Cara Memeram Buah-buahan & Senarai Buah-buahan Yang Boleh Dipetik Hijau, Diperam Sebelum Dinikmati

Cara Memeram Buah Buahan

Terdapat banyak buah-buahan terutamanya buah-buahan tempatan yang boleh dipetik sebelum matang dan diperam sehingga masak untuk dimakan. Terlebih dahulu, penulis ingin berkongsikan beberapa cara atau kaedah untuk memeram buah-buahan.

Cara 1

  1. Masukkan buah yang ingin diperam dalam beg kertas dan diletakkan bersama dengan sebiji pisang yang sudah masak. Kemudian tutup beg kertas.
  2. Jika tiada beg kertas, boleh gunakan kotak. Jangan letakkan dalam beg plastik.
  3. Periksa buah yang diperam itu setiap hari untuk elakkan terlebih masak.
  4. Pisang masak cepat ranum kerana banyak keluarkan gas ethylene. Jadi, bila diletakkan bersama buah yang belum masak, buah tersebut akan cepat masak.
  5. Selain pisang, boleh juga digantikan dengan epal kerana epal juga keluarkan gas ethylene yang banyak.

Cara 2

  1. Basuh buah yang ingin diperam. Keringkan buah. Boleh dilap dengan kain bersih atau tisu.
  2. Kemudian tanam keseluruhan buah di dalam beras. Periksa buah setiap hari.
  3. Jangan lupa tengok dalam beras, jika buah sudah masak ranum, beras pula akan rosak.

Cara 3

  1. Letak calsium carbide atas kertas surat khabar. Renjiskan kabat dengan sedikit air.
  2. Bungkus calsium carbide dengan surat khabar. Apabila calsium carbide terkena air, ia akan membebaskan gas acetylene. Gas acetylene juga berfungsi seperti gas ethylene,mempercepatkan proses buah masak.
  3. Tapi awas, kerana calsium carbide mengandungi arsenic dan phosphorus, yang dikuatiri boleh menjejaskan kesihatan.

Tips

  • Peram dulu buah dan hanya letakkan buah yang sudah masak ke dalam peti sejuk. Suhu sejuk akan melambatkan pengeluaran gas ethylene dan buatkan buah masak tersebut tahan lama.
  • Asingkan sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum diletakkan di dalam peti sejuk.
    Buah yang diletakkan di dalam peti sejuk masih lagi akan keluarkan gas ethylene dan akan menyebabkan sayur lebih cepat rosak.

Senarai buah-buahan yang boleh diperam

  1. Pisang

Pisang atau nama botaninya Musa spp. adalah buah-buahan tempatan yang tidak asing lagi. Umumnya, kebanyakan jenis pisang tidak dibairkan masak dipokok. Pisang akan ditebang apabila sudah matang ketika masih hijau dan kemudiannya diperam sehingga warna kulitnya bertukar menjadi kuning dan masak.

  1. Ciku

Nama saintifiknya Manilkara zapota. Buah ciku bersaiz sederhana berwarna perang atau coklat muda. Buah ini perlu dipetik bila matang dan diperam beberapa hari sebelum boleh dimakan. Rasanya manis dan mempunyai biji hitam disetiap belahan buah. Sering dimakan segar sebagai pencuci mulut.

  1. Nona

Nama botaninya ialah Annona squamosa. Buah ini berkulit berbonggol-bonggol tetapi teksturnya lembut. Mempunyai biji yang banyak pada setiap ulas buahnya. Rasanya seakan-akan buah durian belanda tetapi lebih manis dan rasa seperti kastad. Berwarna hijau ketika muda dan kekuningan apabila masak ranum. Buah ini juga perlu diperam sebelum enak dimakan.

  1. Belimbing

Buah belimbing perlu dibalut agar tidak rosak akibat dimakan serangga dan ulat. Buah belimbing boleh dipetik sebelum masak dan diperam atau dibiarkan sahaja beberapa hari sehingga menjadi kekuningan. Terdapat orang yang suka menikmati belimbing yang tidak masak ranum, dengan rasa yang masam-masam. Ada pula yang suka belimbing yang masak ranum dengan rasa manis sama ada dimakan atau dibuat jus.

