#Checklist Tanggungjawab Isteri Kepada Suami, Kehidupan Rumah Tangga Dalam Islam

#Checklist Tanggungjawab Isteri Kepada Suami, Kehidupan Rumah Tangga Dalam Islam

Apabila berbicara tentang cinta dan rumah tangga, ramai di antara kita akan terbayang perkara manis-manis sahaja di alam perkahwinan seperi suami yang romantik, isteri yang lembut ibarat bidadari syurga, anak yang soleh dan solehan, bunga dan mawar harum yang menghiasi dan pelbagai lagi fantasi. Atau apa saja kebahagian yang digambarkan dalam layar perak kaca televisyen.

Namun hakikat sebenarnya rumahtangga bukanlah begitu. Mungkin ada juga kemanisannya, tetapi sebenarnya rumah tangga adalah medan untuk berbakti dan beramal.

Kehadiran pelbagai cabaran-cabaran luar biasa, tanggungjawab yang hadir kadang-kadang terasa terlalu berat untuk dipikul di atas bahu.

Ini kerana ujian-ujian yang mendatang, kadang-kadang menyesakkan dada hingga dunia terasa sempit dan sesak. Ada juga pasangan yang tewas akan ujian berat ini.

Atas sebab dugaan ini, banyak juga kes penceraian muda atau penceraian yang berlaku akibat sudah tiada keserasian dan tolak ansur.

Hakikatnya suami anda bukan malaikat, isteri Anda pula bukanlah bidadari syurga. Cinta dan perkahwinan itu hadir bersamanya tanggungjawab.

Tanggungjawab untuk bersabar dalam alam rumah tangga dan tanggungjawab untuk mendidik anak isteri dengan ilmu yang benar dan tanggungjawab-tanggungjawab ini semuanya nanti akan dihisab Allah SWT di akhirat kelak.

Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya.

Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya.

“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita (isteri) solehah.” – (HR. Muslim)

Sebenarnya apakah tanggungjawab bagi seorang isteri? Seperti dalam hadith Nabi saw yang bermaksud,

“Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan menjaga kehormatan diri, serta taat kepada suaminya, maka dipersilakanlah masuk ke syurga dari pintu mana sahaja yang disukai.” (HR. Ahmad dan Thabrani)

Ketaatan isteri kepada suami inilah tanggungjawab utama yang perlu dilunaskan oleh para isteri. Betapa tingginya kedudukan suami bagi seorang isteri sehingga Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud,

“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.”

Hak suami ke atas isteri yang perlu dipenuhi oleh setiap wanita yang sudah berkahwin. Antara tanggungjawab isteri dalam Islam yang wajib dipenuhi adalah;

1. Isteri perlu taat sepenuhnya kepada suami

Selepas kita bernikah, antara tanggungjawab terbesar seorang isteri adalah memberikan ketaatan yang sepenuhnya kepada suami selagi mana ia berlandaskan hukum Islam.

Menurut ‘Ali ibn Abi Talhah diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Tafsir Ibn Katheer:

“Lelaki adalah pelindung dan penjaga wanita, ini bermakna suami berkuasa ke atas isteri. Dalam erti kata lain, isteri perlu patuh pada suami, melayan keluarganya dengan baik dan menjaga hartanya.”

2. Isteri perlu memenuhi keperluan batin suami

Diriwayatkan dari Abu Hurairah (ra) dalam Al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Apabila seorang lelaki memanggil isterinya ke bilik tidur dan dia ingkar, jika suami tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, malaikat akan menyumpah si isteri sehingga pagi.”

Antara hak suami ke atas isteri adalah berkaitan dengan hak kebatinan. Seorang isteri yang solehah perlu memenuhi keperluan seks seorang suami.

Jika kita gagal memenuhi tanggungjawab isteri ini tanpa sebarang sebab yang munasabah seperti tidak sihat, uzur, puasa wajib dan lain-lain yang membataskan, maka kita sudah pun derhaka dan berdosa.

3. Isteri tidak boleh mengizinkan sesiapa yang tidak disukai oleh suaminya masuk ke dalam rumah

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah (ra) dalam Al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW ada bersabda:

“Tidak boleh seseorang wanita berpuasa tanpa izin suami, membenarkan sesiapa masuk ke dalam rumah tanpa izin suami, dan membelanjakan harta suami sebagai sedekah tanpa izinnya.”

4. Isteri tidak keluar rumah tanpa kebenaran suami

Selepas berkahwin, isteri  perlulah meminta keizinan kepada suami terlebih dahulu sebelum keluar rumah.

Menurut mazhab Shafie dan Hanbali juga menegaskan, bahawa seorang isteri juga perlu meminta izin suami untuk keluar rumah walaupun untuk pergi melawat ibu ayah sendiri yang sedang sakit.

5. Memberi layanan yang baik kepada suami

Menurut Syakh Al-Islam Ibn Taymiyah, seorang isteri perlu melayani suami mengikut cara yang diterima oleh adat dan budaya masyarakat tempatan selagi mana ia munasabah.

Layanan yang baik ini turut meliputi kedua-dua layanan fizikal dan kata-kata yang lembut dan sopan.

Marilah kita hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah.

Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah ‘budak’ wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi ‘budak’ bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.”

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadap suami kamu, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

1) Berkhidmat dengan redha dan ikhlas

Sebagai seorang isteri, anda perlu mendidik hati untuk berkhidmat kepada suami dan keluarga dengan hati yang redha.

Kadang-kadang, apabila penat melakukan kerja rumah dan menguruskan anak-anak, mulut akan ringan untk mengungkit segala kerja yang telah dibuat.

Sebagai isteri solehah, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa mendidik hati agar ikhlas melakukan kerja hal ehwal rumahtangga.

