Cara Tidurkan Anak, Agar Si Ibu Tidak Lagi Berjaga Malam!

Cara Tidurkan Anak, Agar Si Ibu Tidak Lagi Berjaga Malam!

Tidur yang mencukupi memang penting untuk bayi yang sedang membesar. Jikalau anak tidak cukup tidur, ia pasti akan menjejaskan perkembangan minda dan fizikal. Ramai ibu bapa yang mengalami masalah yang hampir sama iaitu bayi sukar tidur pada waktu malam, tidak mahu tidur pada waktu malam ataupun berjaga sepanjang malam. Bagi ibu yang bekerja, keadaaan ini pasti dapat membuat si ibu tertekan dan mengganggu pola tidur ibu.

Apabila bayi anda sedang membesar, adalah penting untuk menyelesaikan masalah kesukaran tidur bagi bayi kerana jika berlarutan, masalah ini boleh menyebabkan tekanan dalam hubungan antara si ibu dengan bapa dan juga si ibu dengan bayi. Ibu yang tidurnya terganggu disebabkan bayi yang sering mengalami masalah tidur malam mungkin lebih mudah untuk mengalami kemurungan.

Berapa jam waktu tidur yang diperlukan oleh anak anda?

Sejak anak dilahirkan hingga dewasa, mereka memerlukan jumlah jam tidur berbeza mengikut peringkat tumbesaran. Jumlah jam tidur ini termasuklah  tidur petang atau nap time. Tidur adalah penting untuk membesar. Mengikut doktorbudak.com (2013), jumlah jam tidur yang diperlukan anak-anak mengikut peringkat perkembangan umur adalah seperti berikut :

  • umur kurang dari 2 bulan  : 14 hingga 18 jam sehari
  • umur 3 hingga 11 bulan       : 12 hingga 16 jam sehari
  • umur 1hingga 3 tahun         : 12 hingga 14 jam sehari
  • umur 3 hingga 5 tahun        : 11 hingga 13 jam sehari
  • umur 5 hingga 12 tahun      : 10 hingga 11 jam sehari
  • umur 12 hingga 18 tahun    :  8 hingga 9 jam sehari

Semasa lahir dan dalam tempoh beberapa minggu terawal dalam hidupnya, bayi tidak dapat membezakan waktu siang atau malam. Bayi akan tidur untuk 2 hingga 3 jam dan bangun semula untuk menyusu. Begitu juga pada waktu malam.

Selepas kira-kira 6 minggu, barulah si bayi mula dapat tidur lebih lama pada waktu malam. Pada masa inilah waktu yang tepat bagi ibu bapa melatih bayi mereka untuk cergas pada waktu siang dan tidur lebih lama pada waktu malam. Selepas 3 hingga 6 bulan, bayi kebiasaannya dapat tidur berterusan selama 5 hingga 6 jam pada waktu malam. (doktorbudak.com, 2013)

Anak-anak yang mendapat masa tidur yang mencukupi tidak mengalami maslaah sukar untuk tidur malam. Mereka dapat terlena dalam masa singkat iaitu 15 hingga 30 minit, tidur berterusan pada waktu malam dan tidur lebih lena. Jika si anak tidak dapat kualiti tidur yang bagus, mereka akan selalu mengantuk pada waktu siang, mengamuk dan bersikap hyper dengan masalah sikap yang sukar dikawal.

Apakah yang perlu anda dilakukan agar anda tidur sepanjang malam?

Seperti mana  yang telah diterangkan di atas, tidak banyak yang anda boleh dilakukan terutamanya semasa waktu-waktu awal selepas bayi lahir hingga beberapa minggu terawal umurnya. Anda sendiri mungkin terpaksa berjaga pada waktu malam, tetapi yakinlah bahawa keadaan akan jadi lebih baik. Jika selepas beberapa minggu masalah ini masih berterusan, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengubah rutin tidurnya.

  1. Tetapkan waktu tidur yang rutin

Pastikan anak tidur pada waktu yang sama dan bangun waktu yang sama, walaupun pada hari minggu. Sebelum tidur, mandikan anak, tukar lampin, salin baju tidur, gosok gigi, masuk bilik tidur dan boleh bercerita atau menyanyi. Habiskan ritual tidur dalam bilik tidur bayi anda. Adalah penting bagi anak mempelajari bahawa biliknya adalah suatu tempat yang selesa untuk dia berada.

