Tips Membeli Kereta Terpakai, Kalau Tak Ada Pengalaman Baik Baca Artikel Ini!

Kedai Kereta Terpakai

Bercadang untuk membeli kenderaan terpakai? Bukan semua orang mampu beli kenderaan baru mahupun kereta atau motosikal, walaupun hakikatnya tidak jauh beza antara yang baru dengan yang terpakai.

Sama ada membeli yang baru atau terpakai, masing-masing ada pro dan kontra. Bergantung kepada kemampuan atau keperluan.

Membeli kenderaan terpakai masih lagi pilihan yang baik untuk orang yang mementingkan komitmen. Isu yang cuba dibangkitkan ialah stigma masyarakat yang menganggap keputusan membeli kenderaan terpakai sebagai tidak berbaloi.

Seringkali apabila kita terfikir dan menyuarakan hasrat mahu membeli kenderaan terpakai dengan alasan bajet atau mahu berjimat, ada saja pendapat yang meminta anda berfikir banyak kali.

Antara nasihat paling popular ialah; kos senggara (maintenance) tinggi, bahaya kalau terbeli kenderaan yang pernah kemalangan, kenderaan cepat rosak (kena selalu baiki), faedah bank tinggi (kalau buat pinjaman) dan nampak selekeh memandu kenderaan terpakai kerana anda seorang eksekutif.

Tetapi, apakah mereka peduli tentang ansuran bulanan dan kos lain yang perlu anda tanggung sehingga 9 tahun mengikut tempoh pinjaman jika membeli kenderaan baru? Apakah mereka yang memandu kenderaan anda? Apakah kereta anda akan kekal baharu selama setahun?

Sebelum anda membeli kenderaan terpakai, ada beberapa langkah dan tips untuk anda ketahui.

  1. Buat Pilihan Jenama Yang Tepat Sebelum Membeli

Pilihan yang tepat amat penting sebelum anda memutuskan untuk membeli sesuatu kenderaan terpakai. Beberapa perkara yang mesti dipertimbangkan iaitu :

  • Reliability

Reliabilty dan quality sepatutnya menjadi perkara utama dalam memilih kenderaan. Ketepatan dalam memilih jenama yang berkualiti mengelakkan anda tidak perlu mengeluarkan wang dan masa yang banyak untuk berulang-alik ke bengkel. Pilih kenderaan yang tidak banyak meragam, selesa dipakai dan mempunyai pengendalian dan kawalan baik walaupun usia melebihi 10 tahun.

  • Pilih kenderaan yang banyak dipakai orang

Pilih kenderaan yang banyak dipakai orang dan masih ramai lagi orang yang memakai jenama ini walaupun usia kenderaan sudah lanjut. Biasanya kereta-kereta yang banyak dipakai orang mudah untuk mendapatkan spare part. Alat ganti pula tidak mahal. Jenama proton dan perodua dari buatan tempatan mungkin boleh dipertimbangkan. Begitu juga jenama dari Jepun seperti Toyota, Honda dan Nissan merupakan pilihan ramai.

  • Kos penyelenggaraan yang rendah

Bagi orang yang ingin menjimatkan duit, lebih baik pilih kenderaan yang senang untuk dijaga dan kosnya agak rendah untuk dibaiki. Kereta-kereta import buatan Eropah kebiasaannya memiliki alat ganti yang mahal dan kadang-kadang susah untuk anda mendapatkan alat ganti jika berlaku kerosakan.

  • Harga

Biasanya kenderaan yang kurang permintaan di pasaran harganya agak murah walaupun masih baru.

  1. Tetapkan bajet dan buat perkiraan

Anda perlu tetapkan bajet kewangan supaya tidak tersasar jauh tanpa arah tujuan.  Buat perkiraan untuk harga kenderaan, bayaran muka, kadar faedah, tempoh bayaran dan bayaran setiap bulan. Anda boleh gunakan kalkulator di link di bawah :

https://www.cars.com/car-loan-calculator

  1. Survei secara online

Buat survei di laman web seperti Mudah.my atau Carlist, atau beli majalah seperti MotorTrader. Menerusi tetapan had bajet anda, anda secara automatik akan dipaparkan pelbagai pilihan model kereta di bawah bajet tersebut.

