ikan Talang

Bahan-bahan :

  • Ikan talang secukupnya (dipotong sederhana)
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 10 tangkai cili kering
  • 2 tangkai cili padi
  • 2 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup atau 2 sudu kecil kunyit serbuk
  • 5 tangkai daun kesum
  • 2 batang serai
  • 2 batang bunga kantan
  • Air asam jawa
  • garam dan gula secukup rasa

Cara memasak :

  1. Basuh dan bersihkan ikan kemudian ketepikan dulu.
  2. Kisar hancur bawang putih, bawang merah, cili kering, cili padi, halia dan kunyit.
  3. Panaskan sedikit minyak. Kemudian tumiskan bahan kisar hingga garing. Masukkan juga serai & bunga kantan.
  4. Masukkan ikan talang ke dalam tumisan tadi. Gaul rata dan masak dengan api perlahan.
  5. Masukkan air dan air asam jawa.
  6. Sesuaikan rasa masam dan masin dan manisnya.
  7. Masukkan daun kesum dan biarkan sekejap.
  8. Angkat dan hidangkan. Asam pedas ikan talang siap untuk dimakan.

Carian Berkaitan

resepi ikan talang, ikan talang, ikan talang masak apa sedap, resepi ikan talang segar, ikan talang segar
Loading...

Tags: #aneka resepi ikan #aneka resepi ikan talang #asam pedas ikan talang #cara masak ikan talang #gulai kari ikan talang #gulai kuning ikan talang #ikan talang #ikan talang goreng merah #ikan talang masak merah #masak ikan talang #masakan timur

Cara Membuat Tempoyak Asli Dan Tahan Lama
Di Malaysia, buah durian sudah tidak asing lagi buat masyarakat tempatan, ia sangat
Air Soda Herbs Yang Sedap! Ini Bahan-Bahan Dan Cara Menyediakannya!
Air soda herbs tidak asing lagi dengan rasanya yang enak. Malah, air soda
10 Resepi Masakan Ikan Tongkol Popular Boleh Anda Cuba!
Bermacam-macam jenis ikan yang mempunyai cita rasa yang tersendiri sehingga diminati oleh berbagai
Penyakit Ikan Marin, Tahap Jangkitan & Punca Kematian
Tahap jangkitan penyakit ikan marin Akut Kadar kematian yang tinggi, bilangan ikan yang

Comments are closed.