  1. Aktiviti fizikal yang sederhana pada waktu siang

Anak-anak yang mengamalkan senaman dan aktiviti fizikal yang sederhana pada waktu siang seperti bermain bola, basikal, berjalan di taman, berenang dan sebagainya dapat tidur dengan lebih cepat dan tidur lebih lena. Bermainlah dengan anak anda sebanyak mana yang boleh sepanjang hari. Walaupun dia sedang tidur nyenyak, bangunkan dia untuk menyusu mengikut jadual.

  1. Jangan bermain dengan anak pada waktu malam

Tutup lampu dan hanya pasang lampu tidur atau sedikit sahaja cahaya untuk tujuan menyusukan dan menukar lampin. Anda sendiri haruslah senyap dan bersikap menenangkan. Bergerak dan bercakap perlahan-lahan. Dalam erti kata lain, jadilah sebosan yang boleh. Si ibu juga boleh mencuba rutin tidur malam yang mudah seperti mandi air suam dan urut, atau tukar kepada pakaian malam. Lakukan penyusuan pada waktu malam dengan keadaan tenang dan sunyi.

Dengan cara ini akan membantu bayi kecil mengatur jam badannya supaya dapat membezakan antara siang dan malam. Lama-kelamaan bayi anda akan belajar bahawa waktu siang adalah untuk berseronok dan waktu malam untuk tidur. Proses ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau beberapa minggu, tetapi jika konsisten melakukannya, rutin tidur si anak akan berubah.

  1. Jangan dedahkan anak pada alat teknologi sebelum waktu tidur

Gajet-gajet seperti  telefon pintar, iPad, televisyen, komputer dan sebagainya  tidak patut dimainkan atau ditonton oleh anak-anak sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur. Pastikan televisyen dan peralatan teknologi tidak ada di dalam bilik tidur anak anda. Mendedahkan anak-anak kepada alatan ini sebelum tidur akan menjadikan otak lebih aktif dan mereka lebih susah untuk tidur.

Jangan jadikan alatan teknologi ini sebagai satu aternatif dan jalan mudah untuk memujuk anak dan mengalihkan fokus anak kerana pendedahan yang banyak kepada gajet-gajet ini juga memberi kesan yang negatif terhadap pembesaran anak.

  1. Suasana bilik tidur yang selesa

Pastikan bilik tidur gelap atau dalam pencahayaan yang samar, suhu bilik yang sederhana, tidak terlalu panas dan sejuk, sunyi. Pastikan si anak memakai baju tidur yang selesa. Sediakan anak patung, teddy bear, selimut yang si anak rasa selesa dan selamat sewaktu tidur, supaya dia tidak akan rasa sunyi sepi dan gelisah jika ibubapa tidak ada di sisinya sewaktu tidur.

  1. Berikannya objek kesayangan

Selain bilik tidur yang selesa, berikan objek kesayangan anak. Sama ada selimut, ‘bantal busuk’ atau patung haiwan lembut. Cara yang baik untuk membuat si anak sukakan selimut atau anak patungnya ialah dengan si ibu berkepit dengan objek itu buat sementara waktu sehingga bau ibu melekat padanya. Bayi mempunyai deria bau yang kuat, dan apabila dia terjaga secara mengejut nanti, bau ibunya akan menenangkannya.

  1. Bagi anak tidur petang / nap time

Anak-anak kecil dalam umur prasekolah memerlukan tidur petang. Bagilah mereka tidur petang untuk tempoh satu hingga 3 jam supaya mereka tidak berasa terlalu penat. Jika mereka dapat tidur petang seketika dan rehat yang mencukupi, mereka tidak akan mengamuk pada waktu malam dan lebih senang tidur malam.

  1. Snek ringan waktu malam

Snek ringan yang berkhasiat seperti segelas susu, bijirin atau sebiji epal sebelum tidur boleh diberikan kepada anak-anak supaya mereka dapat tidur lebih panjang dan lena, tidak dalam kelaparan sewaktu tidur. Tetapi, jangan beri makanan yang terlampau banyak dan berat sebelum tidur. Elakkan minuman dan makanan yang mengandungi cafein seperti air teh, kopi, coklat dan minuman berkarbonat.

  1. Biarkan anak menangis, bersikap tegas dalam lembut

Ini amat sesuai apabila anak anda berusia empat atau lima bulan. Jika dia menangis selepas anda membaringkannya, pergilah dekatinya. Tepuknya perlahan-lahan dan beritahu dia bahawa semuanya baik, tetapi sekarang ialah waktu untuk tidur. Berlemah lembutlah, tetapi tegas. Tinggalkan bilik. Tunggu untuk sesuatu tempoh, dari dua hingga lima minit, kemudian jenguknya lagi. Lakukan ini berulang kali sehingga dia tertidur, dengan memanjangkan masa antara setiap lawatan.

