Amalan Ketika Berdoa Supaya Dimakbulkan Hajat

Amalan Berdoa

Umat Islam kini berada pada hari-hari terakhir Ramadhan dan dalam kesempatan ini, kita hendaklah merebut setiap peluang yang ada bagi mendapatkan kerahmatan yang Allah janjikan pada bulan mulia ini.

Pada Ramadhan ini, kita mungkin sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah yang taat melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Banyak amalan soleh dilakukan pada Ramadan dengan harapan mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Bagi setiap amalan yang dilakukan kita hendaklah berdoa agar ia diterima Allah.

Amalan berdoa digalakkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada Ramadhan, terutama pada Lailatul Qadar. Ia adalah malam yang paling mustajab berdoa, khususnya pada masa berlalunya separuh malam dan ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya. Sepanjang Lailatul Qadar adalah saat doa yang dimakbulkan. Maka perbanyakkan doa pada malam itu.

Dalam satu hadis, Aisyah berkata:

“Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah yang akan aku bacakan dalamnya?

Jawab Baginda:

“Bacalah “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fuanni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).” (Hadis riwayat al-Khamsah).

Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata:

“Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”

Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Ini kerana Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah.

Sesungguhnya berdoa adalah satu tugas agama yang penting kedudukannya dan mahal nilainya. Ia adalah pintu ibadah dalam memperhambakan diri kepada Allah dan memperlihatkan kerendahan jiwa kepada-Nya.

Ini jelas melalui sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Doa itu adalah otaknya ibadat.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).

Ibadat yang dilakukan tanpa doa diibaratkan seperti manusia yang tidak mempunyai otak. Orang yang tidak ada otak adalah orang yang berkata-kata tanpa berfikir. Doa itu dipandang sebagai otak ibadat kerana ia adalah suatu perbuatan yang terang-terang memperlihatkan perhambaan kepada Allah.

Hamba memang berhajat kepada tuannya. Dengan berdoa kepada Allah, maka wujudlah bahawa; Allah itu tempat meminta, tempat bermohon, sedangkan si hamba adalah makhluk yang hina dan selalu dalam serba kekurangan. Oleh itu adalah tidak layak sekiranya kita hadapkan doa, selain daripada Allah.

Pengabdian atau ibadat yang dikerjakan tanpa berdoa adalah tidak berjiwa, hidup dan bergerak. Ini laksana tubuh yang tidak bernyawa, ada badan tetapi tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Tuhan selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Firman Allah lagi bermaksud:

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Nya, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dengan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Untuk membolehkan doa itu dimakbulkan Allah, maka ia hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab berdoa.

Antaranya ialah:

1. Doa hendaklah dilakukan pada waktu baik dan mulia seperti pada hari Arafah, Ramadan, hari Jumaat, sepertiga yang akhir daripada malam dan pada waktu sahur.

2. Berdoa dalam keadaan mulia seperti masa bersujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan, sebelum menunaikan sembahyang dan selepasnya, ketika jiwa tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika mengadap Kaabah.

3. Berdoa dengan menghadap kiblat.

4. Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita.

5. Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata bersajak – memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz doa Rasulullah yang bersesuaian.

6. Berdoa dalam keadaan khusyuk dan tawaduk dengan berasakan kebesaran dan kehebatan Allah.

7. Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak gelisah jika tidak diperkenankan Allah.

8. Mengulangi doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.

9. Memuji Allah pada permulaan dan pengakhiran doa.

10. Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapi diri dengan sesungguhnya kepada Allah.

 

Loading...

Tags: #adab berdoa #amalan berdoa #berdoa #cara berdoa #doa #doa yang mustajab #peranan doa

Bacaan Sujud Tilawah, Sujud Sahwi & Sujud Syukur
Sujud Tilawah Sujud tilawah ialah sujud kerana membaca atau mendengar ayat-ayat al-Qur’an tertentu,
Makanan, Minuman, Amalan & Doa Untuk Memperbanyakkan Penghasilan Susu Badan
Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu badan semasa menyusukan bayi, pemakanan dan
Kenali Sifat Wanita Yang Haram Dinikahi! Lelaki Mesti Baca!
Seorang lelaki yang sudah memenuhi syarat untuk berkahwin dan bersedia secara zahir dan
Perkara Patut Anak Lakukan Agar Hati Ibu Bapa Tidak Tersinggung!
Setiap anak yang baik pasti ingin membahagiakan dan membalas jasa ibu bapa yang

Comments are closed.