Keistimewaan Solat Dhuha. Ini kelebihan Bakal Anda Perolehi Kelak!

Keistimewaan Solat Dhuha. Ini Kelebihan Yang Bakal Anda Perolehi Kelak!

Solat sunat dhuha ialah solat di waktu pagi. Ia merupakan salah satu dari tiga solat sunat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dhuha bermaksud ‘pagi hari’ atau ‘panas sinar hari’. Waktu inilah manusia-manusia semua berkejar-kejaran keluar untuk mencari rezeki. Namun di sebalik waktu ini, Allah sebenarnya menyaran untuk meninggalkan ‘kejar-kejaran’ itu dan menunaikan solat sunat Dhuha. Waktunya adalah dari matahari naik setinggi segalah sehingga tergelincirnya matahari (masuk waktu Zohor).

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda :

Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Hadith riwayat Ahmad)

Hadith Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah SWT memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.  Dhuha adalah waktu yang tercatat di dalam al-Quran. Istimewanya waktu ini sehinggakan Allah bersumpah dengannya di dalam surah Ad-Dhuha : “Demi waktu Dhuha”. Pernahkah kita terfikir kenapa Allah bersumpah dengan waktu Dhuha? Kenapa tidak dengan waktu-waktu yang lain? Imam Ar-Razi berkata andai Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia menunjukkan perkara itu adalah sangat penting.

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud :

“Barang siapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barang siapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barang siapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barang siapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya.” (Hadith riwayat At-Thabarani ).

Kelebihan solat sunat Dhuha yang dijanjikan

Solat sunat Dhuha adalah solat bagi orang-orang yang mahu ‘kembali’. Kembali ke mana? Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Solat Dhuha itu adalah ( solatul awwabin ) solat orang yang kembali kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk bekerja, iaitu pada waktu anak-anak unta mula bangun kerana mulai panas tempat pembaringannya.” (Hadith riwayat Muslim )

Solat Dhuha itu adalah solat bagi orang yang mahu kembali kepada Allah. Maka kerana itulah terlalu banyak kelebihan solat Dhuha yang disebut sendiri oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Berikut adalah antara ‘hadiah-hadiah’ yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang jatuh cinta dengan solat Dhuha.

  1. Dicukupkan rezeki.

Allah SWT menjamin rezeki yang cukup kepada hambaNya yang mempunyai masa untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata :

“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.” (Hadith riwayat Abu Dawud)

  1. Rumah di syurga.

Rasulullah SAW memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan sedikit waktu paginya untuk Solat Dhuha dengan sabda baginda :

“Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” (Sahih al-Jami’: 634)

  1. Diampunkan dosa terdahulu.

Sesungguhnya Allah SWT amat rindu pada hambaNya yang ingin menyucikan dosa. Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu keampunan Allah tidak pernah tertutup. Solat Dhuha adalah antara pintu ampunan yang disediakan oleh Allah. Rasulullah SAW berkongsi kelebihan solat Dhuha yang kita lakukan di dalam sabdanya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Hadith riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

  1. Nilai seperti bersedekah.

Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan. Dari Abu Dzar, dari Rasulullah SAW beliau bersabda :

“Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha” (Hadith riwayat Muslim)

  1. Mendapat pahala umrah.

Rugi kalau kita tidak mahu lagi kerjakan solat Dhuha jika secara terang-terangan Allah menganugerahkan pahala umrah melaluinya. Daripada Abu Umamah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Barang siapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barang siapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” (Sahih Al-Targhib: 673)

  1. Memperoleh keuntungan besar

Orang yang megerjakan solat Dhuha memperoleh keuntungan besar atau dalam bahasa Arabnya disebut Ghanimah. Dikisahkan bahawa Rasulullah SAW mengutus tentera Islam berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan mendapat harta rampasan yang banyak. Orang ramai bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang diperoleh. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu solat Dhuha.

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” (Sahih al-Targhib : 666)

Fadilat solat sunat Dhuha

Banyak hadith-hadith yang menggalakkan solat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya :

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Abu Hurairah : Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.” (dari kitab An-Nurain)

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Hadith riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

Daripada Anas bin Malik r.a berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Hadith riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasulullah SAW sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha

Menunaikan solat sunat Dhuha

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti solat sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurun sebahagian ulama, jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu.

Jika saat ini kita sedang buntu, sedang sedih atau sedang terasa sempitnya hidup, kerjakanlah solat Dhuha selama 30 hari dan lihatlah apa yang bakal terjadi pada hidup kita. Sesungguhnya ada satu perasaan yang amat indah apabila kita sudah terbiasa melakukan Solat Dhuha. Jiwa menjadi tenang. Urusan menjadi mudah. Rezeki melimpah ruah. Cubalah kerana dengan waktu Dhuha Allah sudah bersumpah.

Untuk mengamalkan solat sunat Dhuha, bagi mereka yang bekerja, adalah dicadangkan mengambil wudhuk di rumah terlebih dahulu. Selepas itu, kita akan menaiki kenderaan dalam keadaan berwudhuk ke tempat kerja. In shaa Allah, akan mendapat perlindungan Allah SWT semasa dalam perjalanan. Apabila sampai ke tempat kerja, boleh terus mengerjakan sembahyang sunat Dhuha.

Selepas usai solat sunat Dhuha, janganlah kita berlalu pergi. Duduk sebentar dan berdoalah dengan doa ini. Doa yang disunatkan untuk kita baca selepas solat Dhuha. Jika diteliti dan difahami doa ini sangat hebat maksudnya. Sangat kena dengan kita yang sering tercari-cari jalan keluar kepada kesempitan rezeki.

doa-solat-sunat-dhuha Keistimewaan Solat Dhuha. Ini kelebihan Bakal Anda Perolehi Kelak!

Ertinya :

“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu Dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada aku segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Rujukan : https://mvm.org.my
Loading...

Tags: #berkat solat dhuha #dhuha #fadhilat dan kelebihan solat dhuha #fakta tentang solat dhuha #ganjaran melakukan solat dhuha #keistimewaan solat sunat dhuha #kelebihan orang yang menunaikan solat sunat dhuha #kelebihan sembahyang dhuha #kelebihan solat dhuha #sebab perlu solat dhuha #solat sunat #solat sunat dhuha #waktu dhuha

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
15 Perkara Yang Menurunkan Bala Kepada Umat Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah saw bersabda ; “Apabila umatku telah
Peperangan Khandak Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Khandak, juga dikenali sebagai Perang Parit, adalah pertempuran yang berlaku pada 5
Peperangan Uhud Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Uhud adalah pertempuran penting yang terjadi pada tahun 3 Hijriah (sekitar Oktober

Comments are closed.