Jika si anak terjaga pada waktu malam dan mengamuk mahukan orang lain bermain dengannya, janganlah menyerah dan mengalah dengan kemahuannya. Jangan sesekali dukung dia dan bermain dengannya.Harus bersikap tegas. Masukkan dia semula di katilnya dengan selimut dan anak patung tidurnya, cuba menyusukannya dan minta dia tidur semula.

  1. Jangan biarkan anak bangun lambat

Bangunkan anak pada waktu anda biasanya terjaga pada waktu pagi. Jangan biarkan anak anda bangun lambat untuk menggantikan waktu yang dia tidak tidur pada waktu malam. Anda mungkin terdorong untuk membiarkan dia tidur supaya anda sendiri boleh tidur lagi, atau untuk mencuri masa beberapa minit menguruskan diri, tetapi ini akan lebih menyukarkan anda pada waktu malam nanti.

  1. Beri anak peluang untuk terlena dengan sendiri

Si ibu boleh mulakan ini dari kira-kira enam hingga lapan minggu pertama umur bayi. Letakkan bayi di atas katilnya ketika dia mengantuk, tetapi masih belum terlelap. Sesetengah pakar menasihatkan supaya jangan membuaikan atau menyusukan bayi sehingga tidur, walaupun pada usia ini kerana bayi akan menjadi biasa dengan amalan ini. Terpulanglah kepada anda untuk memutuskan apa yang terbaik.

  1. Kongsi peranan penenang

Suami boleh jadi rakan yang penting dalam hal ini terutama ketika anak anda terjaga pada waktu malam, supaya anda berdua boleh membantu dia tidur kembali. Sebaik saja bayi anda cukup besar untuk tidak diberi susu pada waktu malam, dia boleh membiasakan diri untuk ditenangkan oleh suami anda. Dia mungkin berhenti daripada memerlukan sesiapa pun apabila dia sedar bahawa dia tidak akan diberi susu.

Masalah sukar tidur pada waktu malam, berjaga sepanjang malam adalah perkara yang biasa bagi kebanyakan anak-anak kecil. Jika rutin tidur yang tetap dan sihat sudah diamalkan dan cara di atas sudah dicuba, insyaAllah si anak akan membiasakan diri untuk mudah tidur dan dapat tidur lena sepanjang malam.

Jika anak anda masih lagi susah tidur lena pada waktu malam setelah mencuba semua cara yang dikongsikan, disarankan bawalah anak menemui doktor untuk pemeriksaan dan mengenal pasti jika si anak mengalami sebarang masalah fizikal yang boleh menjejaskan kualiti tidurnya. Yang penting, jangan putus asa dan amalan tidur yang sihat patut diamalkan oleh semua ahli keluarga.

 

Rujukan :
http://www.majalahpama.my
https://www.babycenter.com.my
http://www.doktorbudak.com
Loading...

Tags: #anak sukar tidur malam #anak tidak mahu tidur malam #anak tidur lewat #Bayi Pasti Akan Tidur Awal dan Tak Berjaga Malam #Cara cepat tidurkan anak #Cara Mudah Nak tidurkan Bayi Anda #Cara Tidurkan Anak Awal Waktu #cara tidurkan bayi #Cara Tidurkan Dan Kejutkan Anak Supaya Anak Tidak Meragam #elak bayi berjaga malam #masalah bayi berjaga malam #masalah bayi tidak mahu tidur malam #tips bayi susah tidur #Tips Dan Cara Terbaik Tidurkan Bayi Dengan Lebih Lena #Tips Mudah bayi tidur Lena #tips terbaik tidurkan anak

Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Kaedah Menghafal Dengan Baik
Menghafal memerlukan pendekatan yang baik yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran individu. Berikut adalah
Tips Pupuk Kasih Sayang Isteri Dalam Hubungan Perkahwinan
Memupuk kasih sayang dalam hubungan perkahwinan adalah aspek penting untuk mengekalkan keharmonian dan
10 Tips Atasi Gagap Bercakap
Gagap ialah gangguan pertuturan yang boleh menjejaskan cara seseorang bercakap, termasuk kelewatan atau

Comments are closed.