Mahu Jimatkan Bil Elektrik Anda? Cuba Amalkan Tips Mudah Ini

Mahu Jimatkan Bil Elektrik Bulanan Anda, Cuba Amalkan Tips Mudah Ini

Langkah berjimat dan bijak dalam menggunakan peralatan elektrik dapat mengurangkan bil elektrik bulanan anda. Sudah tentu kos pembayaran elektrik yang tinggi setiap bulan akan meningkatkan perbelanjaan. Mungkin tidak menjadi masalah bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan hidup mewah, tetapi bagi golongan yang berpendapatan sederhana, pasti akan menjejaskan kewangan. Ini langkah yang boleh diambil untuk menjimatkan dan mengurangkan bil elektrik bulanan anda.

  1. Tutup suis alat elektronik dengan penggunaan elektrik tinggi

Sesetengah alatan elektronik menggunakan elektrik lebih tinggi berbanding alatan lain. Antaranya:

  • Sistem permainan video (Xbox 360, PS4)
  • Cerek elektrik
  • Desktop komputer yang sentiasa terpasang
  • Set televisyen, terutamanya TV Plasma
  1. Hadkan penggunaan peralatan elektrik

Antara cara menjimatkan elektrik yang mudah adalah menghadkan penggunaan peralatan elektrik. Anda perlu membuat kawalan dan menetapkan peraturan berkenaan tempoh penggunaan peralatan elektrik di kediaman anda. Hadkan masa tontonan televisyen, lebih baik untuk buat aktiviti yang lebih bermanfaat seperti membaca buku dan beriadah.

Hadkan juga masa penggunaan pendingin hawa, cukup untuk sekadar hilangkan rasa panas sahaja. Simpan air panas dalam termos, supaya air tidak perlu dipanaskan berulang-ulang kali menggunakan cerek elektrik. Semua ini adalah contoh cara-cara untuk menghadkan penggunaan elektrik.

  1. Tutup lampu di ruang yang tidak digunakan

Lampu lebih cepat rosak jika sering dibuka dan ditutup dengan kadar yang kerap. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini, tetapkan peraturan 1 jam; jika anda yakin ruang tersebut tidak akan digunakan dalam masa 1 jam, maka tutup sahaja lampu. Jika kurang daripada 1 jam, biarkan sahaja lampu terpasang.

  1. Gunakan cahaya semula jadi

Pada waktu siang, kalau boleh banyakkan penggunaan cahaya matahari berbanding cahaya lampu. Buka tingkap dan selak langsir supaya cahaya matahari dapat menerangi kediaman anda tanpa bantuan lampu.

  1. Kurangkan bilangan lampu dalam kediaman anda

Kadang-kadang, kita tidak perasan, sesetengah ruang atau bilik hanya perlukan sebuah lampu sahaja untuk capai tahap kecerahan optimum. Bagaimana sebuah lampu dapat memberikan pencahayaan yang optimum? Banyak faktor yang mempengaruhi, seperti jenis lampu, sudut pemasangan lampu, kedudukan atau posisi lampu (dekat-jauh, tinggi-rendah) dan warna atau cat ruang tersebut (lantai, dinding dan siling). Buat sedikit adjustment pada faktor-faktor ini, dan anda boleh kurangkan penggunaan lampu dalam kediaman anda.

  1. Gunakan mentol lampu cekap tenaga

Jenis light emitting diodes (LED) adalah disarankan kerana lebih tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Mentol lampu jenis LED juga boleh dibuka-tutup dengan kerap tanpa memberi kesan ke atas jangka hayatnya (maka tidak perlu risau untuk sentiasa tutup lampu apabila ruang bilik tidak digunakan).

  1. Tips untuk mesin basuh dan pengering pakaian

Salah satu cara jimatkan elektrik semasa menggunakan mesin basuh adalah dengan mengurangkan kekerapan membasuh pakaian. Kumpul terlebih dahulu pakaian sehingga muatan penuh dan basuh sekaligus. Penggunaan elektrik adalah sama antara muatan penuh dan muatan separuh. Jadi, kalau basuh pakaian sikit-sikit, memang rugi penggunaan elektrik.