Ingat, jangan terus pergi ke premis kenderaan terpakai untuk mengelak ditipu oleh jurujual. Hati-hati, jurujual yang bagus mampu membuatkan anda melanggar had bajet. Layari sahaja Internet, lebih selamat dan selesa serta dapatkan maklumat lanjut berkenaan model yang diimpikan.

  1. Hadkan tahun pengeluaran 5 tahun ke bawah dan semak mileage

Seperti yang diterangkan di atas berkaitan reliability,  jika anda mencari kenderaan yang kurang ragam, mungkin anda perlu kecilkan pilihan mengikut tahun pengeluaran setakat 5 tahun. Ini cuma opsyen. Sebenarnya ada saja kenderaan berusia lebih 5 tahun masih berada dalam kondisi baik. Tetapi, anda sekarang sedang cuba mengurangkan risiko.

Semak perbatuan (mileage). Kenderaan yang jauh atau kerap berjalan, secara normal akan cepat haus dan lusuh. Lagi tinggi nilai perbatuan, lagi rendah nilai jual semula kenderaan itu. Cari kenderaan pada perbatuan rendah atau sederhana. Harus juga diingat, bahawa kenderaan yang mempunyai jumlah mileage yang tersangat rendah juga mempunyai risiko tersembunyi.

  1. Curiga dengan harga murah

Jangan cepat teruja jika ada kenderaan terpakai yang dijual sangat murah. Sesiapa pun mahu menjual kenderaan mereka pada harga tinggi atau harga pasaran. Jika terlampau murah, mesti ada rahsianya tersendiri. Banyak kes menunjukkan kenderaan dijual murah disebabkan perkara berikut:

  • Pernah mengalami kemalangan teruk
  • Perbatuan terlalu tinggi
  • Banyak kali bertukar pemilik
  • Kereta mungkin nampak cantik, tetapi ragam sebenar mula kelihatan selepas beberapa bulan memandu
  • Kereta dilanda banjir kilat

Sekiranya anda tersilap beli, anda akan menghabiskan duit dan masa dengan keluar masuk bengkel.  Semasa melihat-lihat kenderaan yang hendak dibeli sebaiknya fikirkan dahulu kenapa agaknya pemilik asal ingin menjualnya. Ada sebab-sebab tertentu orang jual kereta dan kenderaan mereka, antaranya :

  • Tidak mampu bayar hutang yang mana akhirnya terpaksa dijual. Biasanya kenderaan ini masih baru dan kurang masalah atau tidak ada masalah langsung. Ada juga kenderaan yang ditarik dan dibeli oleh agensi jualan kenderaan terpakai semasa lelongan bank.
  • Orang kaya terutama ahli perniagaan kebiasaannya sering menukar kenderaan dan tidak menggunakan sesebuah kenderaan mereka itu untuk tempoh yang lama. Mereka akan sentiasa mengikut perkembangan model kereta dan menukar kepada model yang lebih baharu. Biasanya kenderaan ini masih baharu dan kurang bermasalah.
  • Pemilik asal menjual kerana kenderaan sudah mengalami kemalangan yang teruk.
  • Ada pemilik asal menjual kenderaan kerana sudah tidak tahan asyik berulang alik ke bengkel kerana kenderaan yang asyik meragam.
  • Kenderaan dijual kerana pemilik tidak berpuas hati dengan prestasinya.
  1. Cari pemilik asal

Inilah untungnya jika membuat survei online. Anda dapat mencari kenderaan yang dijual oleh pemilik terus (direct owner). Kenapa perlu pemilik terus? Ini kerana mereka tidak pandai menipu. Anda boleh cuba mengorek rahsia kenderaannya atau menyoal apa sahaja. Mana tahu pernah kemalangan? Berbuallah dengan mesra mengenai kos selenggara dan bengkel pilihannya selain bertanya mengenai alat ganti yang pernah atau baru ditukar. Harga pemilik sebenar mungkin sedikit mahal, tetapi masih ada ruang rundingan. Tambahan lagi jika anda datang dengan kuasa tunai.

  1. Minta jadual servis

Pemilik yang menyimpan buku jadual servis, termasuk resit alat ganti atau baik pulih ialah mereka yang peduli tentang kenderaan mereka. Ada pemilik yang menjadikan pusat servis sah sebagai bengkel rasmi dan ada yang sekadar menyenggara kenderaan di bengkel biasa. Terpulang kepada anda asalkan pemilik asal dapat berikan jadual rutin servis yang lengkap. Maklumat servis sangat penting untuk mengenal pasti ragam kenderaan terutamanya kereta. Maka dengan itu, anda dapat tahu jenis masalah yang kerap berulang, apakah alat ganti yang sering ditukar, apakah ada kerosakan major membabitkan kotak gear atau enjin dan sebagainya.

