Solat Hajat yang Lebih Mustajab! Ini Panduan dan Kelebihan Mengerjakannya

Solat Hajat Yang Lebih Mustajab! Ini Panduan Dan Kelebihan Mengerjakannya

Manusia tidak akan sunyi dari cubaan hidup. Cubaan datang tanpa diduga, tanpa dipinta, tanpa didoa dan tanpa diundang. Datangnya kekadang hingga mengoyakkan dan meremukkan hati, tidak tertanggung oleh hati dan perasaan.

Manusia juga tidak ada yang tidak memiliki keinginan dan menyimpan hajat. Hajat, memang banyak sekali yang sentiasa meruntun citarasa manusia. Berbagai keinginan dan berbagai keperluan. Sabda Rasulullah SAW di dalam satu hadith, bahawa tidak akan tumbuh satu pohon pun di muka bumi ini seandainya tidak ada impian dan cita-cita. Namun, dalam kebanyakan hal, mencapainya bukan semudah berkata-kata.

Selagi hayat masih dikandung badan, pasti ada saja cubaan hidup yang membadai dan sentiasa juga hati dan fikiran manusiawi diulit citarasa, impikan sesuatu untuk kelansungan hidup yang dikira bahagia di dunia ini. Sehubungan ini, Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada umatnya solat hajat yang amat mustajab. Pesanan Baginda, mohonlah sesuatu yang baik dengan niat yang baik, kerana yang baik itu diredhai Allah SWT dan RasulNya, yang buruk akan sentiasa disenangi oleh syaitan iblis dan musuh-musuh Islam dari kalangan manusia.

Solat hajat yang mustajab

Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a, katanya bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“12 rakaat, barangsiapa yang bersolat di malam atau di siang hari, dan dibaca pada tiap-tiap rakaat akan fatihah dan sesuatu surah, dan ia bertasyahud pada tiap-tiap 2 rakaat serta memberi salam, kemudian ia bersujud sesudah bertasyahud dari 2 rakaat yang terakhir sebelum memberi salam,serta membaca di dalam sujud tersebut

  • Al-Fatihah 7 kali,
  • Ayat Kursi 7 kali,
  • Mengucapkan 10 kali ﺍِﻟَﻪَﺍِﻻﱠﺍﷲُﻭَﺣْﺪَﻩُﻵﺷَﺮِﻳْﻚَﻟَﻪُ ﻟَﻪُﺍﻟْﻤُﻠْﻚُﻭَﻟَﻪُﺍﻟْﺤَﻤْﺪُﻭَﻫُﻮَﻋَﻠَﻰﻛُﻞﱢﺷَﻲْﺀٍﻗَﺪِﻳْﺮٌ
  • Kemudian diteruskan dengan doa
    ﺍَﻟﻠﱠﻬُﻢﱠ ﺇﻧﱢﻰﺍَﺳْﺌَﻠُﻚَ ﺑِﻤَﻌَﺎﻗِﺪِﺍﻟْﻌِﺰﱢﻣِﻦْﻋَﺮْﺷِﻚَ  ﻭَﻣﻨْﺘَﻫَﻰﺍﻟﺮﱠﺣْﻤَﺔِﻣِﻦْﻛِﺘَﺎﺑِﻚَ   ﻭَﺑِﺴْﻤِﻚَﺍْﻻَﻋْﻆَﻢِﻭَﻭَﺟْﻬِﻚَﺍْﻷَﻋْﻠَﻰ ﻭَﻛﻠِﻤَﺎﺗِﻚَﺍﻟﺘﱠﺎﻣﱠﺔِ ﺍَﻥﺗَﻘْﻀِﻲَﺣَﺎﺟَﺘِﻲْ

kemudian memohon hajatnya, lalu (dengan bertakbir) ia mengangkatkan kepalanya serta memberi salam ke kanan dan ke kiri, maka sesungguhnya Allah SWT akan memenuhi hajatnya itu.”

Kemudian Ibnu Mas’ud berkata lagi, bahawa Rasulullah SAW berpesan:

“jangan sekali-kali kamu ajarkannya (amalan ini) kepada orang-orang yang jahil, kerana ia (amalan ini) adalah doa yang amat mustajab.”

