Persediaan Mengerjakan Haji & Umrah. Bakal Jemaah Perlu Baca Artikel Ini!

Ke Tanah Suci Mekah

Ibadah haji adalah puncak pengabdian insan Muslim terhadap Allah SWT setelah memenuhi  syahadah, menunaikan ibadah anggota tubuh iaitu solat, menundukkan hawa nafsu menerusi puasa (bulan Ramadhan) dan memenuhi kewajipan ke atas hartanya menerusi amalan zakat. Menunaikan fardhu haji adalah wajib bagi mereka yang berkuasa.

Dari segi syarak, haji bererti mengunjungi Baitullah di Makkah untuk melakukan beberapa amal ibadah pada bulan haji dengun rukun dan syarat tertentu sebagai perlaksanaan rukun Islam yang kelima. Manakala umrah pula dari segi syarak bermaksud menziarahi Kaabah dan tawaf di sekelilingnya, mengerjakan sa’i di antara Safa dan Marwah serta bercukur.

Apakah persediaan yang diperlukan oleh seorang Muslim sebelum berangkat menunaikan ibadah haji atau umrah? Berikut adalah persediaan yang diperlukan sama ada dalam bentuk zahir dan rohani.

  • Memperbetul niat semata-mata kerana Allah SWT

Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT apabila diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah SWT, caranya menepati syariat yang ditetapkan, tidak berlaku sebarang penyelewengan dan ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan. Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.

  • Membuat persediaan dari segi kewangan

Tindakan seterusnya semestinya ialah dengan membuat persediaan kewangan. Langkah pertama yang perlu diambil ialah membuka akaun di Tabung Haji. Peruntukkan sejumlah wang dan simpanlah dengan konsisten. Lebih baik sekiranya simpanan digandakan setiap tahun. Ibadah haji dan umrah adalah merupakan salah satu persembahan kepada Allah SWT. Sama ada diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit yang digunakan.

Pastikan wang ringgit yang digunakan  untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan  hilangnya keberkatan dalam kehidupan.

  • Mendapatkan ilmu yang cukup

Setiap ibadah termasuk haji dan umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa bergantung kepada orang lain.

Belajar cara atau kaifiat mengerjakan haji atau umrah daripada ustaz atau orang yang berpengalaman dan mahir. Ini adalah untuk mengelakkan daripada ibadah yang dilakukan menjadi sia-sia jika kesilapan atau kecuaian dilakukan. Buku-buku mengenai haji atau umrah juga bolehlah dibaca bagi mengukuhkan lagi pengetahuan sedia ada serta memudahkan kita untuk membuat ulangkaji mengenai cara-cara mengerjakan ibadah haji atau umrah. Selain itu, dengan banyak membaca buku mengenai kota suci Makkah dan Madinah, lebih mudah untuk memahami dan menghayati peristiwa yang berlaku di tempat yang diziarahi semasa di sana.

  • Menjaga kesihatan jasmani dan rohani

Pelaksanaan ibadah haji atau umrah memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan seimbang serta memperbanyak aktiviti riadah. Selain itu, jemaah hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal perasaan.

Senaman dan latihan kecergasan yang teratur sangat perlu dilakukan untuk melatih stamina dan keadaan fizikal supaya sentiasa berada dalam keadaan yang cergas dan sihat. Latihan berjalan kaki dilakukan bertujuan untuk membiasakan kita berjalan ulang alik pergi/balik ke masjid serta melakukan ibadah seperti tawaf, sa’i dan melontar Jamrah. Latihan berjalan kaki boleh dilakukan dalam anggaran jarak 4 km, 3 kali dalam seminggu. Sebaiknya latihan ini dilakukan secara konsisten dalam masa 4 atau 2 bulan sebelum berangkat ke tanah suci.

  • Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain

Ibadah haji adalah rukun yang kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat. Bakal-bakal jemaah umrah atau haji perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan Syahadah, sembahyang, puasa dan zakat serta melaksanakannya.

  • Belajar membaca al-Quran dan berdoa

Jika sudah lama tidak membaca al-Quran atau pembacaan al-Quran tidak begitu lancar, cari guru untuk belajar membaca al-Quran. Bakal jemaah tentunya tidak mahu melepaskan peluang berdoa di tempat-tempat mustajab berdoa semasa di Makkah. Pelajari dan hafal doa-doa khusus di tempat-tempat tertentu serta hayati maknanya agar jemaah dapat berdoa dengan khusyuk dan rasa kerdil di hadapan Allah SWT.