  • Pada masa yang sama, jangan melebihi had muatan mesin basuh pula. Kalau had mesin basuh adalah 10kg, pastikan jumlah berat pakaian yang dibasuh tidak melebihi had tersebut. Muatan berlebihan akan membebankan mesin basuh, meningkatkan penggunaan elektrik dan boleh menyebabkan kerosakan pada mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan fungsi basuhan air panas kerana lebih banyak tenaga elektrik diperlukan untuk memanaskan air cucian tersebut. Lebih baik gunakan fungsi basuhan air biasa sahaja.
  • Kalau boleh, digalakkan untuk asingkan pakaian atau kain yang ingin dibasuh mengikut berat. Contohnya, basuh t-shirt, kemeja dan pakaian dalam bersekali dalam satu basuhan, manakala pakaian seperti denim, jaket dan linen dibasuh berasingan. Ini akan memudahkan proses basuhan dan mengurangkan beban kerja mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan mesin pengering pakaian. Lebih baik untuk jemur pakaian yang dibasuh berbanding menggunakan mesin pengering pakaian. Maklumlah, mesin yang menghasilkan haba, sudah semestinya banyak menggunakan tenaga elektrik. Mungkin boleh simpan dahulu mesin pengering pakaian dan guna pada musim hujan sahaja.
  1. Tips penggunaan seterika

Pada masa sekarang, semakin ramai yang menggunakan seterika jenis stim berbanding seterika kering biasa. Tahukah anda bahawa seterika jenis stim menggunakan lebih banyak tenaga elektrik kerana perlu memanaskan air terlebih dahulu untuk menghasilkan stim. Jadi, untuk menjimatkan elektrik, penggunaan seterika kering biasa adalah lebih digalakkan.

  • Kurangkan kekerapan penggunaan seterika dengan mengumpul terlebih dahulu pakaian untuk digosok.
  • Seterika banyak menggunakan elektrik semasa awal dipasang, kerana perlu dipanaskan terlebih dahulu. Jika sesi menggosok terlalu kerap, maka proses pemanasan sterika pun akan menjadi kerap. Maka, tinggilah penggunaan elektrik.
  1. Tips penggunaan cerek elektrik

Untuk jimatkan elektrik semasa menggunakan cerek elektrik, ikuti cara-cara berikut :

  • Pastikan air diisi ke paras penuh cerek sebelum dipanaskan.
  • Selepas siap dipanaskan, simpan air tersebut ke dalam bekas termos. Ini akan mengurangkan kekerapan penggunaan cerek elektrik.
  • Keladak boleh terbentuk pada permukaan alat pemanas cerek elektrik dan melambatkan proses pemanasan air. Oleh itu, perlu sentiasa dibersihkan keladak tersebut untuk mengelakkan pembaziran tenaga elektrik.
  • Memanaskan air menggunakan cerek biasa di atas dapur gas adalah lebih murah berbanding menggunakan cerek elektrik. jadi, tidak salah jika hendak menggunakan kaedah lama tersebut untuk memanaskan air.
  1. Tips penggunaan pendingin hawa

Jika anda menggunakan pendingin hawa di rumah, ini merupakan beberapa tips yang boleh anda gunakan. Di waktu malam, pastikan anda tetapkan timer untuk hadkan masa pendingin hawa beroperasi walaupun anda sudah tidur. Selain itu, pilih pendingin hawa yang memiliki penggunaan tenaga elektrik yang efektif dan berfungsi dengan baik. Semasa pemasangan pula, pilih lokasi yang tidak terdedah pada cahaya matahari serta saiz dan kuasanya sesuai dengan saiz ruang.

  1. Tutup suis dan cabut soket

Untuk elakkan pembaziran tenaga elektrik, tutup suis apabila peralatan elektrik tidak digunakan.

  • Tutup suis televisyen apabila tidak ditonton lagi.
  • Tutup suis komputer apabila siap kerja.
  • Tutup suis lampu apabila keluar dari bilik atau tandas.
  • Tutup suis periuk nasi apabila selesai masak nasi.

Dalam kes komputer, walaupun anda menggunakan sleep mode, peralatan elektronik tersebut masih menggunakan elektrik. Hal ini juga sama untuk pengecas laptop, telefon pintar, dan lain-lain. Apabila kita masih memasang pengecas tersebut, tenaga elektrik masih lagi digunakan. Ini akan mencetuskan pembaziran.