  1. Periksa rupa luaran dan dalaman

Anda perlu cerewet sedikit walaupun bukan kenderaan baharu. Lihat luaran dan dalaman kenderaan. Warna mungkin pudar sedikit, tetapi janganlah terlalu teruk dan ada kemek di sana sini. Bagi kereta, kerusi biarlah bersih dan tiada kesan tompokan air tumpah merata-rata. Jika ada, minta diskaun. Cucian dan gilap menelan belanja hingga RM200. Cat penuh seluruh badan kereta memerlukan RM1000 – RM2000, manakala upah mengetuk badan kereta bermula serendah RM150 ke atas. Minta harga dikurangkan jika pemilik tidak mahu betulkan.

  1. Periksa peralatan dan kelengakapan

Jika anda membeli sesebuah kereta terpakai, sila pastikan segala kelengkapan dan peralatan berfungsi dengan baik seperti:

  • Lampu tinggi dan rendah, signal, kabus, lampu kabin (di siling) dan amaran (hazard light)
  • Penyaman udara
  • Hon
  • Radio dan pemain cakera padat (CD)
  • Handle pintu dan glove-box (laci dashboard)
  • Tuil atau penetap cermin sisi
  • Suis tingkap kuasa
  • Soket 2.4V / palam pencucuh rokok
  • Tuil tangki minyak, bonet dan but
  • Pelaras kerusi dan tali pinggang keledar
  • Tayar simpanan dan kotak alatan (tools box)
  1. Periksa enjin

Bagi kereta atau kenderaan selain motosikal, jangan terus hidupkan enjin. Ada 2 peringkat perlu diperiksa.

Peringkat 1, buka bonet dan pastikan:

  • Tiada kesan minyak bocor
  • Tiada kabel sambungan elektrik reput atau terputus
  • Tiada komponen material getah yang tertanggal, melecur, melepuh, haus dan rosak
  • Tiada bahan asing dalam radiator. Buka penutup dan lihat air radiator sama ada keruh atau jernih
  • Tiada bahan asing dalam minyak enjin. Tarik indikator minyak enjin dan lihat rupa minyak (cair, pekat, ada serbuk besi, dan lain-lain).

Peringkat 2, hidupkan enjin dan pastikan:

  • Semua indikator pada panel meter menyala dan terpadam (seperti beg udara, suhu, enjin, ABS, dan lain-lain).
  • Lihat asap yang keluar daripada ekzos. Jika keluar sedikit percikan air dan asap tidak berwarna atau biru sedikit itu bermakna enjin kereta dalam keadaan sihat.
  • Tekan minyak pada 3000RPM, 4000RPM dan 5000RPM. Setiap tahap dibuat secara ligatan (rev) enjin, iaitu tekan hingga mencapai tahap RPM diperlukan dan terus lepaskan pedal minyak. Meter RPM untuk enjin yang baik akan turun sekata bersama deruman lancar (tidak tersekat atau terbatuk).
  1. Pandu uji

Tidak kira sama ada anda berunding dengan pemilik terus atau penjual kenderaan terpakai, anda sebenarnya ada hak untuk meminta dibenarkan memandu uji kenderaan yang mahu dibeli.

Memandu uji di sini bukanlah setakat menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak. Kenderaan pilihan anda itu mesti bergerak. Ini langkah penting.

Jangan sesekali beli kenderaan tanpa pandu uji. Sebelum pandu uji, hidupkan enjin dan biarkan.

Bagi kereta, uji tahap kesejukan penghawa dingin, tengok radiator cukup sifat atau tidak, cuba tilik bahagian bawah enjin kalau-kalau ada lelehan pelincir atau cecair kotak gear. sewaktu enjin melahu dan masih sejuk, tekan brek dan cuba masukkan gear “R” dan “D” untuk kereta automatik.

Bagi kereta manual, masukkan kesemua gear dan pastikan gear ini terkunci sewaktu tuil dimasukkan. Kereta yang bermasalah kotak gear biasanya tiada tindak balas jika anda masukkan gear ketika enjin sejuk.