  1. Betik

Walaupun buah betik boleh dibiarkan masak dipohon, betik yang muda atau belum matang boleh diperam sehingga masak.

  1. Macang

Buah macang atau juga dikenali sebagai bacang merupakan buah-buah yang mempunyai bau yang kuat. Buah macang hampir sama dengan buah mangga, cuma bentuk buah bacang lebih bulat dan mempunyai serat yang lebih banyak. Buah ini dapat dipetik sebelum masak ranum dan diperam.

  1. Mangga

Seperti mana buah macang, buah mangga merupakan buah-buahan tempatan yang boleh diperam dan dipetik ketika hijau. Terdapat banyak jenis mangga, dan tidak semuanya enak dimakan ketika masak ranum.

  1. Tembikai

Buah tembikai biasanya dipetik apabila sudah matang sebelum dijual. Namun, jika tembikai belum mencapat tahap matang yang sepenuhnya, buah ini boleh diperam beberapa hari agar ia masak dan menghasilkan rasa yang manis dan berjus.

  1. Tembikai susu

Seperti mana buah tembikai, buah tembikai susu yang belum matang lebih rangup dan kurang manis. Tembikai susu yang matang sepenuhnya akan terasa lebih manis. Buah ini dapat diperam beberapa hari seperti buah tembikai.

  1. Nenas

Buah nenas merupakan buah-buahan tempatan yang juga boleh dipetik hijau dan diperam. Jika dipetik sebelum matang, nenas akan masak apabila diperam beberapa hari.

  1. Avokado

Tidak ramai yang menyangka buah avokado juga boleh diperam. Buah Avocado mempunyai bentuk ‘pear’ yang agak tirus di bahagian pangkal buah seakan bulat dan oval berukuran 7 hingga 33 cm panjang dan 15 cm diameter. Kulit berwarna hijau kekuningan, hijau gelap, merah ungu atau ungu gelap dan agak kehitaman apabila cukup masak. Avokado boleh dipetik ketika hijau dan diperam sehingga masak. Namun pokok avokado tidak popular di semua negara Asia Tenggara seperti negara kita Malaysia tetapi popular di Filipina dan Indonesia.

  1. Kiwi

Buah kiwi merupakan sejenis buah-buahan beri daripada genus Actinidia.  Buah ini berbentuk bujur seperti sebiji telur ayam. Ia mempunyai kulit berbulu dan berwarna perang-kehijauan pudar dan manakala isinya pula berwarna hijau terang atau keemasan dengan barisan biji-biji kecil hitam yang boleh dimakan. Buah kiwi diimport ke Malaysia dan buah kiwi dijadikan tanaman komersial di negara Itali, New Zealand, Perancis, Greece dan Chile. Buah ini dapat dipetik sebelum matang dan diperam sehingga masak.

Rujukan :
https://ms.wikipedia.org
IMG_20171206_114610-150x150 Cara Memeram Buah-buahan & Senarai Buah-buahan Yang Boleh Dipetik Hijau, Diperam Sebelum Dinikmati

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #buah yang boleh diperam #buah-buahan yang boleh diperam #buah-buahan yang boleh dipetik hijau #cara memeram buah #cara peram buah #kaedah peram buah tanpa calsium carbide #peram buah yang putik #senarai buah boleh diperam

Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Kaedah Menghafal Dengan Baik
Menghafal memerlukan pendekatan yang baik yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran individu. Berikut adalah
Tips Pupuk Kasih Sayang Isteri Dalam Hubungan Perkahwinan
Memupuk kasih sayang dalam hubungan perkahwinan adalah aspek penting untuk mengekalkan keharmonian dan
10 Tips Atasi Gagap Bercakap
Gagap ialah gangguan pertuturan yang boleh menjejaskan cara seseorang bercakap, termasuk kelewatan atau

Comments are closed.