25 Jenis Hantu Paling Seram Dalam Masyarakat Melayu Malaysia

25 Jenis Hantu Mengikut Kepercayaan Masyarakat Melayu Malaysia

Hantu merupakan nama panggilan bagi makhluk jin atau syaitan yang menjelma atau merupa bentuk untuk menakut-nakutkan dan menyesatkan umat manusia. Jin ialah sejenis makhluk yang diciptakan oleh Tuhan selain dari manusia yang mampu menukar rupa bentuk mereka kepada bentuk-bentuk lain dan menjadikan mereka terbahagikan kepada kategori hantu yang berlainan jenis dan nama.

Persoalannya, mengapakah jenis hantu seperti pontianak tidak wujud di lain-lain benua melainkan di Tanah Melayu sahaja? Hal ini demikian kerana kemunculan hantu di sesuatu tempat di dunia ini adalah angkara kerja jin kafir, jin jahat dan syaitan yang mengambil kesempatan atas apa yang berlaku di sesuatu tempat mereka diami. Jin juga biasanya menggunakan bahasa mengikut tempat mereka tinggal.

Oleh sebab itulah, terdapat pelbagai bahasa pertuturan apabila mereka menjelma dan menukar rupa dan kerana itu juga hantu di negara luar tidak berbahasa Melayu seperti di Malaysia.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, terdapat nama dan jenis-jenis hantu yang tersendiri. Antara jenis-jenis kelompok hantu ini adalah seperti berikut.

  1. Pontianak / Puntianak / Kuntilanak

Wanita berpakaian serba putih yang membalas dendam. Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya. Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia. Sebuah daerah di Indonesia dinamakan Pontianak kerana mendapat nama dari jenis hantu ini yang menyerang dan mengganggu tempat tersebut semasa pembukaannya pada masa dahulu.

  1. Langsuir

Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati. Terdapat sesetengah pendapat bahawa Langsuir berasal daripada wanita yang mati bersalin atau selepas itu.

Langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan menggoda lelaki agar mengikuti mereka ketempat sunyi. Apabila sampai ke tempat yang sunyi, langsuir akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa dan menghisap darah mereka.

  1. Pelesit

Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin atau syaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya.

Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus dan masuk ke rumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.

  1. Hantu Raya

Hantu raya merujuk kepada sejenis makhluk halus yang dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja dan juga bagi memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Hantu raya akan dikawal oleh pemiliknya yang boleh menyuruhnya melakukan apa-apa juga jenis kerja berat. Hantu raya juga boleh disuruh oleh tuannya bagi merasuk seseorang. Hantu raya mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya hantu raya akan menjelma sebagai tuannya.

Hantu raya yang dipelihara itu akan perlu diberi makan sebagaimana yang dipersetujui. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, hantu raya yang kelaparan itu akan menyerang tuannya. Hantu raya biasanya perlu diwarisi.

  1. Hantu Bungkus / Hantu Pocong

Makhluk ghaib yang dilihat berbungkus dalam kain kafan. Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.

Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.

  1. Polong

Hantu polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh. Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.

Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh ke dalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol. Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan. Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.

Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

  1. Penanggal / Penanggalan / Balan-balan

Hantu penanggal atau juga dikenali sebagai hantu tengelong di negeri Kedah merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena. Mereka yang menuntut ilmu penanggalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka agar kecut sebelum bercantum masuk kembali ke dalam badan asal mereka.

Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka akan terbongkar. Penanggal dipercayai suka darah perempuan yang bersalin, dan sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah. Oleh itu, biasanya disekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri. Dipercayai penanggal takut hendak mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut. Ketika penanggal terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.

  1. Jin Tanah

Jin tanah merujuk kepada sejenis makhluk halus yang terdiri daripada golongan jin yang menjaga sesuatu kawasan (tanah). Jin tanah biasanya menjaga sesuatu kawasan tanah dan akan mengganggu mereka yang membuka tanah baru untuk berhuma. Untuk mengelakkan gangguan jin tanah, biasanya upacara pembukaan tanah baru akan diadakan. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak, jin tanah akan mengganggu mereka yang meneroka kawasan tanah baru tersebut.

  1. Toyol

Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri. Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Toyol perlu dijaga dengan baik, perlu diberi makan dan dilatih untuk mencuri.

  1. Hantu Jepun

Hantu Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, semasa Jepun menawan Malaysia. Tempat yang selalu selalu disebut-sebut sebagai kawasan yang dihantuinya adalah bangunan sekolah berasrama, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia II. Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang, tanpa kepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya. Kadang kala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan kasut but tentera.

  1. Bajang

Bajang merupakan makhluk halus yang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir. Ia merupakan syaitan jantan yang sering kali menjelma sebagai kucing pole cat. Bajang seringkali menyerang kanak-kanak dan mampu menyebabkan penyakit misteri yang boleh membawa maut kepada mangsanya.

Bajang akan dikawal oleh pemiliknya dan akan disimpan di dalam tabung buluh. Sejenis daun khusus akan digunakan sebagai penyumbat tabungan tersebut dan dikunci dengan tangkal. Bajang hanya dikeluarkan apabila pemiliknya hendak mengenakan musuhnya. Bajang yang dipelihara itu akan diberi makan telur dan juga susu. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Bajang yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.

