Petua Mengubati Hati Sedih & Kecewa

Kecewa Dan Sedih

Hati yang kecewa dan terluka akan membuatkan diri merasa lemah. Hilang rasa ketenangan. Mudah patah semangat dan cepat tersentap. Ketidakseimbangan emosi sebegini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang baru merasai kehilangan.

Cinta itu ada pasang surutnya. Setiap pertemuan pasti bertemu perpisahan. Namun bukan semua masalah kekecewaan berlaku kerana percintaan dan masalah jodoh. Ada juga yang kecewa mungkin kerana perkara lain.

Boleh jadi akibat terluka dengan tindakan ibu bapa. Malah, mungkin juga berkecil hati dengan sikap anak-anak kita. Kehilangan insan yang disayangi, harta benda, pekerjaan atau mungkin juga kehilangan arah tujuan dalam hidup.

Pendek kata banyak perkara yang membuatkan hati kita menjadi remuk dan membuatkan kita merasa lemah. Anda pernah rasa sebegitu? Atau mungkin saat anda sedang membaca artikel ini, anda sedang merasa lemah dan kecewa.

Hati anda merasa tidak tenang. Emosi rasa tidak menentu. Di dalam dunia ini, tiada siapa yang mahu merasa kecewa dan terluka. Apatah lagi menjadi lemah akibat daripada permainan perasaan ini. Merasa lemah dan tidak tenang sehinggakan air mata ingin sekali untuk menitis setiap waktu.

Jangan risau, anda tidak keseorangan dan tentunya ramai yang di luar sana juga sedang melalui saat-saat kesedihan seperti anda. Bagaimana menenangkan hati Kecewa?

Kita ingin mengelak daripada kelihatan lemah. kita berpura-pura kuat. Kita tersenyum, tetapi dalam hati siapa yang tahu betapa peritnya hati kita. Sampai bila kita harus berpura-pura? Ingatlah, kita semua adalah manusia. Manusia yang dikurniakan hati dan perasaan. Ada perasaan lemah dan duka.

Berikut adalah beberapa cara untuk menguatkan dan menenangkan kembali hati yang sedang lemah. Semoga  beberapa petua dan cara yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat dan membantu anda.

  1. Membaca surah Yaasin

Mungkin selama ini kita kurang membaca Al-Quran atau jarang sangat membuka kitab suci ini. Mungkin ini salah satu sebab kita mudah untuk terganggu dan merasa tidak tenang. Oleh itu marilah kita kembali menghidupkan amalan ini.

Amalkan membaca surah Yaasin selepas usai mengerjakan solat. Memang surah ini mempunyai aura yang mampu menenangkan hati. Setelah itu, boleh beransur menambah bacaan dengan membaca surah-surah yang lain. Bagaimana jika sedang haid? Dengarlah bacaan surah ini melalui mp3 dan sebagainya.

  1. Perbanyakkan istighfar dan zikir

Basahkan lidah dengan istighfar dan berzikir. Lafazkan dengan lidah, menusuk ke kalbu hingga terasa ke dalam hati. Istighfar dan doa ketika hati bersedih :

La haula wala quwwata illa billah

“Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah”

Hasbunallaah wa ni’mal wakiil

“Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung”

Yaa hayyu ya qoyyum birahmatika astaghiitsu

“Ya Allah, Yang Maha Hidup lagi Maha Kekal, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan”

Laailaaha illa anta subhaa nakainni kuntuminazzholimiin

“Tiada yang berhak diabdikan diri melainkan dikau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku ini termasuk orang-orang yang zalim”

  1. Solat sunat tahajjud

Bangunlah melakukan solat malam iaitu solat sunat tahajjud. Tujuan solat tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup. Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Pada rakaat pertama bacalah al-Fatihah diikuti surah al-Kafirun. Pada rakaat kedua bacalah al-Fatihah dan selepas itu surah al-Ikhlas. Solat tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam.

Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat. Selepas itu berdoalah. Berdoalah apa sahaja. Adukan masalah kita terus kepada Allah. Mintalah ketenangan hati.

Jika anda kelu untuk berdoa, anda boleh amalkan doa ini:

اللهم اني اعوذ بك من الهم والحزن, واعوذ بك من العجز والكسل, واعوذ بك من الجبن والبخل, واعوذ بك من غلبة الدَّين وقهر الرجال

‘Allahumma inni A’uzhu bika minal hammi wal hazan, wa a’uzhu bika minal ajzi wal kasal, wa a’uzhu bika minal jubni wal bukhl, wa a’uzhu bika min ghalabatid dayni wa qahrir rijal’

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kebimbangan dan kepiluan. Aku berlindung kepadaMu dari ketidakupayaan dan kelalaian. Aku berlindung kepadaMu dari perbuatan pengecut dan sifat kedekut. Dan aku mencari perlindungan dariMu daripada  hutang dan  penindasan manusia”

  1. Elakkan mendengar lagu bertema kekecewaan dan menonton drama yang sedih

Ini penting kepada mereka yang baru sahaja mengalami putus cinta, sila hindari dari suasana yang boleh membuatkan anda sebak. Elakkan mendengar lagu yang bertemakan putus cinta dan kecewa. Elakkan menonton drama atau filem yang mampu menguatkan aura kesedihan dalam diri anda. Bukankah kita kita ingin menenangkan hati dan bukannya ingin menyesakkan hati? Jangan menabur garam di atas luka kerana ianya pedih. Biarlah dahulu luka itu sembuh.