  • Memperbanyakkan amalan sedekah

Sesuatu yang boleh meringankan bebanan orang lain sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga, senyuman atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama manusia. Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.

  • Menunaikan sembahyang berjemaah

Matlamat menunaikan ibadah haji atau umrah ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat berjemaah.

  • Menjauhi amalan-amalan syirik

Menyengutukan Allah adalah merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan sebagainya. Selain itu, bakal-bakal jemaah hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta syurga dan neraka.

  • Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)

Tanah Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah SWT hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati. Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Tanah Suci Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.

  • Membersihkan diri dari dosa

Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa, berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi dan merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu. Jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang  diambil dari manusia tersebut.

  • Membiasakan diri dengan perubahan cuaca

Perubahan cuaca yang akan dialami agak ketara semasa berada di tanah suci Makkah. Suhu pada musim panas pada waktu siang boleh mencecah sehingga 40-50°C manakala suhu musim sejuknya boleh turun mencecah 10°C. Bakal jemaah boleh berlatih untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas dengan melakukan aktiviti seperti berkebun atau bangun malam untuk berqiamullail bagi membiasakan diri dengan kedinginan air dan cuaca sejuk.

  • Melakukan pemeriksaan kesihatan

Beberapa bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah, eloklah sekiranya menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengetahui keadaan kesihatan. Ini adalah penting supaya bakal jemaah dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan pencegahan awal.

  • Menyediakan semua kelengkapan secukupnya

Senaraikan peralatan dan kelengkapan seperti pakaian, telekung dan lain-lain yang perlu dibawa semasa mengerjakan haji dan umrah. Tidak semestinya semua kelengkapan perlu dibeli baru, seboleh-bolehnya elakkan pembaziran. Jaga kesihatan dan tidur secukupnya. Amalkan pengambilan vitamin sebulan sebelum berangkat. Ubat-ubatan hendaklah dibawa secukupnya bagi yang mengalami sakit seperti asma, tekanan darah tinggi, diabetes, sakit jantung dan sebagainya.

  • Berdoa dan bertawakkal

Perancangan Allah SWT mengatasi segala perancangan makhlukNya. Segala persiapan yang telah dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah atau haji dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru, para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah SWT, memohon keampunan dan pertolonganNya. Para jemaah juga sebaiknya memperbanyakkan sembahyang sunat Tahajjud, Tasbih, Taubat dan Hajat menjelang keberangkatan dan juga sepanjang berada di Tanah Suci.

Rujukan :
  1. Dato’ Ismail Kamus (2009), “Indahnya Hidup Bersyariah : Modul Fardhu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat”. Kuala Lumpur : Telaga Biru.
  2. Bahagian Bimbingan Haji (2001), “Panduan Perjalanan Jemaah Haji”. Kuala Lumpur : Lembaga Tabung Haji.
  3. sirapantioksidan.com (2015)
Loading...

Tags: #berkunjung ke mekah #cara mengerjakan haji #haji dan umrah #ibadah haji #ibadah umrah #ke tanah suci mekah #maksud haji dan umrah #panduan haji dan umrah #pengertian umrah #perbezaan haji dan umrah #pergi umrah #persediaan sebelum ke tanah suci #persiapan bakal jemaah haji #persiapan sebelum menunaikan haji #persiapan sebelum menunaikan umrah #rukun haji dan umrah #umrah ziarah

Amalan Memperolehi Rezeki Melimpah & Berpanjangan, Rugi Kalau Tak Diamalkan!
Bila disebut tentang rezeki, apa yang kita perlu tahu, perkara yang paling penting
Kelebihan Solat Berjemaah Menurut Pandangan Pakar Fizik, Ini Sebab Kenapa Ia Digalakkan!
Solat berjemaah memiliki banyak kelebihan dan Allah menggandakan pahala bagi mereka yang melakukan
Peristiwa Israk Dan Mikraj, Kisah Perjalanan Istimewa Nabi Muhammad SAW
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad
Tanda Akhir Zaman & Kisah Sebelum Terjadinya Hari Kiamat
Setiap muslimin serta muslimat wajib mempercayai hari kiamat. Bahkan hari kiamat turut terdapat

Comments are closed.