Caranya, dilakukan pada waktu siang atau malam (kecuali waktu-waktu yang di larang bersolat), 12 rakaat, tiap-tiap 2 rakaat memberi salam, diulangi 6 kali. Dalam tiap-tiap rakaat, membaca Fatihah dan sesuatu ayat dari surah-surah al-Qur’an (sekurang-kurangnya membaca paling kurang 3 ayat, boleh juga dibaca pada pertengahan ayat-ayat sekurang-kurang 3 ayat dari mana-mana surah). Sesudah bertasyahud pada 2 rakaat yang terakhir, sebelum memberi salam, lantas sujud dengan bertakbir, lalu membaca di dalam sujud bacaan dan doa seperti dalam hadith di atas.

Kaedah doa Nabi Yunus

Dalam hadis yang lain Nabi bersabda, siapa yang ada hajat, solatlah dan baca doa Nabi Yunus (selama 40 hari):

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ ، سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Anbiya ayat 87)

Dalam hadis yang lain, bila ada hajat, solatlah 2 rakaat dan sujud (luar solat) serta bacalah doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali. Doa Nabi Yunus ini adalah ayat al-Quran, maka hendaklah sujud diluar solat kerana ada larangan membaca ayat Quran di dalam sujud semasa dalam sembahyang.

Dari Ali bin Abi Thalib katanya :

“Aku dilarang Rasulullah s.a.w. membaca Quran dalam rukuk dan sujud” (Riwayat Muslim)

Galakkan sembahyang sunat di rumah

Hadis 151 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari Umar Bin Al-Khattab r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda “Sembahyang sunat yang dikerjakan oleh seseorang di rumahnya; menjadi Nur (cahaya) yang meneranginya; oleh itu, sesiapa yang suka (mendapat kelebihan itu), hendaklah ia menerangi rumahnya (dengan sembahyang sunat).

Dalam hadis lain menjelaskan:

“Solatlah kamu di rumah-rumah kamu dan jangan jadikan ia sebagai kubur-kubur.” (Riwayat Ahmad)

Ia bermaksud rumah-rumah yang tidak didirikan lansung solat di dalamnya menjadi sepi seumpama kubur.Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.”

Fadhilat solat sunat hajat

  • Berasa tenang setelah bebanan disampaikan kepada Allah SWT.
  • Menjadi lebih bersifat ikhlas menerima ketentuan Allah SWT.
  • Permohonan dimakbulkan Allah SWT.

Dari ‘Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwudhuk dengan mengelokkan wudhuknya dan bersolat dua rakaat, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca doa ini. La Ilaha Illallah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-’Arsh al-’Adzim (Hadith 148 Mastika Hadis Jilid 2)

Sungguhpun hadith ini hadith daif, tetapi ia disokong oleh hadith sahih yang berikut :

Dari Abi Ad-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berwudhuk lalu diperelokkan wudhuknya, kemudian dia menunaikan solat 2 rakaat dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat. (Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad) (Hadith 149 Mastika Hadis Jilid 2)

Disokong juga oleh hadith sahih yang berikut :

Dari ‘Uthman bin Hunaif r.a, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya.” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah.” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhuk dengan elok lalu bersolat dua rakaat dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi’hu fiya.” (Hadith 150 Mastika Hadis Jilid 2)

Loading...

Tags: #cara solat hajat yang mustajab #fadilat solat sunat hajat #kelebihan solat hajat #panduan solat #Panduan Solat Hajat Ringkas #panduan solat sunat hajat #Sembahyang hajat yang afdal #solat hajat yang berkat #solat hajat yang lebih mustajab #solat sunat #solat sunat hajat #Solat Sunat Hajat Yang Betul Dan Lengkap

Amalan Memperolehi Rezeki Melimpah & Berpanjangan, Rugi Kalau Tak Diamalkan!
Bila disebut tentang rezeki, apa yang kita perlu tahu, perkara yang paling penting
Kelebihan Solat Berjemaah Menurut Pandangan Pakar Fizik, Ini Sebab Kenapa Ia Digalakkan!
Solat berjemaah memiliki banyak kelebihan dan Allah menggandakan pahala bagi mereka yang melakukan
Peristiwa Israk Dan Mikraj, Kisah Perjalanan Istimewa Nabi Muhammad SAW
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad
Tanda Akhir Zaman & Kisah Sebelum Terjadinya Hari Kiamat
Setiap muslimin serta muslimat wajib mempercayai hari kiamat. Bahkan hari kiamat turut terdapat

Comments are closed.