  1. Sibukkan diri dengan aktiviti yang berfaedah dan menyeronokkan

Sibukkan diri anda dengan pelbagai aktiviti yang sihat. Fokus dalam melakukan sesuatu kerja supaya fikiran beralih untuk fokus terhadap perkara lain dan tiada masa untuk termenung dan mengelamun memikirkan perkara yang sedih dan mengecewakan. Lakukan aktiviti riadah. Selain daripada mengalihkan fokus diri anda, aktiviti yang sihat dan berfaedah dapat memberi kecergasan pada tubuh badan dan kecerdasan pada akal fikiran.

  1. Belajar untuk memaafkan. Paling penting adalah memaafkan diri sendiri

Jika kesedihan dan kekecewaan anda berpunca dari orang lain, pujuklah hati untuk memaafkan. Setiap apa yang terjadi adalah ketentuan yang ditetapkan oleh Allah dan ianya juga untuk menguji seseorang hambaNya. Ingatlah, Allah adalah pemilik hati kita dan hati orang-orang lain. Oleh itu, maafkanlah kesalahan orang lain dan maafkan diri sendiri. Jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dan pengalaman dalam hidup dan yakinlah setiap perkara yang berlaku sama ada baik dan buruk, pasti ada hikmah di sebaliknya.

  1. Elakkan kerap bersendirian. Cari teman untuk bersembang

Bila anda kerap bersendirian dan memencilkan diri dari orang lain, peratusan untuk berasa sedih adalah lebih tinggi. Minda dan hati akan melayang jauh mengingati perkara yang menyedihkan. Syaitan pula akan berusaha menghasut manusia untuk melakukan perkara yang tidak baik. Oleh hal demikian, carilah teman untuk bersembang. Keluarlah dari kediaman dan temui rakan-rakan. Elakkan berbincang topik yang menyedihkan hati anda.

  1. Latih minda anda untuk melupakan kenangan yang menyakitkan

Bagi mereka yang kecewa dalam percintaan, latih minda anda untuk melupakan kenangan yang menyakitkan. Usah melihat gambar atau apa-apa kenangan yang lalu. Buang gambar dan padamkan teks mesej supaya anda tidak melihat dan mengenang kembali memori lama yang boleh menyebabkan anda sedih.

  1. Muhasabah dan perbaiki diri

Sentiasa bermusahabah. Ingatlah, setiap manusia tiada yang sempurna. Ambil masa anda untuk berfikir dan menilai kembali apa yang berlaku. Mungkin kesedihan dan kekecewaan yang anda hadapi sekarang berpunca dari kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Mungkin Allah memberi anda petunjuk dan memberi peluang supaya anda belajar dari kesilapan itu dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Setiap hamba diuji mengikut kemampuannya. Bila anda diuji, ingatlah bahawa Allah masih menyayangi diri anda dan mengingatkan anda untuk kembali memohon pertolongan dan mengingatiNya.

  1. Sentiasa mengingati Allah

Ini adalah yang paling penting sekali. Sentiasa mengingati Allah. Yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah maha mengetahui dan sentiasa bersama kita walau apa pun. Apa yang membuat kita sedih, Allah lebih Maha Kuasa dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Yakinlah kesedihan dan rasa tidak tenang yang Allah beri itu adalah agar kita kembali mengingatiNYA.

Percayalah bahawa hanya dengan sentiasa mengingat Allah, hati anda akan kembali tenang. Seperti mana firman Allah yang bermaksud :

“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( Ar Ra’d : 28 )

“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” ( At -Taubah : 40 )

Mohonlah ketenangan dariNya. Yakinlah bahawa kesedihan ini hanya sementara. Pasti ada hikmah di sebalik setiap ujian yang anda hadapi.

Rujukan : Baharuddin Ayudin (2010), Himpunan Zikir daripada al-Kitab dan al-Sunnah, Edisi Bahasa Melayu, Penerbitan Salafi.
http://akuislam.com
Loading...

Tags: #amalan untuk mendapatkan hati yang tenang #cara menenangkan hati yang sedih #doa ketika dalam kesedihan #jangan bersedih #mengatasi kesedihan #merawat hati kecewa #merawat hati yang terluka #petua hati berduka lara #putus cinta #putus tunang #tips menenangkan hati kecewa #tips mengatasi kekecewaan dan kesedihan #tips ubat hati kecewa #ubat hati terluka

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Kaedah Menghafal Dengan Baik
Menghafal memerlukan pendekatan yang baik yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran individu. Berikut adalah
Tips Pupuk Kasih Sayang Isteri Dalam Hubungan Perkahwinan
Memupuk kasih sayang dalam hubungan perkahwinan adalah aspek penting untuk mengekalkan keharmonian dan

Comments are closed.