  1. Bunian

Orang Bunian ialah makhluk halus dari golongan jin dalam lagenda Melayu, mirip dengan elf dalam lagenda Eropah. Mereka dikatakan wujud dalam masyarakat besar, menyerupai struktur sosial manusia, mempunyai keluarga, puak, dan struktur masyarakat. Orang Bunian dikatakan mendiami kawasan hutan belantara, jauh dari perhubungan manusia, tetapi ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Sesetengah masalah kerasukan dikatakan berpunca dari orang bunian.

Orang bunian mempunyai kuasa luar biasa yang hebat, dan juga diketahui berkawan dan menolong manusia, terutamanya pawang atau bomoh. Orang bunian dikatakan menculik kanak-kanak, dan bayi didalam perut wanita dan ada dituduh menyebabkan manusia sesat di dalam hutan.

  1. Hantu Pari / Pari-pari

Hantu pari atau pari-pari merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang terdapat dalam hutan. Pari-pari ini dikatakan mempunyai masyarat tersendiri dan boleh dikatakan menyerupai orang bunian. Pari-pari dikatakan tidak dipelihara oleh manusia dan dikatakan hidup bebas.

  1. Hantu Galah

Hantu galah dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan. Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya. Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.

  1. Hantu Bidai

Hantu bidai atau juga dikenali sebagai hantu balong bidai merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu yang suka mengganggu manusia. Kononnya hantu bidai merupakan semangat jahat yang tinggal dalam air. Hantu bidai mampu menyerupai tikar, dan akan menggulung dan melemaskan mangsa.

  1. Hantu Kopek

Hantu kopek merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu kopek berbentuk seorang wanita yang tua yang suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu Maghrib, dengan cara menyembunyikan mereka dengan kopek (buah dada) mereka.

  1. Hantu Bukit

Hantu bukit merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran di kawasan bukit. Hantu bukit sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.

  1. Hantu Kubur

Hantu kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran di kawasan perkuburan. Hantu kubur amat ditakuti dalam kalangan orang-orang asli kerana mampu menyebarkan penyakit. Ini adalah antara sebab orang asli berpindah randah sekiranya berlaku kematian. Malah ia ditakuti oleh puak asli Kubu (Indonesia) dan Jakun (Malaysia) walaupun mereka dipisahkan oleh selat Melaka. Sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.

  1. Jerangkung

Jerangkung merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan menginiayai orang lain. Pemeliharaan makhluk halus seperti ini turut dikenali sebagai saka.

  1. Hantu Air / Hantu Laut

Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.

Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air. Dipercayai bahawa hantu air berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak. Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya. Bagi mengelakkan gangguan bagi para nelayan dari hantu air (laut), satu upacara yang dikenali sebagai semah laut akan diadakan setiap tahun. Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai / main pantai.

  1. Hantu Keramat

Hantu keramat merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat di suatu tempat tetapi tidak mengganggu orang.

  1. Hantu Kum-Kum

Asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari (sesetengah cerita menyatakan sebulan).

Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah perawan. Disebabkan itu, wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan “Kum-Kum” sambil mengenakan jilbab.

  1. Puaka

Hantu puaka merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin atau syaitan, yang dikatakan sering berkeliaran bersama-sama cuaca buruk.

  1. Orang Minyak

Orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan mencuri/membuat onar.

Salah satu cerita mengatakan orang minyak ini telah tersalah menuntut, menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 orang gadis. Mangsa akan menjadi terpukau dan ditanda dengan dipangkah pada mukanya selepas dinodai.

  1. Harimau Jadian

Harimau jadian dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki. Ia dikatakan dibantu oleh golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya mempertahankan diri dan juga bagi memudaratkan musuh. Harimau jadian biasanya perlu dibuang sebelum meninggal, dan sekiranya tidak dibuangkan, penuntut ilmu itu akan sukar meninggal dunia.

Loading...

Tags: #balan balan #hantu bajang #hantu bungkus #hantu jepun #hantu kuntilanak #hantu langsuir #hantu malaysia #hantu masyarakat melayu #hantu paling ditakuti di malaysia #hantu pari #hantu pelesit #hantu penanggal #hantu pocong #hantu polong #hantu pontianak #hantu puntianak #hantu raya #hantu yang paling berbahaya #hantu-hantu di malaysia #jenis hantu #jenis hantu di tanah melayi #jenis hantu dlaam masyarakat melayu #jenis jenis hantu di malaysia #Jenis-jenis hantu #jenis-jenis hantu mengikut kepercayaan melayu #jensi-jenis hantu melayu #jin tanah #kategori hantu #nama hantu #nama nama hantu di malaysia #nama-nama hantu #orang bunian #penanggalan #senarai hantu #senarai nama hantu #tempat berhantu

Cara Membina Kolam Hiasan Di Laman Rumah, Simple & Cantik!
Membina sebuah kolam hiasan sebenarnya mencipta pelbagai manfaat tanpa melibatkan kos yang tinggi.
Cara Membuat Media Tanaman Ringkas Untuk Tanaman
Media tanaman adalah salah satu komponen penting dalam bidang pertanian. Media tanaman digunakan
Cara Membuat Baja NPK Larut Untuk Tanaman Organik Di Rumah!
Apakah baja NPK? Sistem pemberian huruf dan nombor ini telah diperkenalkan oleh Justus
Cara Mengenali Karakter Seseorang Melalui Gaya Berjalan!
Banyak cara yang dapat dilakukan untuk membaca karakter seseorang. Salah satunya adalah melihat

Comments are closed.