Panduan Lengkap Mengerjakan Solat Dalam Penerbangan

Solat Dalam Kapal Terbang

Sebagai seorang muslim, solat fardhu merupakan satu kewajipan. Dalam apa jua keadaan pun, kita diwajibkan bersolat walaupun ketika berperang, bermusafir dan jatuh sakit. Bagi pengembara tegar yang sering menaiki pesawat untuk merentas negara atau benua, berada di dalam pesawat selama berjam-jam lamanya pasti sudah menjadi satu kebiasaan.

Berada terlalu lama di dalam kapal terbang menyukarkan kita untuk bersolat bila tiba waktunya. Jika setakat masa yang diambil hanya melangkau satu waktu solat tidak mengapa lagi kerana kita boleh melakukan jamak. Namun bagaimana kalau melebihi dua atau lebih waktu solat? atau perjalanannya melangkau waktu solat Subuh yang tidak boleh diqasar dan dijamak. Persoalannya, bagaimana hendak mengerjakan solat di dalam kapal terbang?

Berikut adalah panduan untuk mengerjakan solat ketika berada di dalam pesawat.

  1. Persediaan

Sebagai seorang muslim, perkara utama yang perlu dilakukan sebelum bermusafir adalah menyediakan atau mempersiapkan diri sesempurna yang mungkin untuk menghadapi ibadat solat semasa di dalam perjalanan. Selain memenuhkan ilmu di dada tentang cara menyempurnakan solat ketika bermusafir, kita juga harus menyediakan pakaian bersih dan kompas untuk mencari arah kiblat. Pada zaman sekarang, terdapat aplikasi di telefon pintar yang dapat menentukan masuk waktu solat di pelbagai tempat beserta kompas arah kiblat.

  1. Berwudhuk

Seboleh-bolehnya cubalah untuk mengambil wudhuk di lapangan terbang terlebih dahulu. Setelah itu, pakailah stokin dalam keadaan berwudhuk dan berniat memakai khuf. Apabila wudhuk terbatal, sewaktu mengambil wudhuk di dalam kapal terbang, anda hanya perlu menggantikan rukun basuhan kaki dengan hanya menyapu air ke atas stokin kaki (khuf).

Apa itu khuf? Khuf adalah sarung yang diperbuat daripada kulit yang dipakai menutupi dua buku lali ke atas seperti stokin. Menyapu khuf adalah diharuskan berdasarkan empat mazhab, sama ada ketika bermusafir, bermukim, darurat ataupun tidak. Ia menepati basuhan 2 kaki di dalam wudhuk.

Bagi yang memakai khuf, ambillah wudhuk seperti biasa dan apabila tiba di rukun membasuh kaki, basahkan tangan dan sapukan pada bahagian atas stokin kaki (cukup sekali sapuan). Apabila bersolat nanti, jangan buka stokin dan solatlah dengan stokin itu. Musafir dibenarkan berbuat demikian selama tiga hari dan tiga malam dari mula menyapu khuf.

Terdapat 3 perkara yang boleh membatalkan sapuan khuf tersebut iaitu tamatnya waktu menyapu khuf, berhadas besar (berjunub) dan membuka khuf. Bagi yang tidak memakai khuf, ambillah wudhuk seperti biasa dengan meminimakan penggunaan air.

Antara perkara yang perlu diambil kira ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.

  1. Bertayammum

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, beliau lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah SWT:

فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا

Maksudnya: ”Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih” (Surah al-Maidah, ayat 6)

Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini:

Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad.

  1. Menentukan waktu solat

Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang (bagi penerbangan haji dan umrah). Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr, mneggunakan aplikasi telefon pintar dan lain-lain.

  1. Mencari arah kiblat

Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat. Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat dewasa ini. Teknologi satelit, kompas, aplikasi telefon pintar dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah. Oleh itu, tidak sah solatnya jika seseorang itu mengerjakan solat tanpa mengadap kiblat dengan alasan tidak tahu.

Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام

Maksudnya: “Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.” (Surah al-Baqarah, ayat 144)

Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika semua usaha telah dilakukan masih gagal untuk menentukan arah kiblat terutama di dalam pesawat, maka dibenarkan untuk menganggarkan arah kiblat setepat mungkin. Hujah ini berdasarkan hadis di bawah yang bermaksud :

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan:

“Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah qiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah SAW lalu baginda berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya” – (Hadith riwayat Imam Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar).

Apa yang penting, semasa permulaan takbir dada kita perlu menghadap ke arah kiblat dan selepas itu walau ke mana pun arah pesawat itu bergerak, ia dimaafkan kerana kita telah pun melakukan yang terbaik.

  1. Solat berdiri atau duduk?

Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk bersolat dan jika ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurangan atau selesai.

Jika sedang solat, pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi SAW yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.

Jika pesawat banyak bergoyang sehingga mendatangkan kebimbangan, maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai kapal terbang. Manakala jika sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat  mula bergoyang maka teruslah bersolat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.

Bagi goyangan yang berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri. Dan jika tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk. Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.

  1. Solat hormat waktu

Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat. Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.

Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.

Pendapat ulama:

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.

  • Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
  • Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.

Imam Al-Nawawi berkata :

Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”

  1. Kesimpulan 

Kaedah perlaksanaan solat fardhu di dalam kapal terbang sama sahaja seperti mengerjakan solat di mana-mana tempat sekali pun. Cuma bila ada kesukaran yang timbul, maka kesempurnaan gerak solat itu juga berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi. Perlaksanaannya juga sama sahaja dengan kaedah solat bagi mereka yang sakit, seperti menundukkan kepala lebih sedikit ketika sujud, bagi membezakan sujud dengan rukuk. Tidak sah solat bagi mereka yang sengaja solat secara duduk tanpa ada keuzuran yang dibenarkan. Namun jika segala daya dan usaha telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka dirikanlah solat dengan semampu yang mungkin.

sumber : www.muftiwp.gov.my dan www.cambodiamuslimholiday.com

Carian Berkaitan

solat dalam kapal
Loading...

Tags: #bermusafir dan jatuh sakit. Bagi pengembara tegar yang sering menaiki pesawat untuk merentas negara atau benua #cara berwudhuk dalam penerbangan #cara menentukan arah kiblat dalam penerbangan #cara solat atas kapal terbang #cara solat dalam kapal terbang #cara solat dalam penerbangan #cara solat di dalam kapal terbang #hukum dan caranya solat dalam pesawat #kita diwajibkan bersolat walaupun ketika berperang #Mari belajar Cara solat dalam penerbangan #Panduan mengerjakan solat dalam pesawat #panduan solat dalam kapal terbang #panduan solat dalam penerbangan #Panduan Wudhu' & Solat di Dalam Kapal Terbang #Panduan Wuduk Dan Solat Dalam Kapal Terbang #Sebagai seorang muslim #sembahyang dalam kapal terbang #solat dalam kapal terbang #solat fardhu merupakan satu kewajipan. Dalam apa jua keadaan pun #Solat Secara Berdiri atau Duduk Dalam Pesawat

Amalan Mudah Mendapat Jodoh. Yang Belum Berpunya Boleh Cuba Petua Ini!
Pasangan hidup adalah salah satu dari stesen perjalanan dalam kehidupan bagi semua manusia.
Amalan Isteri Derhaka Kepada Suami Walaupun Tanpa Disedari
Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :
Punca Rezeki Suami Menjadi Sempit. Ini Sebab Ramai Isteri Tidak Perasan!
Perkahwinan merupakan sunnah Nabi SAW. Selain daripada mendapat pahala dengan menyempurnakan sunnah, perkahwinan turut
Badal haji. Ini Syarat Yang Membolehkannya Dilakukan
Pengertian Badal Haji Badal ertinya ‘ganti’,’pengganti’, atau yang ‘digantikan’. Oleh itu Badal Haji

Comments are closed.