Anda disarankan untuk menutup terus suis utama, kerana alatan ini masih menggunakan tenaga elektrik walaupun peralatan tersebut tidak dipasang. Langkah ini akan membantu untuk anda menjimatkan sekurang-kurangnya 10% dari penggunaan elektrik.

  1. Gunakan panel suria

Penggunaan panel suria boleh membantu untuk mengurangkan kos bil elektrik. Namun, kos pemasangan yang tinggi boleh membantutkan hasrat untuk menggunakannya. Jika anda mampu, penggunaan elektrik boleh dijimatkan sehingga 75% kerana Malaysia mempunyai sinaran cahaya Matahari yang begitu efektif dan anda juga akan membantu alam sekitar.

  1. Elak cahaya Matahari memasuki rumah

Antara kekurangan menetap di Malaysia ialah cuaca yang panas terik. Oleh itu, ramai rakyat Malaysia menggunakan pendingin hawa.

Pastikan anda mengunakan tirai dan langsir di kawasan rumah yang dilimpahi cahaya matahari. Selain itu, anda juga boleh pilih untuk memasang pelekat tinted di tingkap untuk menapis cahaya matahari. Ini akan membantu untuk menyejukkan rumah anda lebih cepat, dan juga mengurangkan penggunaan elektrik oleh pendingin hawa.

  1. Tukar susun atur

Peralatan elektronik yang diletak berdekatan satu sama lain boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi daripada biasa. Contohnya, meletakkan mesin basuh berdekatan dengan peti sejuk, atau alatan elektronik utama yang lain. Selain itu, pastikan peti sejuk anda diletakkan di kawasan yang tidak terdedah dengan matahari, ataupun kawasan yang panas dan terdedah pada sumber haba. Ini kerana akan menyebabkanpeti sejuk memerlukan lebih tenaga elektrik untuk kekal sejuk. Pastikan terdapat ruang aliran udara di bahagian belakang peti sejuk untuk membebaskan haba. Ingat, susun atur peralatan elektrik akan menyumbang kepada penggunaan tenaga elektrik yang lebih efektif.

  1. Periksa jumlah penggunaan elektrik

Sebelum membeli peralatan elektronik, periksa berapa jumlah penggunaan elektrik alatan tersebut. Anda boleh gunakan aplikasi kalkulator TNB yang akan memberi anggaran penggunaan elektrik untuk alatan yang anda akan beli, serta kesannya ke atas bil elektrik.

Tingkatkan faktor kuasa (power factor) elektrik di rumah anda. Sebagai info, faktor kuasa merupakan indeks yang diguna untuk menentukan kadar keberkesanan penggunaan elektrik oleh alatan elektronik. Secara amnya, ia mengukur berapa tenaga elektrik yang diperlukan oleh alatan elektronik di rumah anda. Faktor kuasa yang rendah menunjukkan alatan elektronik di rumah anda tidak cekap.

Loading...

Tags: #alat jimat elektrik berkesan #bil elektrik mahal #cara jadikan bil letrik murah #cara jimat elektrik #cara mengurangkan bil elektrik #cara menjimatkan elektrik #jimat elektrik guna air cond #jimat letrik #kenapa bil elektrik tinggi #mahu jimat bil letrik #Nak Jimatkan Bil Elektrik #rahsia bil elektrik bulanan rendah #tarif elektrik 2017 #tips jimat eletrik #Tips menjimatkan bil elektrik bulanan anda

Teknik Urutan Jari Yang Mudah Dan Melegakan. Anda Boleh Cuba!
Percaya atau tidak, tubuh manusia penuh dengan keajaiban. Rawatan-rawatan alternatif yang telah diamalkan
10 Teknik Penanaman Sayur Di Ruang Sempit. Teknik Berkebun Ini Boleh Anda Cuba!
Selain menjadikan rumah lebih hijau, kegiatan berkebun juga dapat menjadi pelepas stres akibat
Rahsia Menulis Dengan Cepat. Ini Teknik Wartawan Biasa Guna!
Jika kerja harian anda memerlukan anda untuk menulis, mencatat nota, mengambil pesanan makanan,
Tips Mengasah Tulisan Tangan Supaya Cantik Dan Kemas!
Jika anda masih berasakan tulisan tangan anda tidak menarik, bahkan sukar dibaca oleh

Leave a reply "Mahu Jimatkan Bil Elektrik Anda? Cuba Amalkan Tips Mudah Ini"