Sekiranya tidak mampu melakukan tugas di rumah kerana kepenatan, mintalah pertolongan dari suami anda dengan penuh hikmah. Tanggungjawab mengurus keluarga perlu digalas oleh suami isteri bersama-sama.

2) Taat dengan baik kepada suami

Setelah berkahwin, menjadi tanggungjawab utama untuk para isteri memberi ketaatan kepada suami. Selagi mana suami tidak meminta sesuatu yang melanggar syariat, maka wajib bagi seorang isteri untuk memberi ketaatan kepada suaminya.

Sebagai isteri yang bijak lagi solehah, anda boleh berbincang dengan suami secara baik untuk mencari kesepakatan yang terbaik dalam rumahtangga.

3) Memerhatikan tempat pandangan matanya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu

Menjadi tanggungjawab isteri untuk menjaga ‘mata’ suami. Bukan sekadar memastikan mata suami memandang persekitaran rumah yang bersih dan kemas, tetapi juga perlu pastikan suami tidak memandang yang buruk terhadap diri isteri.

Selain daripada kecantikan rumah, para isteri solehah juga perlu menjaga penampilan diri sekalipun berada di dalam rumah, berhias-hias untuk suami bukan satu perkara remeh. Biarlah suami memandang yang cantik-cantik sahaja pada isterinya.

4) Memerhatikan bau yang diciumnya. Jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu

Kita biasa dengar orang mengatakan, isteri di rumah bau bawang, bau belacan. Ini menunjukkan bahawa isteri kalau di rumah, sentiasa memasak untuk menyediakan makanan buat keluarga tercinta.

Tetapi, sebagai isteri solehah, menjadi tanggungjawab anda untuk berwangi-wangian di depan suami.

Bukan sahaja berwangi-wangian ketika hendak keluar rumah atau pergi kerja sahaja. Namun, bagi isteri yang solehah, mereka berwangi-wangian di dalam rumah, khas untuk suaminya.

5) Memerhatikan waktu makannya kerana lapar yang berlarutan mengganggu emosi

Sebenarnya terdapat dua perkara perlu dijaga untuk suami, iaitu mata dan perutnya. Jaga mata suami supaya dia tidak memandang perkara yang boleh mendatangkan dosa.

Jaga perutnya agar dia tidak berlapar, kerana lapar akan membuatkan emosi mudah terganggu dan naik marah.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab isteri untuk memastikan suami tidak berlapar. Sekiranya anda sibuk dan kesuntukan masa untuk memasak makanan, sekali-sekala beli makanan di kedai juga tidak mengapa.

Asalkan suami dapat makan pada waktunya dan tidak kelaparan.

6) Memerhatikan waktu tidurnya kerana tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah

Adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk prihatin terhadap waktu tidur si suami. Jika suami perlukan rehat, berilah masa untuk suami berehat.

Apabila suami yang penat bekerja mendapat rehat dan tidur yang cukup, emosinya akan lebih stabil. Setelah keletihan suami telah hilang, barulah isteri boleh meminta bantuan suami untuk sama-sama melakukan kerja rumah pula.

7) Menjaga hartanya dengan baik

Menjadi tanggungjawab isteri solehah untuk bijak menjaga dan mengurus harta suaminya. Wang yang banyak diurus sebaiknya, manakala wang yang sedikit pula dibelanjakan secara cermat dan berhemah.

Isteri perlu sentiasa bersyukur dengan rezeki dan harta yang dimiliki oleh suami. Jangan meminta-minta benda di luar kemampuan suami.

8) Memelihara kehormatan serta keluarganya

Tanggungjawab isteri bukan sekadar menjaga kehormatan suami dan keluarga, tetapi juga menjaga maruah keluarganya sendiri dan keluarga mertua.

Rahsia dan aib keluarga mertua, bukan untuk dicanang pada keluarga sendiri. Sebagaimana anda sayang dan menjaga kehormatan keluarga anda, begitu juga yang perlu anda lakukan kepada keluarga mertua yakni keluarga suami anda juga.

9) Jangan engkar perintahnya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya

Lelaki mempunyai egonya yang tersendiri. Sebagai isteri, anda harus bijak berdiplomasi dan seni komunikasi dengan suami. Sekiranya ada perbezaan pendapat, janganlah anda keras menentangnya.

10) Jangan membuka aibnya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya

Rahsia suami harus disimpan dengan rapi oleh isteri. Apatah lagi, kisah-kisah di dalam kamar tidur. Sebagai isteri, anda tidak boleh menceritakan perihal suami anda kepada orang lain.

Biarlah manis masam suami anda, hanya anda seorang yang tahu.

Semoga panduan ini mempunyai peranan kecil dalam memberi pencerahan mengenai tanggungjawab suami serta tanggungjawab isteri dalam rumah tangga.

Anda boleh kongsi artikel ini kepada pasangan anda untuk pengetahuan bersama.

Loading...

Tags: ##Checklist Tanggungjawab Isteri Kepada Suami #checklist tanggungjawab isteri #hadis tanggungjawab isteri #list tanggungjawab isteri #pengenalan tanggungjawab isteri #rumah tangga isteri #tanggungjawab isteri dalam al quran #tanggungjawab isteri terhadap keluarga #tanggungjawab isteri yang bekerja #turutan tanggungjawab isteri dalam islam

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
Masalah dan Punca Wanita Sukar Hamil
Ketidakupayaan untuk hamil atau sukar hamil disebut sebagai masalah kesuburan atau ketidaksuburan. Kemandulan
Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Tips Pupuk Kasih Sayang Isteri Dalam Hubungan Perkahwinan
Memupuk kasih sayang dalam hubungan perkahwinan adalah aspek penting untuk mengekalkan keharmonian dan

Comments are closed.