Panduan Lengkap Menanam Pokok Tomato

Panduan Tanam Pokok Tomato

Tomato antara sayuran yang banyak digunakan dalam masakan. Jika anda berhasrat untuk menanam pokok tomato di halaman rumah anda, anda cukup beruntung kerana pokok tomato boleh tumbuh dengan baik di mana-mana sahaja sama ada kawasan tanah tinggi mahupun tanah rendah.

Panduan Menanam Pokok Tomato

Di bawah adalah panduan untuk anda menanam dan mengusahakan tanaman tomato.

  1. Dapatkan benih tomato

Terdapat dua cara untuk mendapatkan benih tomato. Pertama, anda boleh membeli benih tomato di kedai pertanian atau di pasar raya di bahagian pertanian. Cara kedua, anda boleh dapatkan benih dari buah tomato yang anda beli dari pasar. Caranya, potong buah tomato tersebut dan keluarkan benih tomato dari buahnya. Masukkan benih tomato ke dalam satu bekas. Tambah air dan tapis menggunakan penapis agar dapat mengasingkan benih dari sisa buah. Kurangkan kebasahan pada benih dengan menekapkan dengan tisu dan keringkan di bawah pancaran matahari. Masukkan benih tomato yang kering ke dalam botol kedap udara sekiranya belum menyemai dalam masa terdekat.

  1. Penyediaan bekas semaian

Sediakan bekas semaian anda dengan menggunakan styrofoam cup aiatu tray semaian yang boleh dibeli di kedai pertanian. Namun, bekas semaian ini agak mahal dan tidak sesuai untuk beginner. Selain itu,  anda juga boleh menggunakan bekas semaian seperti pasu, kontena, polibag atau boleh dibuat sendiri menggunakan bahan terbuang mengikut kreativiti.

  1. Penyediaan tanah semaian

Gunakan campuran tanah dengan nisbah 2:1:1 iaitu dua bahagian tanah loam, satu bahagian kompos dan satu bahagian pasir sungai. Tanah loam boleh diganti dengan tanah hitam atau tanah kebun manakala kompos boleh digantikan dengan tinja binatang reput atau topsoil yang digali sendiri atau dibeli di kedai. Pastikan media direhatkan selama seminggu sekiranya menggunakan tinja ayam. Selain itu, anda juga boleh gunakan campuran seedstarting mixes yang boleh dibeli di kedai pertanian.

  1. Penyemaian benih tomato

Masukkan tanah semaian ke dalam bekas semaian sehingga penuh dan padat-padatkannya sedikit sahaja, tetapi janganlah pula terlalu padat. Terdapat dua cara menyemai benih tomato. Pertama, tabur rawak di atas tanah semaian kemudian timbus sedikit tanah. Kedua, buat alur kira-kira 1/4 kedalaman secara memanjang di atas pasu atau kontena dan semai benih tomato ke dalam alur yang dibuat tadi. Seterusnya jangan lupa siram selepas di semai.

Setelah benih tomato disemai, letakkan pasu tersebut di kawasan terkena sinar matahari. Suhu tanah dalam pasu yang sesuai untuk benih tomato bercambah ialah 21°C hingga 27°C. Jika suhu berada di bawah 10°C, benih tomato mengambil masa untuk bercambah manakala jika suhu di atas 35°C, benih tomato akan membusuk atau memburuk dan tidak akan bercambah. Benih tomato mulai bercambah selepas 5 hari hingga 7 hari selepas disemai.

  1. Pemindahan anak pokok

Terdapat dua cara pemindahan anak pokok tomato ke tapak penanaman iaitu :

  • Cara pertama : Apabila usia anak pokok tomato telah mencapai dua hingga tiga minggu dan mempunyai 4 hingga 6 helai daun, nak pokok tomato itu bolehlah dipindahkan terus ke batas yang telah disediakan. Tanam anak pokok tomato seterusnya siram secukupnya dan tutup dengan jaring selama seminggu.
  • Cara kedua : Apabila anak pokok tomato berusia 12 hari dimana daun sebenar sudah keluar, pindahkan anak pokok tomato dari bekas semaian ke pasu atau kontena yang lebih besar sedikit. Setiap pasu ditanam dengan 1 pokok tomato. Selepas 3 minggu usia anak pokok dalam pasu tersebut, pindahkan sekali lagi ke atas batas yang telah disediakan. Cara ini sering dipraktikkan oleh pekebun-pekebun dari negara Barat.
  1. Pembajakan batas 

Jika menanam pokok tomato di atas tanah maka buat batas mengikut kehendak anda. Gunakan cangkul untuk memecahkan tanah dan gembur tanah tersebut sehingga hancur. Pokok tomato sesuai tumbuh pada tanah gembur yang lembab. Campurkan kompos untuk menambah nitrogen ke dalam batas atau pun tinja binatang.

Buang segala benda asing dalam batas seperti akar, daun kering, batu dan sebagainya. Dedahkan batas tersebut pada cahaya matahari selama seminggu hingga dua minggu. Elak daripada menanam anak benih pokok tomato sekiranya menggunakan tinja ayam pada batas. Rehatkan batas selama seminggu barulah anak benih pokok tomato di tanam.

  1. Penanaman anak pokok tomato

Buat lubang dengan kedalaman 2 hingga 3 setengah inci manakala jarak lubang pula ialah kira-kira 2 kaki atau dua kaki setengah. Anda diberi dua pilihan sama ada menyiram terlebih dahulu baru mencabut benih pokok atau langsung cabut anak pokok tomato. Kedua-dua cara boleh dilakukan untuk anak benih pokok tomato. Cabut berhati-hati anak pokok tersebut dan tanam pada lubang kira-kira 2 inci hingga 3 setengah inci mengikut saiz anak pokok. Kambus dengan tanah dan siram dengan air secukupnya.

