Adab-adab & Amalan Sunat Ketika Menziarahi Kubur

Adab Adab & Amalan Sunat Ketika Menziarahi Kubur

Budaya ziarah kubur adalah sesuatu yang digalakkan oleb syarak dan termasuk di dalam kategori hukum sunat. Budaya ziarah kubur mampu menolong pihak yang terlibat ke arah mengingati persoalan mati dan hari akhirat, di samping ia juga boleh membawa rahmat kepada orang-orang yang telah mati dengan perantaraan doa dan istighfar yang dilakukan.

Salam dan Doa Ziarah Kubur

Di saat awal memasuki tanah perkuburan untuk menziarahi adalah disunatkan memberi salam kepada penghuni kubur berkenaan dan kalangan kaum muslim serta berdoa agar mereka memperolehi rahmat dan selamat sejahtera. Salam semasa menziarahi kubur juga boleh diucapkan dengan lafaz yang lain, sebagaimana yang diterangkan di dalam beberapa Hadis yang berkenaan.

Antaranya adalah Hadis At-Tirmidzi dan Ibnu Abbas R.A. bahawa Rasulullah SAW semasa melalui tanah perkuburan Madinah telah berpaling menghadap kumpulan kubur sambil memberi salam dan berdoa seperti berikut :

“Salam Sejahtera kepada wahai ahli kubur, semoga Allah mengampunkan kamu, kamu adalah orang yang mendahului kami, dan kami pula akan menurut jejak kamu apabila sampai gilirannya.”

Adab-adab Menziarahi Kubur

Dalam huraiannya, para ulama menjelaskan bahawa orang-orang yang menziarahi kubur adalah dituntut supaya melakukan beberapa perkara berikut :

  • Bersuci Daripada Hadas

Sebelum pergi ke kubur, hendaklah terlebih dahulu menyucikan tubuh badan daripada hadas besar dan kecil (sunat berwudhuk).

  • Memberi Salam

Setibanya di tanah perkuburan, disunatkan memberi salam secara umum kepada seluruh ahli kubur berkenaan dengan mana-mana Iafaz salam yang pernah diajar oleh Baginda SAW kepada sahabat-sahabatnya dan sebagaimana yang diterangkan di dalam Hadis mengenainya.

  • Memberi Salam Secara Khusus

Apabila sampai berhampiran kubur kaum kerabat atau sahabat handai, hendaklah berdiri rapat tepi kubur berkenaan, berhadapan muka si mati di dalamnya sambil memberi salam secara khusus kepada yang berkenaan. Umpamanya, kalau si mati berkenaan ialah ayah sendiri, maka lafaz salamnya ialah: “Assalamualaikum wahai Ayahku.” Jika ibu sendiri maka lafaz salamnya ialah: “Assalamualaikum wahai Ibuku.”

Begitu juga kepada kaum kerabat dan sahabat handai serta kenalan-kenalan yang lain, beri salam dahulu kemudian diikuti dengan panggilan namanya yang biasa dibahasakan kepada mereka semasa mereka hidup.

Dalam sebuah Hadis ada diterangkan, apabila seseorang Islam melintasi di hadapan kubur seseorang Islam, di mana dia kenal dengan si mati berkenaan semasa hayatnya serta dia memberi salam kepadanya, maka si mati berkenaan tidak sahaja membalas salamnya, tetapi juga mengenalinya lebih-lebih lagi jika menziarahinya secara khusus. Malahan si mati berkenaan lebih bergembira seandainya salam orang yang hidup berkenaan disertakan dengan doa baginya.

  • Membaca Al-Quran

Selepas memberi salam, amalan yang disunatkan pada mengerjakannya dalam masa menziarah kubur ialah membaca Al-Quran serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati tersebut.

  • Berdoa

Apabila sudah selesai membaca Al-Quran, terus menghadap ke arah kiblat dan berdoa untuk si mati berkenaan semoga Allah Ta’ala mengampuni dosanya dan melimpahkan rahmat kepadanya, kerana doa yang didahului dengan bacaan Al-Quran lebih diharapkan maqbulnya.