Sila lihat indikator suhu dan pastikan kipas radiator berpusing baru mulakan perjalanan. Ketika memandu, teliti bunyi-bunyi pelik terutamanya pada bahagian transmisi. Pada tahap ini telinga anda memain peranan penting, termasuk deria lain. Apa yang anda perlu lakukan ialah:

  • Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan. Dengar jika ada sebarang bunyi aneh keluar.
  • Cari selekoh dan belok. Dengar jika ada keluar bunyi ketika memusing stereng.
  • Redah kawasan tidak rata. Sama juga, dengar jika ada sebarang bunyi aneh di bahagian tayar atau dalam kabin.
  • Pandu dalam pelbagai halaju (60-110kmj). Pasang telinga dan rasai jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi.
  • Gerakkan setiap takat gear. Jika manual, pastikan setiap takat gear (1-5/6) dapat ditukar lancar. Jika automatik, pandu kereta dalam tetapan D4, D3 atau D2, termasuk R. Pastikan setiap takah gear dapat ditolak atau ditarik masuk dengan lancar dan tidak tersekat atau tersentap.
  1. Periksa dokumen

Minta pemilik tunjukkan Geran Kenderaan (RC) atau dapatkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC). Pastikan setiap perincian dalam spesifikasi adalah tepat tanpa pindaan. Cuba lihat bahagian kolum nombor enjin dan casis dan pastikan ianya sama dengan kenderaan yang hendak anda beli.

Di bawah kolum spesifikasi ada kolum kecil yang biasanya ditulis dengan “hak milik dituntut oleh bank ….”, pastikan ia telah dicop sebagai “DIBATALKAN” oleh pihak JPJ. Selain itu, pastikan tiada SEKATAN.

Sesetengah kereta mempunyai batasan tukaran milik seperti kereta import bukan AP terbuka khususnya kereta yang diimport masuk secara persendirian oleh pelajar/pekerja luar negara yang tidak boleh dipindah milik dalam masa 24 bulan dari tarikh didaftarkan.

Ada sesetengah kereta yang diberi perlepasan tertentu oleh JPJ dan ia tertakluk di bawah sekatan tadi. Kereta-kereta ini biasanya tidak boleh dipindah milik langsung.

Kesimpulannya

Membeli kenderaan terpakai memerlukan pengetahuan supaya anda benar-benar dapat harga yang berbaloi dengan wang dibayar. Membeli kenderaan terpakai terus dari pemilik asal adalah cara yang lebih baik kerana berurusan sendiri dengan pemilik kenderaan menghilangkan kos-kos seperti yuran pemprosesan dan GST.

Ia mungkin sedikit leceh sebab semuanya perlu dibuat sendiri, tetapi akhirnya berbaloi jika anda dapat menjimatkan perbelanjaan anda mengikut bajet yang ditetapkan dan mampu memiliki kenderaan yang anda ingini dan menggunakannya dengan risiko yang rendah.

Loading...

Tags: #beli kereta pertama #beli kereta tanpa lesen #beli kereta terpakai #cara beli kereta terpakai #interest loan kereta terpakai 2016 #interest loan kereta terpakai 2017 #jual beli kereta terpakai #kereta second hand #kereta secondhand #kereta terpakai bawah rm5000 #membeli kenderaan terpakai #panduan nak tengok kereta ok atau tak ok #pinjaman kereta bank rakyat #pinjaman kereta terpakai #survei kereta terpakai #teknik lihat kenderaan terpakai #tips beli kenderaan terpakai

Cara Paling Mudah Menilai Harga Semasa Kenderaan Sebelum Menjualnya
Jika anda bercadang untuk menjual kenderaan sendiri, namun kenderaan tersebut masih lagi mempunyai
Jenis Kenderaan SUV 4×4 Mampu Milik, Jimat Belanja!
Kenderaan pacuan empat roda (4WD atau 4×4) asalnya sangat popular pada lewat 1990-an
Tips Jimatkan Minyak Kenderaan Semasa Memandu
Penggunaan minyak bukanlah bergantung kepada jenis dan model kereta sahaja, tetapi juga bergantung
Portal Semak Saman Online Kenderaan Anda!
Seringkali kita terlepas pandang untuk menyemak status kenderaan. Kenderaan yang mempunyai saman tertunggak

Comments are closed.