Tutup dengan jaring hitam bagi mengelak sinaran langsung daripada matahari terik. Sinaran matahari terik boleh membunuh anak pokok tomato yang baru dialihkan. Sebaik-baiknya lakukan pengalihan anak pokok tomato pada waktu petang agar pokok tomato tidak mengalami simptom layu yang teruk.

Jaring penutup itu harus dibuka selepas seminggu kerana pada ketika ini anak pokok tomato sudah kuat dan mampu bertahan cuaca panas. Di awal pertumbuhan anak benih tomato harus disiram dua kali sehari secara berkala. Tidak perlu disiram ketika hujan.

  1. Pembajaan pokok tomato

Terdapat dua pilihan sama ada mahu menggunakan baja organik atau baja kimia.

(a) Baja Organik

  • Tabur baja di sekeliling pokok dan hati-hati jangan terkena pada batangnya.
  • Lakukan pembajaan pada minggu kedua dengan baja NPK organik dan tahi binatang.
  • Pada minggu keempat, gunakan baja kompos dan NPK organik dan baja buah organik.
  • Pada minggu keenam, gunakan baja kompos, NPK organik dan sedikit baja buah organik.
  • Semasa proses membaja, gembur-gemburkan tanah agar baja tersebut bercampur tanah yang membolehkan akar pokok mudah menyerap nutrien.

(b) Baja Kimia

  • Dua minggu selepas anak pokok tomato dialihkan ke batas, bubuh baja subur (warna merah) dan baja tahi ayam.
  • Baja tahi ayam ditanam dan ditimbus di antara pokok tomato manakala baja subur ditabur di sekeliling pokok, jangan terkena batang pokok kerana ia akan melecur dan mungkin mati.
  • Pada minggu keempat, bubuh baja subur, baja buah (warna putih) di sekeliling pokok.
  • Pada minggu keenam, tabur baja kompos, baja subur dan baja buah.
  • Gembur-gemburkan tanah dan hati-hati jangan mencederakan akar tomato.
  1. Penjagaan pokok tomato

Anda hanya perlu merumput dengan mencabut rumput rumpai pada batas dan sekelilingnya. Batas pokok tomato harus sentiasa lembab dengan menyiram secara berkala. Batas jangan kering dan jangan terlalu basah (menakung air), pokok tomato akan layu dan tidak akan dapat diselamatkan.

Serangan penyakit sering berlaku pada pokok tomato. Berikut adalah penyakit pokok tomato yang lazim berlaku dan cara mengatasinya :

  • Apid hitam – menyerang akibat jangkitan dari pokok berdekatan. Sembur dengan larutan sabun dan minyak 2 kali sehari atau hapuskan apid secara menual.
  • Reput akar – disebabkan oleh bakteria menyerang akar. Cabut pokok dan musnahkan.
  • Pucuk daun mengerekot – disebabkan oleh bakteria pucuk tidak mampu membesar dan pertumbuhan terbantut. Pangkas pucuk tersebut supaya tunas baru yang sihat terbentuk. Jika penyakit serius cabut dan musnahkan.
  • Buah busuk – serangan penyakit. Kutip buah yang rosak dan musnahkan.

Apabila pokok tomato mula membesar dan berbuah, buat pancang setinggi 1 meter untuk menyokong pokok tomato daripada rebah ke bumi.

  1. Kematangan dan pengutipan hasil buah

Buah tomato boleh dituai selepas warna buah berubah kepada merah atau kuning mengikut variati. Untuk pemasaran, buah boleh dipungut bila masih berwarna hijau tetapi cukup matang. Pungutan buah yang masih hijau atau hijau kekuningan dibuat untuk mengelakkan buah dari pecah. Buah-buah boleh dipetik dengan menggunakan tangan sebiji demi sebiji dengan memastikan kulit buah tidak tercedera. Jangka masa penyimpanan boleh ditingkatkan ke 1 hingga 2 minggu jika disimpan di bilik sejuk pada suhu 5°C hingga 100°C dengan kelembapan di antara 90-95%.

  1. Kualiti untuk pasaran

Kualiti buah yang dikehendaki di pasaran adalah seperti berikut :

  • Ukuran – saiz garis pusat (cm) :
    Besar : melebihi 6 cm
    Sederhana : 5 hingga 6 cm
    Kecil : kurang dari 5 cm
  • Bentuk : bulat dan tidak cacat
  • Warna – 90% warna hijau dan 10% kuning
  • Tekstur – lembut, bila dibelah terdapat rongga udara
  • Keadaan – bebas dari serangan penyakit, kerosakan dan kekotoran

IMG_20171206_114610-150x150 Panduan Lengkap Menanam Pokok Tomato

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #Cara Menanam Benih Tomato #cara menanam pokok tomato #kualiti pasaran untuk tomato #panduan bertani #panduan lengkap menanam pokok tomato #panduan menanam tomato #penanaman tomato komersial #pertanian #sayuran tomato

Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah
Overlap Loan : Pinjam Wang Untuk Bayar Pinjaman
Mengambil pinjaman baru untuk membayar pinjaman sedia ada selalunya tidak disyorkan, kecuali dalam
Strategi Kurangkan Beban Hutang Pinjaman Bank
Untuk mengurangkan beban hutang pinjaman bank anda, anda boleh melaksanakan beberapa strategi yang

Comments are closed.