Hukum Kaum Wanita Menziarahi Kubur

Sememangnya ada hadis-hadis secara tegas melarang kaum wanita menziarahi kubur, dan dalam pada itu juga terdapat pula hadis-hadis yang secara tidak langsung membayangkan bahawa kaum wanita tidak dilarang menziarahi kubur. Antara hadis yang secara tegas melarang kaum wanita menziarahi kubur ialah :

 “Dari Hassan Bin Thabit R.A. katanya Rasulullah S.A.W. telah mengutuk orang-orang perempuan yang selalu sangat menziarah kubur.“(Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad dan lain-lain).

Imam Qurtubi Rahimahullah memberi huraian bahawa maksud hadis tersebut ditujukan kepada orang-orang perempuan yang selalu sangat menziarahi kubur sehingga mengabaikan hak suami dan juga kerana mereka melakukan sesuatu yang dilarang seperti meraung-raung dengan ratapan tangisan dan sebagainya.

Berdasarkan kepada Hahis-hadis yang melarang kaum wanita menziarahi kubur, sebahagian besar para ulama khususnya dari Mazhab Syafie menyatakan ziarah kubur sunat bagi kaum lelaki dan makruh bagi kaum perempuan. Sekiranya kaum perempuan melakukan sesuatu yang dilarang semasa menziarahi kubur seperti meraung-raung dengan ratapan tangisannya, mendedah aurat, bercampur gaul dengan kaum lelaki dan sebagainya, maka hukumnya tetap haram.

 Ziarah Kubur Ibu Bapa

Sebagaimana yang diterangkan dalam banyak hadis Nabi SAW bahawa menziarahi kubur kaum keluarga terutama sekali kubur kedua-dua ibu bapa adalah sunat muakkad hukumnya dan besar pahalanya. Di dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW ada menerangkan bahawa anak-anak yang derhaka, yang kematian kedua-dua ibu bapanya, kemudian ia menyesal lalu bertaubat. Kesan dari rasa kesalahannya ini, ia sentiasa berdoa untuk kedua-dua ibu dan bapanya, nescaya dia diampuni Allah SWT lalu dikira sebagai anak yang taat.

Ziarah Kubur (Maqam) Rasulullah SAW

Seluruh umat Islam, lelaki dan perempuan sememangnya sunat menziarahi kubur (maqam) Rasulullah SAW di Madinah AI-Munawwarah, bila mana ada kesempatan untuk berkunjung ke sana, kerana menziarahi kubur Rasulullah SAW maka pahala dan kebaikannya amat besar sekali.

Loading...

Tags: #Adab ziarah kubur #Adab-adab Menziarahi Kubur #amalan sunat #amalan sunat ketika ziarah kubur #amalan sunat ziarah kubur #amalan ziarah kubur #bolehkah wanita ziarah kubur #cara memberi salam ketika ziarah kubur #Doa Ziarah Kubur #Hukum Kaum Wanita Menziarahi Kubur #hukum wanita ziarah kubur #hukum ziarah kubur #hukum ziarah kubur ibu bapa #kubur #perkara sunat ketika ziarah kubur #Salam dan Doa Ziarah Kubur #ziarah kubur #Ziarah Kubur Ibu Bapa #Ziarah makam Rasulullah SAW

Amalan Mudah Mendapat Jodoh. Yang Belum Berpunya Boleh Cuba Petua Ini!
Pasangan hidup adalah salah satu dari stesen perjalanan dalam kehidupan bagi semua manusia.
Amalan Isteri Derhaka Kepada Suami Walaupun Tanpa Disedari
Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :
Punca Rezeki Suami Menjadi Sempit. Ini Sebab Ramai Isteri Tidak Perasan!
Perkahwinan merupakan sunnah Nabi SAW. Selain daripada mendapat pahala dengan menyempurnakan sunnah, perkahwinan turut
Badal haji. Ini Syarat Yang Membolehkannya Dilakukan
Pengertian Badal Haji Badal ertinya ‘ganti’,’pengganti’, atau yang ‘digantikan’. Oleh itu Badal Haji

Leave a reply "Adab-adab & Amalan Sunat Ketika Menziarahi Kubur"